Esok Buat Pelarian Syria
Misi Musim Sejuk diluncurkan KHOM di tengah situasi mangsa perang Syria di Jordan yang makin memburuk.

Oleh Zurina Waji Foto Nur Najihah Najlaa Aminariff dan Farid Md Noor

DINGIN musim sejuk di Jordan menggigit sampai ke tulang, terutama di daerah bersempadan Syria yang menempatkan banyak kem-kem daif dengan suhu boleh mencecah hampir paras beku.

Karisma Humanitarian Outreach Mission atau singkatannya, KHOM meneruskan bantuan kemanusiaannya di Jordan, antara negara yang paling terkesan kerana pergolakan yang sudah lapan tahun melanda bumi Syria menerusi Misi Musim Sejuk “Sinar Harapan 6.0”.

Ikuti temubual bersama Pengarah Misi, Nik Marina Datuk Hussin yang akan mengetuai misi, bermula 9 Disember ini.

Apa yang mendorong KHOM melancarkan Misi Musim Sejuk ini?

Kerana, ketika inilah mangsa perang yang berlindung di negara empat musim paling menderita. Jumlah kematian meningkat, begitu juga penyakit yang merebak menyebabkan keadaan jadi amat terdesak bagi pelarian.

Tiga Misi Musim Sejuk telah dijalankan KHOM sejak 2017, dan setiap kali kami ke kem, sama ada ia kem sama atau berbeza, kami melihat situasi yang memburuk dengan kenyataan pahit untuk diberitakan kepada dunia. Kehidupan mereka bukan bertambah baik.

Kita ada bumbung untuk berlindung  daripada cuaca buruk, hujan dan ribut tapi rumah mereka hanyalah khemah kanvas atau plastik usang yang berlubang. Hidup dalam khemah tidak selesa langsung. Sekukuh-kukuh rumah kita pun memerlukan penyelenggaraan, apatah lagi khemah yang mudah reput dan perlu kerap ditukar. Tapi mustahil untuk sentiasa menukar khemah, jadi dalam keadaan mendesak ini setidak-tidaknya berikan mereka perlindungan daripada kedinginan musim sejuk ini.

Apa yang diperlukan pelarian-pelarian ini pada musim sejuk?

Paling mendesak, keperluan untuk memanaskan diri. Bekalan makanan dicatu kerana sumber utama adalah hasil sumbangan dan ia jarang diperolehi. Akibatnya, kanak-kanak mengalami masalah malnutrisi, orang dewasa kurus kering manakala ibu-ibu dan orang tua kerap sakit. Tambah buruk, pelarian ini tiada akses kepada rawatan perubatan.

Pada musim sejuk, hampir semua kanak-kanak yang ditemui sentiasa dalam keadaan air hidungnya meleleh dan ramai sakit tanpa peluang mendapatkan rawatan. Malah, majoriti kanak-kanak tidak berstokin walaupun awal musim sejuk, suhu malam boleh turun ke 4 Darjah Celcius. Jangan lupa, tiada seorang pun di antara kanak-kanak di kem pelarian ini bersekolah dan tiada akses untuk pendidikan bermakna masa depan juga kabur.

Sumbangan khemah pada misi KHOM, “Aidfitri Buat Syria”, Jun lalu.

“… angka kematian meningkat pada musim sejuk. Jika orang biasa pun tidak mampu berdepan musim sejuk sebegini, bagaimana anak-anak yang sakit dan orang tua dapat bertahan? ”

Seekstrim mana situasi ini, sebenarnya?

Berada di dalam rumah pun, rasa dingin mencucuk sampai ke tulang. Sukar untuk membayangkan jika tinggal di dalam khemah. Jadi, tidak mengejutkan apabila angka kematian meningkat pada musim sejuk. Jika orang biasa pun tidak mampu berdepan musim sejuk sebegini, bagaimana anak-anak yang sakit dan orang tua dapat bertahan?

Baru ini, pegawai KHOM di Jordan, Muhammad Adam Hakemi memaklumkan Ahli Majlis Mafraq, Fare’a F. Al-Mesaeed yang lebih dikenali sebagai Abu Hind yang juga merupakan pengasas Child Care Charity Association (CCCA), antara NGO yang pernah dibantu KHOM, merayu bantuan. Sebuah video dikongsi, menunjukkan kemusnahan harta benda di sebuah kem di sempadan Jordan-Syria selepas dilanda hujan lebat. Pelarian ini merayu bantuan dunia. Musim sejuk di padang pasir sangat ekstrim tapi ditambah dengan hujan dan ribut? Cuba anda bayangkan.

Apakah fokus KHOM pada misi akan datang ini?

Sudah tentu, keperluan musim sejuk selain bekalan asas. Sebanyak RM200,000 diperuntukkan bagi membantu seramai 2,370 pelarian dengan membekalkan kayu api atau alat pemanas dan gas, selimut tebal, pakaian musim sejuk, pek bekalan makanan, kit perapian diri selain tangki air untuk menyediakan bekalan air bersih di kem-kem.

Dana bagaimanapun, masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan seperti yang dimohon Abu Hind dan pengasas Syria Women Association (SWA) bagi mendapatkan pakaian musim sejuk untuk 200 anak yatim mereka. Kutipan masih berjalan memandangkan RM60,000 masih diperlukan untuk bantuan kecemasan di saat akhir ini.

“Cabaran sebenar adalah apabila kami mungkin terpaksa berkata ’Tidak’ kepada pelarian ini atau lebih pedih, ’Maaf, kami tidak ada cukup peruntukkan, makanan dan bantuan untuk kamu.”

Apakah cabaran dihadapi KHOM pada misi kali ini berbanding sebelumnya?

Jalinan perhubungan KHOM dengan NGO berdaftar di Jordan menyaksikan peningkatan rayuan bantuan bagi pihak pelarian Syria. Misalnya, kami pernah membantu 60 keluarga di Sakan Kamarah yang menempatkan keluarga para syuhada menerusi misi 2017. Namun, Islamic Charity Centre Society (ICCS) yang mengendalikan penempatan ini memberitahu kini ada 300 keluarga di sana.

Pertambahan pelarian membuktikan krisis di Syria seolah tiada penghujungnya. InsyaAllah, kami akan berusaha bertahan dengan kedinginan ekstrim namun cuaca bukanlah isunya. Cabaran sebenar adalah apabila kami mungkin terpaksa berkata “Tidak” kepada pelarian ini atau lebih pedih, “Maaf, kami tidak ada cukup peruntukkan, makanan dan bantuan untuk kamu.”

“Kami melihat situasi yang memburuk,” kata Nik Marina.

Bagaimana pemerhatian anda selama menjalankan kerja-kerja kemanusiaan untuk pelarian Syria ini?

Di sebalik situasi memburuk, pelarian Syria yang dibantu sentiasa bersyukur dengan apa jua bantuan disalurkan rakyat Malaysia. Misi “Aidilfitri Buat Syria”, Jun lalu, misalnya memperlihatkan penyatuan hati rakyat Malaysia yang membolehkan KHOM menyediakan khemah lebih baik, tandas dan tangki air, selain bantuan asas seperti makanan, pakaian Hari Raya, kit perapian diri dan beg goodies.

Malah, KHOM dapat menaja 15 gadis dan balu daripada keluarga para syuhada untuk mengikuti kursus kemahiran perapian diri sebagai sumber ekonomi, jadi lebih berdikari. Anak-anak yatim kelolaan CCCA pula diberi kemudahan pengangkutan ke sekolah. Segalanya adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia yang membuat pelarian, terutama kanak-kanak ini kembali tersenyum dan harapan bercambah.

Musim sejuk bagaimanapun, hampir pasti meragut senyuman daripada wajah mereka dan kanak-kanak menggigil kedinginan. Bagi pelarian, hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hidup sekadar bernafas sehingga esoknya, dan esok dan esok lagi. Tidak wujud istilah minggu depan.

Harapan musnah apabila suhu turun mendadak, mencecah bawah paras beku. Semangat seakan mati apabila hujan lebat dan air memasuki khemah. Jika ini berlaku pada malam, tidak mungkin mereka dapat tidur kerana hamparan di lantai pasti basah. Hidup di khemah bererti berlantaikan tanah padang pasir yang gersang, manakala bumbung serta dinding sekadar kanvas atau plastik. Dan mereka hanya mampu melihat apabila air hujan merosakkan harta yang tidak seberapa dalam ribut.

Tanpa tidur bermakna tiada istirehat. Tiada istirehat bermakna kurang sihat. Tiada makanan bermakna kelaparan. Musim sejuk bermakna penyiksaan dan bagi pelarian ini, penyiksaan adalah kematian.

Sukarelawan KHOM di kem Khwam Ahmar di sempadan Jordan-Syria pada Jun 2019