Daripada Pembikin Kuih Lejen ke Hero Karipap, Cyberjaya Makan Best Fest (CMBF) 2019 Buat Liur Meleleh
Teroka menu tempatan dan antarabangsa di festival makanan dengan gerai-gerai Pop Up terbaik dan kelas Masterclass.

AHAD depan, festival makanan unik, CMBF 2019 bakal menjengah Cyberjaya dengan mengumpulkan pengusaha-pengusaha makanan terbaik dari serata Kuala Lumpur, selain pakar-pakar veteran kuih tradisional dan pembikin karipap dari luar daerah untuk diteroka pengunjung.

Cuma sehari, festival anjuran FriedChillies ini bakal disertai puluhan gerai Pop Up milik jenama popular, antaranya Pastribella yang dimiliki Juara Masterchef Musim 1, Dr Ezani selain pelbagai pizza unik myPizzaLab, juga Nasi Lemak Angah dari Jalan Ipoh dan Beard Brothers BBQ dengan brisket daging yang menggegar jiwa.

Brisket daging Beard Brothers BBQ

Ini 5 SEBAB untuk anda ke CMBF 2019:

ANDA FOODIE?

Gila makan atau sekadar mahu meluangkan masa bersama keluarga dan teman, CMBF 2019 gerenti gempak sebagaimana penganjuran festival makanan anjuran FriedChillies yang lalu, menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adly Rizal.

“Pengunjung akan dihidangkan dengan makanan yang bukan sahaja terbukti lazat dan berkualiti tinggi, tetapi juga majoritinya dimiliki anak tempatan,” katanya mengenai jenama FriedChillies yang sebelum ini menganjurkan acara seperti Eat Nasi Lemak dan Ayam Lejen.

“Kami menyediakan platform terbaik agar komuniti ini dapat berkomunikasi, meraikan dan menikmati makanan-makanan yang hebat dengan harga berpatutan bersama keluarga dan rakan-rakan.”

Nasi Lemak Angah

PAKAR KUIH KE KELAS MASTERCLASS

Rasai kemewahan lewat resepi yang diperturunkan nenek moyang kita lewat segmen Kuih Lejen yang menampilkan pembikin veteran dalam industri pembuatan kuih seperti Mak Jah dan La Cucur, serta Mok Teh yang dikenali dengan kuih-kuih dari Pantai Timur dan Apom Johol dari Negeri Sembilan.

Sekalian, memandangkan pakar pun sudah di depan mata, apa kata sertai kelas Masterclass pembuatan kuih secara percuma, juga dibuka untuk kanak-kanak, yang mendedahkan cara-cara yang betul untuk membuat kuih.

Ondeh ondeh

HERO KARIPAP

Siapa pembikin karipap terbaik? Ini hari di mana pembuat dan peniaga karipap terbaik di Malaysia berkumpul, antaranya Karipap Mutiara dari Pulau Pinang yang dikenali dengan Karipap Rusa mereka, selain Karipap King Kong yang mencipta nama dengan karipap ayam dan daging yang besar dan tidak lokek inti.

Atau, mungkinkah Karipap Satay Ayam Mama dari Kajang dengan daging sate memenuhi pastri bakal beri saingan?

Karipap rusa

PROJEK KWIH, ILMU WARISAN

Saksikan pelancaran Projek Kwih, iaitu sebuah buku resepi yang padat dengan kisah masyarakat dan petua memasak yang menurut Pengarahnya, Honey Ahmad, sebagai perkongsian pengetahuan agar warisan pembuatan kuih, terutamanya kuih muih yang jarang didengar akan dapat diteruskan.

“Ini adalah lanjutan daripada projek warisan makanan dengan kolaborasi bersama Yayasan Hasanah. Dinamakan Projek KWIH, kami telah mengumpulkan pelbagai resepi kuih dan petua dari seluruh Malaysia selama dua tahun,” katanya.

DISKUSI BISNES

Ingin berbisnes makanan? Bizniz Talk, iaitu sebuah majlis diskusi bisnes akan dikendalikan peniaga-peniaga makanan berjaya di Malaysia.

Ceramah, termasuk mengenai penjenamaan oleh Rekanegara yang dikenali dengan hasil kerja mereka besama Coca-Cola dan Malaysia Airlines.