Kehidupan Pelarian Syria Yang Menghimpit, Apakah Mereka Makin Dilupakan?
Tiada makanan, tiada bantuan perubatan, tiada kemudahan kebersihan dan tiada pendidikan. Pelarian Syria yang berada di banyak kem-kem daif di Jordan tidak memiliki apa-apa kecuali khemah usang sebagai tempat berlindung dan bekalan makanan yang dicatu untuk meneruskan hidup.

Oleh  Zurina Waji  |  Foto  Najihah Najlaa (A Lifetime Projext), Nik Muhammad Adam Hakiemi Mohd Adnan

Dan anak-anak pelarian, apabila ditanya apa yang mereka mahukan, meminta makanan dan pakaian.

Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) kembali ke Jordan, Syawal ini, lewat Misi Aidilfitri buat Syria, membawa amanah rakyat Malaysia untuk pelarian. Ikuti temubual Rumi Explorer bersama Pengarah Misi, Nik Marina Hussin.

Apa yang mendorong KHOM meluncurkan projek Aidilfitri ini?

Dalam kunjungan ke Jordan pada Disember 2018, melihatkan keperluan yang mendesak, pasukan KHOM  melalui Misi Bantuan Kecemasan bagi Musim Sejuk telah menyeru kepada rakyat Malaysia untuk bersatu di atas nama kemanusiaan. Ia susulan lawatan di beberapa kem yang memperlihatkan kedaifan pelarian-pelarian Syria yang berdepan masalah bekalan makanan dan keperluan asas yang semakin merosot.

Sebaik selesai projek Musim Sejuk, tanpa berlengah disusuli pula dengan kerja-kerja bagi melakasanakan projek Aildilfitri. Kali ini, pasukan KHOM mengorbankan sambutan Hari Raya bersama mereka yang tersayang demi menyampaikan bantuan kemanusiaan, selain keperluan Lebaran untuk pelarian Syria di Jordan.

Cuma satu matlamat kami, iaitu mengembalikan sinar Syawal buat saudara Syria kita ini.

“…bayangkan hidup seperti dalam buangan kerana tinggal melebihi masa di bumi asing. Bayangkan anda berada di tempat mereka, dilupakan seolah anda tidak wujud lagi.”

Mengapa Syawal?

Krisis Syria sudah berlarutan sejak 2011. Sudah lapan tahun sejak pelarian ini hidup dalam kemurungan. Iaitu, lapan tahun dalam kegelapan. Bayangkan kepedihan berpisah dengan orang yang dicintai, bayangkan berdepan kesengsaraan yang tiada berkesudahan hanya untuk mencari makanan dan tempat berlindung buat keluarga di tempat orang, bayangkan hidup seperti dalam buangan kerana tinggal melebihi masa di bumi asing. Bayangkan anda berada di tempat mereka, dilupakan seolah anda tidak wujud lagi. Sedangkan mereka juga manusia seperti kita. Manusia yang berkehendak dan bermaruah.

Kenapa Raya? Ia bukan hanya soal mengembalikan sinar Syawal di dalam kehidupan mereka, tetapi juga sebagai meyakinkan saudara-saudara Syria yang menerima bantuan KHOM bahawa kita masih mengingati mereka, kita mendengar tangisan mereka.

Ramadan dan Syawal, tidak lain adalah untuk kita mengingati saudara-saudara seIslam kita yang sedang menderita. Kita mengingati dan menghargai mereka. Mungkin, jika mereka tahu bahawa mereka didengari dan diingati, mereka akan mempunyai harapan untuk meneruskan kehidupan ini. Kita ambil peduli dan kita harus membantu.

Oleh itu, kami merrayu kepada rakyat Malaysia, izinkan mereka untuk merasai nikmatinya Syawal, lagi.

“…menyediakan sistem perlindungan dan kebersihan untuk pelarian. Selain membantu anak-anak yatim, ibu tunggal dan pelarian bandar, tumpuan kami ialah kepada pelarian yang tinggal di khemah di kem-kem.”

Apakah perancangan, juga fokus KHOM di dalam projek Aidilfitri ini?

Kali ini, kami bukan saja menyampaikan bekalan keperluan asas dan pendidikan. Matlamat kami ialah untuk menyediakan sistem perlindungan dan kebersihan untuk pelarian. Selain membantu anak-anak yatim, ibu tunggal dan pelarian bandar, tumpuan kami ialah kepada pelarian yang tinggal di khemah di kem-kem.

Kami merancang untuk mengganti khemah-khemah buruk yang didiami 40 keluarga dan menyediakan kemudahan tandas dengan sistem kebersihan yang lebih baik. Kami juga akan menghantar bekalan pek makanan, kit perapian diri dan mengadakan sesi penjagaan diri termasuk mandi, memotong rambut dan mengetip kuku anak-anak pelarian di kem yang bakal dikunjungi.

Dan kami akan meraikan ‘hari riang’ bersama mangsa-mangsa perang ini, bermain dan bersukan dengan anak-anak.

Dan untuk itu, setinggi-tinggi penghargaan saya berikan terhadap sukarelawan KHOM 2019 di atas penganjuran projek-projek bagi meraih kutipan dana dalam membantu kelancaran misi Aidilfitri buat Syria, Jun ini. Usaha mereka membolehkan 100 peratus kutipan daripada orang awam disalurkan kepada pelarian Syria. Kegigihan mereka adalah satu inspirasi.

“Tiada sistem kebersihan, tiada langsung rawatan perubatan untuk pelarian dan paling buruk sekali, tidak ada seorang pun di antara kanak-kanak di situ bersekolah bagi mendapatkan pendidikan.”

Apa yang berlaku dalam kunjungan terakhir anda pada Disember, tahun lalu?

Projek (musim sejuk) itu tiada dalam perancangan, namun ternyata Allah sudah merencana suatu yang lebih lagi buat kami semua.

Saya ke Jordan pada Disember, tahun lalu dalam pasukan kecil hanya untuk membuat tinjauan dan mengumpul maklumat bagi misi pada Hari Raya akan datang. Pertemuan dengan Ketua Menteri kemudiannya membawa kami ke kem-kem pelarian di bawah jagaannya di Mafraq, Jordan yang hanya satu kilometer dari sempadan Syria.

Di situ, saya menyaksikan kekejaman perang kala mendakap seorang bayi yang sedang berdepan masalah malnutrisi. Bayi yang sudah memasuki usia lima bulan, sebaliknya terasa seperti saya mendakap bayi yang baru lahir. Rupanya, saya mendakap bayi yang sedang menanti kematian.

Bekalan makanan hasil sumbangan orang ramai hampir habis, cara mereka hidup juga sangat mengerikan. Hidup di dalam khemah, pada musim sejuk, langsung tidak melindungi pelarian-pelarian ini daripada kedinginan. Tiada sistem kebersihan, tiada langsung rawatan perubatan untuk pelarian dan paling buruk sekali, tidak ada seorang pun di antara kanak-kanak di situ bersekolah bagi mendapatkan pendidikan.

Jadi, kesimpulannya mereka tiada makanan, tiada bantuan perubatan, tiada kemudahan kebersihan, tiada pendidikan. Pelarian ini tidak memiliki apa-apa kecuali khemah usang sebagai tempat berlindung dan bekalan makanan yang dicatu untuk meneruskan hidup. Setiap kali ditanya apa yang dimahukan, anak-anak pelarian ini beritahu mereka mahu makanan dan pakaian.

Apa yang paling menyentuh hati anda dalam lawatan itu?

Selain bayi yang mengalami malnutrisi di kem, pasukan kami juga mengadakan kunjungan mengejut di sebuah rumah anak yatim dan bertemu 70 anak-anak daripada keluarga yang mati syahid. Di sini, kami berpeluang menemuramah empat penghuninya, di mana kisah menyayat hati seorang gadis bernama Baneen meraih perhatian kami di KHOM.

Pada usia tujuh tahun, Baneen terpaksa melihat hampir kesemua ahli keluarganya mati di depan mata dan biarpun dia sendiri cedera parah, dia berada dalam keadaan sedar semasa kaki kanannya hancur terkena serpihan bom.

Pelarian seperti Baneen dan mereka yang tinggal di kem meneruskan hidup dengan apa yang tinggal.

Bagaimana dengan  projek TeddyHumanitarian yang anda lancarkan pada 2018?

Kami melihat ketawa riang anak-anak pelarian ini, sebagaimana yang sepatutnya dilalui kanak-kanak biasa, semasa mereka menerima Teddycares, hadiah berupa anak patung beruang itu namun kegembiraan penerima HumaniTeddy di TFTN tidak berkekalan.

Dua bulan selepas kunjungan terakhir kami untuk menyampaikan bekalan bagi sekolah berkenaan, selain dana pentadbiran dan Teddycares, TFTN terpaksa berpindah ke premis lebih kecil bagi mengurangi kos pentadbiran atau berdepan penutupan. KHOM dimaklumkan mereka kini berkongsi, menyewa dengan Markaz Rateel, sebuah tadika yang turut menerima bantuan kami pada kunjungan lalu.

KHOM berharap manusia seluruh dunia, terutama rakyat Malaysia, memahami bahawa walaupun pelarian ini berjaya melarikan diri daripada peperangan dan berlindung di negara lain, kehidupan mereka tidak beransur mudah.

Tidak kira berapa banyak pun bantuan disalurkan, ia tidak akan mencukupi kerana jumlah pelarian Syria yang meninggalkan negara mereka semakin bertambah. Hakikatnya, pelarian seramai itu tidak akan berupaya mempunyai kehidupan seperti dulu.

Pelarian Syria ini sangat memerlukan bantuan anda. Ingatilah mereka pada Syawal ini dengan menyumbang kepada tabung kemanusiaan KHOM. Dan kami berjanji untuk menyampaikannya.

KHOM dahului dengan doa moga keperihatinan anda diberkati. Salam Ramadan dan Selamat Hari Raya kepada semua rakyat Malaysia.