Ini Grunge! 20 Tahun Transcendence, Butterfingers Tebus Hutang
Sebuah konsert sebagaimana dijanjikan band ini, iaitu memutar balik masa pada era kegemilangan grunge dan rock 90an.

Oleh Fauzi Hamid

“… membuka persembahan dengan Chemistry, seterusnya mengisi malam dengan semangat Butterfingers, mengembara menerusi mesin masa menuju kembali ke arah era Transcendence…

“IDEA sudah lama terperap, sekarang adalah masa terbaik untuk melakukannya,” kata LoQue, kala mengumumkan penganjuran Butterfingers: Transcendence 20 thAnniversary Concert demi memenuhi permintaan fans tegar yang mengingini sebuah reunion.

Kerana itu, jelasnya dilahirkan sebuah konsert yang bersempena ulang tahun ke-20 penerbitan Transcendence, album ketiga yang mengangkat band berkenaan ke arus perdana muzik tanahair yang menurut ramai penggemarnya, sebagai sebuah karya paling memberi makna sepanjang tempoh 23 tahun penubuhannya.

Dan pada 2 November lalu, Stadium Malawati, Shah Alam yang full house,  dibanjiri 8,500 peminat menjadi saksi pada kegemilangan sebuah band pada era grunge dan rock 90an yang digelar Butterfingers yang didukungi Emmet selaku vokalis, Kadax (pemain bass) dan Loko (pemain dram) selain LoQue yang bermain gitar.

Moshpit antara gema tepukan dan laungan saling bersahutan, meraikan Emmet yang kembali dari Kanada, khusus untuk hari bersejarah ini, membuka persembahan dengan Chemistry, seterusnya mengisi malam dengan semangat Butterfingers, mengembara menerusi mesin masa menuju kembali ke arah era Transcendence, termasuk lewat Epitome, Meltdown, Mermaid hingga Faculties of Mind, Mokhsa, Girl Friday, Stolen, Ruin by Selling Out juga Royal Jelly, Sober, Wet Blanket dan Garden City of Lights.

Jika ini yang disebut LoQue sebagai hutang berikutan kekecewaan pada Festival Rockaway pada 2016 selepas Butterfingers terhalang daripada membuat persembahan, biarpun dengan kejadian tidak diduga baru ini apabila separuh jalan, Kadax harus meninggalkan pentas disebabkan masalah kesihatan, hutang sudah pun ditebus, sekaligus mengubati kerinduan yang sudah lama tertahan.