Ella Unplugged in Kuala Lumpur: Malam Melayar Impian dan Momen Yang Tidak Terduga
Sebuah konsert yang mempertemukan layaknya gelar Ratu Rock untuk penyanyi ini.

Oleh  Zurina Waji  |  Foto  Fauzi Hamid, Iqbal Rosli, Shafiq Shahar

Gurindam Sayang di Sayang bagai terngiang-ngiang di telinga, dibisikkan Allahyarham Kartina Dahari, Ratu Keroncong kelahiran Singapura itu.

“Angin menderu, dahan jatuh menimpa batu… kuburan.” Saya senyum walaupun kadang perasaan ini bercampur baur antara terharu dan sebak mengingati bait indah yang dilagukannya dalam perbualan  terakhir kami sebelum dia meninggal dunia pada 2014 kerana barah payudara.

Dan rasa itu kembali menerjah, malam kelmarin.

Saya terpaku, barangkali kerana tidak menduga, pada raptai konsert Ella Unplugged in Kuala Lumpur di Istana Budaya, versi lantunan penyanyi rock itu menggamit perbualan dengan biduanita itu yang berlaku semasa saya masih bekerja di akhbar.

Ella sendiri, dalam pertemuan kami kemudiannya, mengakui rasa nostalgia yang dibibitkan Sayang di Sayang. Jelasnya, pemilihan lagu klasik itu untuk konsert anjuran Projekt Ella Sdn Bhd dibuat “sebab mak suka. Famili kami memang suka (lagu Sayang di Sayang).”

Sukar asalnya untuk membayangkan rocker seperti Ella membawakan lagu Melayu asli. Begitu pun, tidak adil untuk saya membandingkan dengan lenggok Allahyarham Toh Puan Setia Rafeah Buang mahupun Kartina, misalnya. Hatta Noraniza Idris, atau Dato Sri Siti Nurhaliza sekali pun.

Saya bagaimanapun, suka dengan kejujuran Ella. Tidak memaksa di pentas, santai mengalunkan lenggok Melayu asli menurut keupayaannya, cukup untuk menjadikannya sebagai sebuah persembahan yang enak dinikmati.

Saya penggemar keroncong dan konsert Ella barangkali adalah pentas terakhir saya menjangkakan untuk mendengarnya, seperti apabila Keroncong Kemayoran ikut dilagukan…

“Murai terkejut berkicau-kicau, langit mendung diliputi awan, alamat bumi disirami hujan… Sayang di sayang,” lembut Ella beralun. Mungkin tidak sempurna, namun saya merasa keindahan di dalam penyampaiannya.

Juga, tidak canggung mendengar, seolah lagu Melayu asli memang menjadi makanan jiwanya. Nyata, saya tidak salah menebak.

“Ella suka lagu (Melayu) asli tapi Ella tidak boleh menyanyi dengan baik dan sempurna. But I’ll just give it a try,” katanya.

Saya penggemar keroncong dan konsert Ella barangkali adalah pentas terakhir saya menjangkakan untuk mendengarnya, seperti apabila Keroncong Kemayoran ikut dilagukan. Ia diperelok koreografi yang antaranya berinspirasi, Jaipong barangkali, oleh penari cilik daripada Tunas Seni Cemerlang yang manis berkebaya pendek, siap bercucuk sanggul.

Secara peribadi, ia antara kejutan paling indah pada malam konsert.

“Gabungan jaket labuh rambu ramba ala swingin’ 60s dan seluar getah jadi pilihan saya untuk gaya terbaik Ella yang empat kali berganti baju, menyuntik mood glam rock… ”

Susunan baru Sembilu, hit 1992 daripada album 30110 yang dikeroncongkan menambah keasyikan yang ikut dicetuskan kehadiran sekumpulan remaja, cantik berkebaya labuh bertekat, memperkemas langkah tari yang menjunjung seni warisan Melayu. Kehalusan budaya Melayu yang ditonjolkan benar membikin jiwa berlagu.

Dan Ella menyampaikannya, tanpa perlu memadamkan identiti rocknya. Seperti mana gaya mewah “Ella sebagai ratu Rock n Roll” ditonjolkan Jiman Casablancas yang menata gaya penyanyi itu lewat lima jenama pereka muda tanahair, iaitu Syomir Izwa, Ezzati Amira, Kit Woo, Joe Chia dan Afiq M sepanjang tiga malam konsert berlangsung.

Serba hitam jadi dasar penampilan pada pembukaan konsert, semalam, menyerlahkan pesona Ella yang sebahagian masa hadir, berlatar grafik abstrak. Gabungan jaket labuh rambu ramba ala swingin’ 60s dan seluar getah jadi pilihan saya untuk gaya terbaik Ella yang empat kali berganti baju, menyuntik mood glam rock pada segmen genre yang memahat namanya seawal era 80an yang menyaksikan kelahiran Ella and The Boys dulu.

“Saya tak mahu sampai kehilangan (identiti) Ella. Sebab saya sendiri adalah peminat Ella,” kata Jiman, mengakui imej 80an dan 90an yang dibawa Ella dulu cukup kuat sehingga menjadi cabaran besar buatnya. “Sesudah berhijab, Ella harus membentuk semula imej, selari statusnya yang sudah berkahwin tapi pada masa sama, kekal relevan sebagai seorang bintang rock.”

Ella mencabar diri, mengakhiri segmen lagu Melayu aslinya dengan Zapin Pematah Hati, dendangan asal Tan Sri SM Salim. “Ella yang pilih,” katanya, ada nada teruja bercampur gementar dalam bicaranya. “Ella tahu lagu ini payah sangat, tapi Ella mahu cuba juga.”

Dia tidak berselindung dan kerana itu, mudah untuk memahami mengapa ketidakpuraan dan sifat rendah diri itulah pesonanya, selama ini. Ella mungkin bukan paling bijak menangkis mahu pun berkongsi rasa namun cukup menjadi dirinya untuk bikin orang jatuh hati dengannya.

Aura Ella menyerlah seawal malam yang menurut Pengarah Konsert, Peah Rafie kemudiannya, bagaimana ia diselaraskan menurut judul album 2017, Peace. Love. Rindu dengan masing-masing mewakili segmen akustik, asli dan Rock n Roll, sekaligus menjawab mengapa bukan untaian unplugged diketengahkan secara sepenuhnya.

Pemuzik, antara yang terbaik di Malaysia, membuat konsert itu dicemburui. Kala melihat gitaris, Aji dan Ujang di dalam senarai, saya dapat mengagak energi semacam apa yang diberikan kelak. Roza @ Rio Rasul sebagai Pengarah Muzik, memimpin konsert yang turut dibarisi Ritz (gitar), Fly Halizor (bass), Uda Wahid (keyboard dan biola), Paang (percussion)  selain Jat, Baby dan Eja (penyanyi latar) yang mengimbangi malam yang ada ketikanya, menyaksikan Ella sedikit tersasar dalam lontarannya.

Dan bukan hanya hits solo, Ella menjentik kenangan lewat duet Pergilah Sayang bersama adiknya, Korie. Sejujurnya, Mendung Tak Bererti Hujan kemudiannya yang dipopularkan Ella dan Deddy Dores terlalu berat buat suami, Kapten Azhar Ghazali di panggung profesional, cukuplah sebuah iaitu Peace.Love.Rindu yang lebih baik penyampaiannya.

Ella adalah bintang rock dan itulah yang didambakan audiens, iaitu untuk dia menggegarkan panggung dengan lagu rocknya.

Vokal Ella? Seperti kali pertama ketika dunia muzik jatuh hati dengan suaranya.

Permata Biru membuka segmen Rock n Roll, menambah kehangatan malam dengan hentakan gitar dan dram yang mengubah panggung menjadi arena. Sorakan audiens, sebahagiannya resah kerana bagaimana mungkin rock hendak dinikmati secara duduk. Saya menyatakannya kepada Ella bahawa persembahan sebegitu selayaknya di stadium! Bersilang kaki, silih berganti buat duduk jadi tidak senang lagi.

“Orang boleh saja berdiri, menari. Kalau nak.” kata Ella.

Kemunculan Lord, pendukung Ella and The Boys, masih dalam gaya rock 80an buat saya tersenyum sambil mengimbau era kegemilangan itu. Dua Insan Bercinta, debut Ella bersama bandnya yang malam tadi, diiringi petikan gitar Edrie Hashim dan Kapten Azhar, seolah menjadi lambang perjalanan tiga dekadnya dalam seni.

Ella masih Ella, merasai keghairahan yang dibangkitkannya, berevolusi sepanjang membina nama dan pengaruh, daripada muzik sampailah citarasa fesyennya. Vokal Ella? Seperti kali pertama ketika dunia muzik jatuh hati dengan suaranya.

Soalnya, daripada mana datangnya semua energi itu? Bukan cuma lantunan suara, tapi keterujaan yang diberikan muzik dan fesyen yang saling memberi komplimen, ibarat Rock n Roll dan runway di pentas sama. Inspirasi punk Viviene Westwood pada kebaya bercorak pelikat, menyanyikan keroncong dan zapin, siapa yang akan terfikirkannya?

Kata Ella, konsert ini cukup peribadi buatnya. Sebuah konsert yang menurutnya, terasa lebih intimasi dan membuatnya terharu. “Ella gementar sebenarnya,” katanya, merenung saya lagi sebelum perlahan dia menuturkan bahawa satu-satunya impian, “Konsert ini, Ella nak orang bergembira. Diberi kenangan manis, yang indah. Itu saja yang Ella mahukan.”

Usai Pengemis Cinta, audiens bingkas memberikan standing ovation sambil lantunan rakaman Gemilang mengambil alih.

Dan saya memang ada banyak sebab untuk pulang dengan kekaguman pada sosok bernama Ella ini.