“Kerana ego kami tidak akan mengenyangkan perut mereka.” – Anak Muda Tolak Tepi Rasa Malu, Ego Untuk Cari Dana Bantu Pelarian Syria
Pelajar Pusat Tuisyen Akademik Karisma (Karisma) di Kota Baharu, Kelantan raih pengajaran bermakna, turun padang sebagai sukarelawan untuk misi kemanusiaan.

Oleh Zurina Waji    |    Foto KEX

MASIH muda, ada antara mereka baru mencecah usia 18 tahun namun pendedahan terhadap  isu kemanusiaan mendorong mereka untuk menyahut cabaran menjayakan kempen membantu mangsa-mangsa perang Syria.

Kumpulan pelajar ini yang sedang mengikuti kursus kemahiran komunikasi Bahasa Inggeris, Karisma English Explorer (KEX) telah menganjurkan pelbagai aktiviti, seawal tahun ini sebagai sokongan kepada rakan sukarelawan Misi Bantuan Kemanusiaan Karisma (KHOM) yang akan ke Jordan, Lebaran ini untuk misi Aidilftiri buat Syria.

Hampir RM48,000 berjaya dikumpul selama tiga bulan kempen, antaranya menerusi jualan di gerai makanan dan minuman di Medan Ilmu pada setiap pagi Jumaat. Selain kutipan tabung, dana juga dikumpul daripada jualan pakaian terpakai, penganjuran Charity Futsal dan kempen kesedaran ke sekolah-sekolah, antaranya di SK Islah dan SMK Zainab 1.

Pengarah Misi KHOM, Nik Marina Hussin menzahirkan rasa bangganya terhadap usaha dan komitmen pelajar ini sehingga membolehkan sumbangan daripada orang ramai disalurkan 100 peratus kepada pelarian di kem-kem daif, selain rumah anak yatim dan ibu tunggal.

Mohamad Misbahul Munir Mukhtar, 18 | Pengurus Projek

Kali pertama menggalas tugas mengetuai projek dan memimpin ahli yang antaranya jauh lebih berpengalaman mulanya membuat perasaanya bercampur baur. Dia mengakui, malah pernah rasa malu apabila memegang tabung, memohon sumbangan.

“Tapi saya cuba bangkitkan rasa bangga, gembira. Saya anggap bukan cuma untuk bantu pelarian Syria, tapi buka jalan pintas untuk mendekatkan diri ke syurga. Saya cemburu melihat orang menderma tapi saya anggap kalau saya memudahkan, saya juga pasti dapat tempias amalan itu.

“Saya ikut merasai bagaimana mereka yang selama ini merayu mendapatkan pertolongan sebaliknya dibalas dengan jelingan dan tidak dilayan segelintir masyarakat. Pedihnya Tuhan saja yang tahu namun itu jugalah yang memotivasi saya dan pasukan,” katanya, berterima kasih kepada Nik Marina dan penasihat KHOM, Kapten (R) Ariffin Abd Rani di atas didikan dan dorongan.

Memimpin pasukan bagi kerja amal, dia belajar erti kempimpinan. Dia belajar berdiplomasi dalam berdepan pelbagai gelagat manusia, juga erti pengorbanan dan persahabatan. Pengorbanan teman sepasukan cukup bernilai sehingga dia merindui untuk kerja-kerja amal sebegini.

“Saya jadi lebih peka terhadap isu kemanusiaan,” katanya. “Dulu, saya anggap isu kemanusiaan terbatas pada mangsa perang tapi usaha sepumpama ini membuka mata saya untuk melihat apa jua isu berkaitan manusia adalah serius dan perlu dibantu,” katanya.

Ahmad Syamil Danial Che Kamal, 21 | Ketua kumpulan pasukan Virtuous

“Apa yang saya fikirkan adalah suasana di sana,” katanya, sepanjang projek berlangsung. “Bagaimana keadaan mereka? Ia menjadikan saya lebih bersemangat untuk terus istiqomah dalam usaha mengumpul dana buat pelarian Syria.

“Kita di sini sihat, bertenaga dan hidup dalam sebuah negara yang aman. Jadi, apa yang kita dapat, kita kongsi. Kita beri kepada mereka yang memerlukan kerana dalam rezeki kita ada rezeki orang lain juga.”

Projek ini, katanya cukup menginsafkan dirinya dan menjadi pengalaman paling berharga buatnya.

“Barulah saya sedar betapa susahnya ibu bapa kita mencari duit untuk membesarkan anak-anak, bezanya kami mencari dana untuk pelarian Syria. Meraih kepercayaan orang ramai bukan mudah, tapi kami tidak berputus asa. Setiap sen yang disumbangkan, walaupun RM1, amat berharga bagi kami,” katanya.

Jelasnya, kerja amal sebegini memerlukan komitmen tinggi, seiring keikhlasan dan pengorbanan dalam perjuangan diri. Biarpun ada yang mungkin memandang remeh, usaha ini memberi kesedaran kepadanya terutama berhubung kehidupan seseorang.

Banyak cabaran yang harus dilalui, katanya namun kepercayaan yang diberikan Karisma dan KHOM ini adalah peluang keemasan untuknya memainkan peranan sebagai anak muda dalam menyumbang kepada usaha membina harapan kepada kemanusiaan.

Anak-anak muda ini berkongsi pengalaman dengan Rumi Explorer.

Nurhusna Zulkifli, 26 | Pengurus Projek Sekolah

Dibesarkan dalam keluarga yang cukup sempurna, gadis ini mengakui tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa satu hari dia akan memegang tabung derma sambil melaungkan “sumbangan untuk Syria”.

“Pada awal penglibatan dalam misi ini, pelbagai perkara bermain di fikiran. Apakah pandangan masyarakat? Berjayakah saya dan rakan-rakan mendapatkan kepercayaan atau kami hanya dianggap scammers yang mempergunakan nama kemanusiaan untuk kepentingan peribadi?

“Alhamdulillah, sepanjang penglibatan, saya dipertemukan dengan orang baik-baik. Ada yang menggelar kami ‘pejuang Syria’ dan memuji usaha, semangat anak-anak muda untuk membantu. Rasa malu dan ego diletak tepi kerana ego kami tidak mampu mengenyangkan perut mereka di sana,” katanya.

Pengalaman paling berharga, menurut Nurhusna, adalah sewaktu dia dan teman sepasukan menyerahkan kutipan yang dikumpul iaitu RM47,522.45, jauh melebihi sasaran RM36,000.

“Kepuasan yang dirasai tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Segala penat lelah, masa dan tenaga yang dikorbankan nyata berbaloi,” katanya.

Ia juga, jelasnya membuatkan dia lebih peka dengan isu semasa dan menanam sifat empati di dalam diri. Dia belajar bagaimana rasa bersyukur dapat dizahirkan apabila mula memberi.

“Saya berasa bahawa kewujudan saya sangat penting, bukan saja untuk diri sendiri tetapi juga penting untuk orang lain,” katanya. “Sepanjang usaha mengumpul dana, pelbagai kaum menderma yang menyedarkan saya bahawa isu kemanusiaan adalah isu sejagat dan sebagai manusia, kita mesti membantu mereka yang tertindas tanpa mengira agama dan bangsa.”

Katanya,penglibatannya ini juga banyak mengajarnya erti syukur dan kasih sayang.

“Usaha kecil kami mungkin tidak mampu mengubah nasib pelarian ini, tetapi cukuplah sebagai tanda ingatan daripada kami bahawa dunia bersamamu wahai saudaraku! Kamu sentiasa dalam ingatan dan doa kami,” tambahnya.

Nik Nasran Alif Nik Mohd Nasri, 18 | Pengurus Projek

Bergerak sebagai satu pasukan, katanya menyebabkan projek yang awalnya terasa rumit, akhirnya mudah dilaksanakan. Pengorbanan selama berlangsung kempen terbayar apabila memikirkan ia dapat membantu meringankan beban yang dialami pelarian Syria di Jordan.

“Pengalaman paling berharga diperolehi, bagaimana kerja-kerja amal sebegini melatih kami etika berorganisasi.

“Ia juga mengajar kami erti keperitan hidup, saudara-saudara seakidah di luar negara, seterusnya membuka mata kami tentang krisis kemanusiaan dan peperangan di peringkat global,” katanya.

Jelasnya, ia juga menyedarkannya mengenai kuasa anak muda untuk membantu, membawa perubahan.

“Kuasa anak muda sememangnya sangat kuat apabila bersatu dengan kesedaran yang ada. Kita tidak boleh menolong pelarian tersebut dengan mengangkat senjata, tapi setidak-tidaknya kita boleh memberi harapan untuk mereka meneruskan hidup dengan lebih aman,” katanya.