Konsert Soul Sisters 2019: Saat Noryn, Misha dan Sarah Menjadi Satu
Menghitung hari untuk sebuah garapan Soul dan R&B yang penuh jiwa.

Oleh  Zurina Waji  |  Foto  Fauzi Hamid

“ORANG asyik bertanya apakah kejutan pada konsert ini… itulah dia, gabungan suara mereka bertiga,” kata Jennifer Thompson, Pengarah Konsert Soul Sisters 2019.

Semenjak awal lagi, dia memberitahu dirinya bahawa ini tidak akan menjadi sebuah persembahan yang mudah.

“Kita ada lapan penyanyi latar dan tiga penyanyi wanita yang bukan calang-calang, dan semuanya dengan ton berbeza.

“Noryn Aziz, Misha Omar dan Siti Sarah sudah utuh dalam industri dan sebagai penyanyi solo kehebatan mereka memang tidak dinafikan, malah semuanya merupakan pemenang anugerah. Tapi sebagai satu kumpulan? Ketiga-tiganya berbeza cara nyanyian mereka, berbeza dalam penyampaian,” katanya.

Jennifer, Pengarah Konsert Soul Sisters 2019

Punya pengalaman mengarah konsert penyanyi papan atas, daripada Dato Sheila Majid ke Dato Siti Nurhaliza, malah Anuar Zain, dia menyifatkan persembahan Soul Sisters yang akan dibuka esok berbeza rintangannya.

“Tiga (penyanyi) menjadi satu, tidak mudah,” katanya dalam pertemuan kami, di antara masa rehat pada latihan, kelmarin. “Sukar untuk saya menjelaskannya, jadi anda kena tengok nanti bagaimana penyampaian mereka, menyanyi bersama dan menjadi satu.

“Dan untuk mencapai keserasian itu, berada di nota yang tepat… apa saja boleh berlaku. Ia cabaran paling getir, tapi itulah kelainan konsert ini.”

Sehingga 35 judul lagu telah disenarai pendek bagi konsert itu yang dijadual berlangsung selama dua malam di Istana Budaya. Konsert dengan konsep berinspirasi penyanyi kulit hitam ini dicetuskan oleh Edd Razhe, melalui produksinya, Edd Razhe Entertainment (ERE).

Syafinaz dan penyanyi latar Soul Sisters

Satu tribute untuk Feminin, kumpulan gadis yang diperkenalkan Edd pada tahun 90an sehingga menjadi fenomena, akan diperdengarkan seperti Untukmu, selain hits R&B 80an oleh penyanyi wanita seperti Fairuz Hussein dan Famiza, juga Anita Sarawak.

Idea penggabungan dicetuskan Edd yang bertindak sebagai Produser Eksekutif, selain konsep keseluruhan dan imej. Konsert, antaranya oleh penyanyi popular British, George Michael, selain penyanyi jazz dan soul, Sade dan Amy Winehouse adalah antara inspirasi bagi konsep Konsert Soul Sisters 2019.

Datuk Nasser Abu Kassim, Pengarah Muzik, yang menyertai kami di tengah perbualan, memberitahu latihan setakat ini adalah sebagaimana yang dirancang dan diharapkan, serentak memberikan indikasi bagaimana konsert itu kelak.

“Saya melakukan ini untuk Edd,” kata mantan orang kanan Warner Music ini, menyifatkannya “demi persahabatan kami, semenjak mengenalinya semasa dia mengendalikan Feminin hinggalah kini, kami di AirAsia.”

Lima belas tahun selepas meninggalkan showbiz, dia mengakui tidak sedikit cabaran yang harus dihadapi untuk konsert ini. Diminta menjelaskan, dengan nada seloroh, katanya: “Dulu, jadi Pengarah di Warner (Music), kita petik jari untuk buat benda tapi ini, semua kena buat sendiri termasuk datang latihan. Pada masa sama, masih melakukan kerja di AirAsia dan mesyuarat di Jakarta. Huh!”

Naser (paling kiri) pada majlis penajaan untuk Konsert Soul Sisters 2019

Ditanya apa yang boleh dijangkakan daripada konsert ini, jawap Naser: “Ia akan jadi sebuah konsert yang enjoyable, ini janji kami. Baik (audiens) tua, baik muda. Konsert ini ada tiga penyanyi masa kini yang akan membawa Soul dan R&B Melayu dan Inggeris, dalam versi mereka dengan bimbingan Pengarah Vokal, Datuk Syafinaz Selamat.

“Satu persembahan yang akan diberikan dengan sepenuh jiwa dan raga.”

Lady Marmalade, sebuah klasik 70an dan Bang Bang adalah antara pilihan hits Inggeris yang bakal dipersembahkan pada konsert yang semuanya telah digubah semula oleh Nasser dan Sze Wan, selain lagu malar segar seperti Khayalan, dendangan asal Black Dog Bone dan Mulanya Di Sini (Freedom).

Suara, antara yang disebut-sebut menjadi kegusaran pada konsert seumpama ini, tetapi menurut Jennifer, biar pun apa yang terjadi, persembahan harus diteruskan.

“Janganlah bandingkan kita dengan di Amerika (Syarikat) misalnya yang boleh berbelanja berjuta dolar tapi untuk 100, 200 konsert sedangkan kita, satu. Produksi yang baik adalah yang tahu konsep, bijak berbelanja dan sentiasa ada perancangan B. Sebetulnya, paling penting adalah artis iaitu apa yang mahu ditonjolkan, apa keupayaannya dan produksi hanya menyerlahkannya.

“Kita tidak tahu apa akan terjadi pada hari persembahan, misalannya adakah audiens akan berdiri bertepuk tangan atau membaling telur? Anuar Zain, sebelum ini buat konsert tanpa penaja dan dilihat sebagai pencetus yang mengembalikan konsert berskala besar dan kini, Soul Sisters selain beberapa konsert tempatan yang akan datang. Saya suka dengan perkembangan sebegini, ia memeriahkan industri dan tidakkah anda juga merasainya?”

**Jangan sampai terlewat mendapatkan tempat ke Konsert Soul Sisters 2019 di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 5 dan 6 April ini. Tiket berharga RM755 (Meet & Greet), RM555 (Diamond), RM355 (Platinum), RM255 (Gold) dan RM155 (Silver) boleh ditempah menerusi www.airasiaredtix.com atau untuk pertanyaan, sila emel ke support@airasiaredtix.com