#mukabaru Laluan Tak Mudah Buat Adam E, “Sebab Saya Anak Hattan”
Oleh Zurina Waji
Debut dengan single Perlukan Aku, penyanyi hip hop ini perlu lebih dulu membuktikan apakah dia bisa berdiri sendiri.
BUKAN tidak suka, cuma kadang lemas. Sering, apabila Adam Eiman diketahui ada pertalian dengan Datuk Hattan, antara sosok papan atas dalam dunia muzik tanahair, dia dikira seolah-olah dibentangkan karpet merah.
“Tapi Hattan adalah Hattan. Saya bukan Hattan,” katanya yang menggunakan nama pentas Adam E.
Diusik namanya yang seperti rapper legendakulit hitam Eazy-E, penyanyi berusia 21 tahun ini ketawa, mencelah karya sosok yang digelar “Godfather of Gangsta Rap ” itu antara yang mempengaruhi ramai penggemar sepertinya.
Kembali pada persoalan tadi, katanya punya ayah seperti Hattan sebenarnya bukanlah mudah, apatah lagi kerana keinginannya ialah untuk bertapak dalam dunia muzik sebagai dirinya. Iaitu, dengan membuat muzik sebagaimana yang dimahukannya.
“Saya sebenarnya tak mahu orang nampak saya dibayangi Hattan. Saya, kalau boleh, mahu orang jangan sampai tahu saya anak Hattan tapi tak mungkin, kan?”
Ditaja oleh Sasuke, Perlukan Aku yang merupakan kolaborasinya dengan Hattan, bagaimanapun menurutnya disifatkan sebagai penghormatan kepada ayahnya itu.
“Pengaruh ayah kuat dalam single ini,” katanya yang menghasilkan lagu itu dengan bimbingan Hattan. Sungguh bukan sebagaimana yang diinginkannya, dia akur dengan pandangan bapanya agar debut itu lebih bersifat komersial.
“Saya anggap ia sebagai platform untuk saya melangkah masuk dalam dunia muzik tanahair. Saya sebenarnya tak mahu orang nampak saya dibayangi Hattan. Saya, kalau boleh, mahu orang jangan sampai tahu saya anak Hattan tapi tak mungkin, kan?
“Saya buat muzik sebab saya suka, tidak begitu kisahkan soal komersial. Sekiranya soal pertalian antara kami tetap dipandang dulu, saya fikir… Ah, kenapa tidak? Saya tidak boleh berbuat apa-apa biarpun sejujurnya, saya tidaklah rasa gah sangat kerana yang hebat itu ayah, sedangkan perjalanan saya masih jauh.”
“Tapi saya pun bukanlah lyrical rapper yang lebih untuk pasaran niche, sebaliknya lebih pada melodi… ”
Gemar dengan karya seperti daripada Kanye West yang disifatkan sering tampil dengan produksi muzik yang sangat unik, selain bakat tempatan seperti Sona One dan Aliff, Adam E mengakui dia asalnya cenderung pada metal.
“Saya, semenjak kecil memang didedahkan pada rock, metal tapi apabila semakin membesar, terarah pada irama rap, hip hop.
“Tapi saya pun bukanlah lyrical rapper yang lebih untuk pasaran niche, sebaliknya lebih pada melodi yang kenalah dengan selera penggemar muzik tempatan,” katanya yang banyak belajar daripada rapper dan pencipta, Ayril Senna.
Jelas penuntut jurusan Pengurusan Perhubungan Awam dan Acara ini, dia tidak boleh meramalkan bagaimana masa depannya dalam bidang muzik namun tekad untuk sentiasa memberikan yang terbaik dan paling penting, “Buat muzik dan seronok melakukannya.”
Dikaitkan dengan Hattan, dia meneydari ia boleh jadi kelebihan atau sebaliknya. Persepsi, menurutnya akan sentiasa mengekorinya dan kerana itu, single keduanya kelak lebih merupakan terjemahan kepada dirinya yang sebenar.
“Saya dan ayah, kami daripada dua dunia yang berbeza,” katanya, ketawa walaupun menyedari secara fizikalnya, seperti Hattan , tinggi lampai orangnya dengan lontaran bicara yang laju, seakan siap untuk rap. “Jika ayah dengar lagu saya mungkin dia pun pening.
“Cuma, ayah tidak pernah memaksa dan mengizinkan saya memilih jalan saya. Saya berterima kasih kepada ayah untuk itu, kerana memberi kebebasan untuk saya membuat pilihan.”
Bagaimanapun, bukan hanya mahu bergelar penyanyi dan pencipta, Adam E mengidamkan untuk memperkenalkan festival muzik bagi menebarkan budaya vibrasi yang baik menerusi bakat-bakat tempatan, terutamanya satu hari nanti.
“Saya ingin ada satu acara besar, di mana ramai artis kita dapat mempertontonkan bakat mereka. Saya mahu masyarakat buka mata bahawa Malaysia pun ada bakat. Malaysia bukan hanya ada Yuna, misalnya tapi kita ada lebih daripada itu untuk diberikan,” katanya lagi.
Comments are closed.