Motif Tak Keruan Isu Poligami Dalam Genre Pembunuhan Misteri
Debut Nadiah Hamzah perlukan lebih rasa untuk menilai persoalan sebagai wanita

Oleh Zurina Waji

IA adalah gaya klasik kes jenayah di sebuah pekan kecil, melibatkan kehilangan seorang remaja perempuan daripada keluarga kaya dalam sebuah pengkisahan yang bertaut dengan permasalahan berhubung poligami dan seksisme.

Malam diiringi bunyi petir yang menerbitkan rasa seram pada babak pembuka, di mana seorang remaja perempuan dilihat melemparkan beg sandangnya ke lantai yang berlumut sebaik memasuki sebuah rumah tinggal penuh berselirat dengan tumbuhan liar, menjanjikan permulaan baik buat Motif.

Seawal minit, rasa gusar dicetuskan oleh tindakan remaja itu yang hanya berpandukan lampu daripada telefon bimbitnya, meneroka lebih dalam dan menemukan sebuah kamar dengan tilam berhamparan putih yang tampak bersih. Serentak, seseorang menyelinap dan memukul remaja tadi daripada belakang. Apa tujuannya ke situ? Persoalan lebih getir, hidup atau matikah dia?

Pembukaan Motif segera memaku audiens untuk ikut merungkai misteri kejadian.

Itu bagaimana audiens diperkenalkan dengan watak Anna (Khayrani Kemal) anak perempuan sulung seorang usahawan, Hussein (Datuk Rosyam Nor) iaitu orang kaya di pekan yang meminjam nama Tanah Merah, gambaran daerah di Kelantan yang tidak jauh dari sempadan Thailand.

Kehilangan Anna menyebabkan hingar dan perkara terakhir diperlukan pekan kecil ini, terutama Inspektor Rizal (Taqim Zaki) ialah kedatangan seorang wanita dari bandar besar, dikenali sebagai Inspektor Dewi (Sharifah Amani) yang ditugaskan untuk membantu menyelesaikan kes.

Kehadiran Inspektor Dewi mencabar keegoan Inspektor Rizal yang memandang rendah keupayaan wanita bertubuh kecil itu, lalu menyisihkannya. Itu bagaimanapun, bukan satu-satunya yang perlu dihadapi Inspektor Dewi yang sedang berperang dengan masalah peribadi.

Sharifah Amani membuatkan audiens ikut merasai kecamukan Inspektor Dewi, sebagai isteri kedua kepada lelaki yang tidak sensitif terhadap perasaannya. Biar peranan Inspektor polis itu ada kalanya kurang menyakinkan, keupayaannya menyalurkan gejolak emosi seorang wanita yang pada satu ketika,digambarkan tidak mampu lagi menanggung tekanan lalu membuatnya rapuh, diberikan melalui lakonan yang mantap.

Kemunculan Rosyam yang seolah menguasai Tanah Merah, dengan keegoan melampau dan sikap barannya, dilihat sebagai antagonis di dalam cerita. Siapa sebenarnya Hussein sehinggakan Inspektor Rizal pun tampak gentar dan harus tunduk dengan kemahuannya? Apa yang begitu terdesak untuk disembunyikan Hussein?

Sharifah Amani dan Rosyam Nor, tunggak utama Motif

Audiens dihadapkan dengan kebarangkalian pembabitan Hussein dalam kes kehilangan anaknya ekoran percanggahan dalam kenyataan mengenai perhubungan Anna dan bapanya, didedahkan oleh bekas teman lelaki Anna, Azlan (Fadhli Masoot) setelah dipukul gangster, dipercayai orang upahan Hussein.

Juga pendedahan adik Anna, Anis Hussein (Sharmin Edora) selain Suri (Sherie Merlis), isteri Hussein sendiri yang bagaimanapun, menimbulkan rasa aneh tentang keadaannya sebagai seorang ibu yang kehilangan anak. Atau, mungkin Suri juga punya agenda?

Penemuan mayat Anna oleh Inspektor Dewi, disorok di lubang dekat banglo milik bapanya yang sedang dibina secara rahsia menjadikan Hussein sebagai saspek utama ketika kemunculan Kamal (Azhan Rani) membayangkan sebaliknya.

Soal seksisme dalam institusi masyarakat yang ikut menyusupi dalam budaya kerja di negara ini, cuba disoroti sutradaranya yang juga merupakan penulis bersama Motif ,selain Honey Ahmad, yang tentunya ingin meminjamkan perspektif seorang wanita dalam merungkai kegelapan di sebalik sebuah poligami.

Nadiah, condong pada drama noir Scandinavia, memanfaatkan ketajaman visualnya yang dibantu sinematografer, Zainudin Mohamed, terutama dalam memberikan mood pada suasana di pekan kecil dan karektor-karektornya yang mula terganggu, mendedahkan tentang perkahwinan yang tidak bahagia dan kehadiran orang ketiga dalam pergelutan yang diheret oleh nafsu dan ketamakan.

Nadiah Hamzah

Isu poligami sebagai plot bagaimanapun, tidak didalami secukupnya dan disentuh sekadar untuk mencukupi syarat bagi menampakkan konflik dalam penceritaan. Sebagaimana penyiasatan yang seharusnya menjadi tunggak kepada jalan cerita ini, sebaliknya hanya dibuat secara mendatar tanpa ada elemen saspens yang sepatutnya.

Dan seandainya kelainan daripada perspektif wanita yang diharapkan, Motif tidak memperlihatkannya.

Konflik antara Inspektor Dewi dan Hussein, begitu juga dengan Inspektor Rizal, mungkin boleh didalami lagi. Begitu juga dalam membangunkan karektor seperti Yasmin (Emma Tosh), wanita yang berada di rumah tumpangan di daerah hitam tempat Inspektor Dewi menginap. Perincian, bagi menghidupkan suasana Tanah Merah terutama pemahaman tentang budaya sepatutnya diberi perhatian seperti loghat yang diigunakan.

Secara komersial, gandingan julung kali Rosyam dan Sharifah Amani ini tidak berupaya mengimbangi ramainya muka-muka baru yang dipertaruhkan, malah kehadiran Azhan pun tidak memberi sebarang impak sebagaimana diharapkan.

Saat permulaan filem dilihat menjanjikan keterujaan, ia bagaimanapun seolah gagal mengekalkan momentum naratifnya. Melewati separuh jalan, penceritaan mulai terkeluar daripada kerangka dan apakah mungkin kerana kekangan bajet sebagai alasan, karya ini nampak terburu-buru disumbat cerita untuk diselesaikan.

Bagi pasaran komersial, Motif disukarkan dengan momentum yang bergerak perlahan dan hakikatnya, karya sebegini terarah lebih untuk kelompok niche. Sebagai debut, Nadiah bagaimanapun memperlihatkan potensi untuk membina namanya dalam industri dan mungkin, dengan lebih pengalaman, memahat nama sebagai sutradara wanita dikagumi.

Barisan utama Motif