11 Tahun Konflik, Pelarian Syria Makin Tersisih
Situasi memburuk dihadapi mangsa perang ini membawa KHOM kembali ke sempadan Syria untuk misi kemanusiaan di Jordan dan Lebanon.

Oleh ZURINA WAJI | Foto KHOM

“… kanak-kanak di bawah usia 11 tahun dilahirkan dengan bom dan peluru berterbangan di atas kepala.”

“APABILA ada orang dalam kesusahan, adakah kita nak buat tidak peduli? Apa yang nak dijawap kepada Dia esok?” kata Nik Marina Datuk Hussin, mengenai apa yang mendorong usaha berterusan Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) membantu golongan memerlukan, antaranya pelarian Syria.

Misi Kemanusiaan Syria Light of Hope 9.0 yang diluncurkan pada musim panas, sekarang ini dan meliputi dua negara, iaitu Jordan dan Lebanon, bagaimanapun memberi perasaan berbeza buat Pengarah Misi ini. Ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.

“Para pelarian ini seolah-olah manusia yang tidak wujud dalam mana-mana bab dalam dunia ini,” ujarnya, kesal. “Sebelas tahun konflik bermakna selama 11 tahun ini, pelarian tidak dapat merasa nyenyak tidur di kamar sendiri.

“Ia juga bermakna menggunakan tandas terbuka berdinding kain, setiap hari dan jangan haraplah dapat mandi di bawah pancuran air. Ia bermakna hidup di padang pasir yang tandus tanpa bekalan makanan mahu pun air.

“Ini bererti kanak-kanak di bawah usia 11 tahun dilahirkan dengan bom dan peluru berterbangan di atas kepala. Selama 11 tahun ini, mereka hidup berumahkan kain atau kanvas. Kanak-kanak pelarian tidak bersekolah dan tidak boleh membaca atau menulis, tiada masa depan, langsung.”

Dijadual berlangsung sehingga Aidiladha ini, siri Light of Hope ini yang dilaksanakan KHOM sejak 2017 kini tidak hanya bertumpu terhadap pelarian di Jordan, malah dilebarkan ke Lebanon, buat pertama kalinya.

“… ada kanak-kanak berusia 10 tahun, ketika itu pertama kali memakan ayam. Ada yang mengenakan kasut berlubang, dikutip daripada tong sampah. Tanpa pendidikan bagaimana mereka mahu membina masa depan?”

PROJEK EDUDREAM ELAK KANAK-KANAK PELARIAN JADI BUTA HURUF

Bagi Jordan, jelas Nik Marina, selain bekalan makanan asas dan kit kebersihan diri untuk keluarga Syria, usaha bertumpu pada keperluan perlindungan, kebersihan, sanitasi dan pendidikan dengan khemah, tandas dan tangki air sebagai bantuan fizikal secara jangka panjang.

Ini katanya, termasuk melihat perkembangan terkini 15 anak yatim di bawah projek Karisma EduDream untuk pendidikan dan makanan, selain Pusat Latihan Kraf Karisma (KCTC) di Mafraq yang dibangunkan KHOM bagi menyediakan latihan menjahit dan kraftangan buat pelarian Syria dan Palestin.

EduDream, menurutnya antara lain memberi harapan buat kanak-kanak membina masa depan memandangkan pendidikan sering dikorbankan kerana apa yang lebih penting ialah perut perlu berisi.

Jelasnya. kunjungan saat akhir ke Pusat Pendengaran dan Pertuturan Jordan di Irbid pada misi musim sejuk di Jordan, Disember tahun lalu, bagi menyampaikan hidangan panas kepada sekitar 60 anak-anak yatim Syria mendedahkan masalah pembelajaran kanak-kanak pelarian.

“Sebahagian kanak-kanak ini hidup gelandangan, tiada pendidikan formal dan bergantung pada kelas percuma al-Quran di situ dan ramai yang buta huruf. Jadi, menerusi projek EduDream, KHOM menaja kelas bagi anak-anak paling terjejas dengan menggaji seorang guru profesional Jordan untuk mengajar Bahasa Inggeris dan Arab, tiga kali seminggu,” katanya.

“Dalam situasi sebegini, ia lebih kepada usaha memastikan mereka boleh membaca dan menulis. Bayangkan, ada kanak-kanak berusia 10 tahun, ketika itu pertama kali memakan ayam. Ada yang mengenakan kasut berlubang, dikutip daripada tong sampah. Tanpa pendidikan bagaimana mereka mahu membina masa depan?”

“… pelarian di Lebanon adalah antara yang teruk di dunia. Lebanon sendiri sedang berdepan krisis ekonomi, bermakna pelarian paling kurang diberi perhatian, atau tiada langsung.”

INFLASI LEBANON, PELARIAN PALING TERHIMPIT

Letupan di pelaburan Beirut, sebelum ini dan impak pandemik menyaksikan 90 peratus daripada 1.5 juta pelarian Syria di Lebanon kini berada dalam kelompok miskin tegar, menurut Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Misi di Lebanon adalah misi perkenalan buat KHOM,” jelas Nik Marina. “Penyumbang tentunya mahu sumbangan mereka diberikan kepada mangsa yang paling teruk terjejas dan seperti di Jordan, KHOM perlu turun padang, bersama rakan strategik melihat situasi dan melaksanakan pengagihan.

“KHOM difahamkan keadaan pelarian di Lebanon adalah antara yang teruk di dunia. Lebanon sendiri sedang berdepan krisis ekonomi, bermakna pelarian paling kurang diberi perhatian, atau tiada langsung.”

Di daerah yang dijadual dilawati KHOM, menurutnya bekalan elektrik ke kem-kem hanya dapat dibekalkan sejam, setiap hari.

“Sambil meninjau situasi, KHOM akan menyampaikan bekalan lampu solar untuk menerangi laluan di kem-kem. Juga sumbangan pelitup plastik khemah agar penghuni dapat berlindung daripada bahang musim panas, serta menghangatkan mereka pada musim sejuk,” katanya.

“Sejumlah pelarian kanak-kanak akan menerima sumbangan pakaian, bersesuaian dengan Aidiladha yang bakal menjelang. Tapi kami menjangka situasi yang sangat mencabar di Lebanon kerana jika mencari penginapan dengan bekalan elektrik pun sukar buat kami, apatah lagi mereka.”

Cabaran juga, kata Nik Marina, makin dirasai apabila ada sebahagian pihak yang mengkritik usaha dijalankan NGO tempatan secara semberono sehingga menjejaskan bantuan untuk golongan yang sangat memerlukan.

“Sanggupkah kita berada di tempat mereka?” katanya. “Satu-satunya yang memisahkan antara kita dan mereka ialah nasib. Takdir kita dilahirkan sebagai rakyat Malaysia yang ramainya prihatin sedangkan mereka hidup sebagai mangsa perang.

“Ini bukan soal mereka orang luar, bukan orang kita. Saya percaya tidak seharusnya ada dua darjat dalam ihsan. Siapa saja yang memerlukan bantuan, terutama dalam kes ekstrim dan kritikal, perlu dibantu jika kita ada kuasa untuk melakukannya.”

*Sumbangan boleh dibuat ke tabung Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan KHOM menerusi akaun (Maybank) 5530106276-7 atau (CIMB Bank) 8603493305. Atau, layari khom.org.my untuk info lanjut.