“Rata-rata orang kita miskin.” – M Nasir tentang sentimentalisme Suara Takbir
Lagu P Ramlee itu antara tiga karya klasik raya yang disenaraikan bagi konsert Cipta Raya, malam ini.

Oleh Zurina Waji

“Masa kecil dulu, tengok budaya, ekonomi (masyarakat, ketika itu), rata-rata orang kita, rata-ratanya miskin.”

“KAMI bagi homage pada tiga lagu lama ini, iaitu ciptaan (Tan Sri) P Ramlee, Ahmad Jaafar dan satu lagi, daripada Oslan Husein,” kata Dato M Nasir, merujuk antara 19 judul yang telah dipilih untuk konsertnya.

Sebagai spin off daripada konsert Cipta 2, persembahan yang digelar Konsert Dato M.Nasir Cipta Raya di Zepp KL, malam ini menebarkan semangat Aidilftri, termasuk yang disifatkan peribadi buat sang sifu.

“Kita minat lagu dia (M Nasir), tapi dia minat siapa? Lagu yang dia minat itu yang kita nak dia bawakan,” kata Iman Tang, pengasas Icon Entertainment yang mengakui diinspirasi daripada lagu Satu Hari di Hari Raya yang dibawakan M Nasir pada konsert lalu.

Tanpa lengah, tiga karya lama yang paling bererti buat M Nasir dimasukkan di dalam senarai 19 lagu yang disusun untuk memberikan rasa nostalgia raya dengan sebahagiannya dilihat sebagai lagu popular pada musim raya.

Suara Takbir ciptaan P Ramlee dengan lirik oleh S Sudarmaji, akuinya, menduduki senarai teratas peribadinya yang disifatkan sebagai satu-satunya yang menjurus pada “keagamaan” berbanding lagu raya lain.

“Masa kecil dulu, tengok budaya, ekonomi (masyarakat, ketika itu), rata-rata orang kita, rata-ratanya miskin,” katanya, bagaimana lagu itu mengingatkannya pada kehidupan silam, menjadikannya cukup dekat di hatinya.

Sambil menyifatkan Suara Takbir sebagai sebuah karya yang hebat daripada pengkarya genius dengan pemikiran sebegitu pada zaman itu, tambahnya, “Kita (dapat) rasakan lagu-lagu macam ini, ia ada pesan kerakyatan.”

Penghormatan juga, menurutnya, turut diberikan kepada ciptaan Ahmad Jaafar berjudul Selamat Hari Raya dendangan Allahyarham Puan Sri Saloma, dan Selamat Hari Lebaran yang dibawakan oleh Oslan, penyanyi Indonesia kelahiran Padang, Sumatera Barat.

“Lagu P Ramlee, Ahmad Jaafar dan Oslan ini adalah Top 10 lagu terbaik Hari Raya, mungkin bukanlah yang paling baik tapi antara 10 terbaik yang buat saya teringat zaman kecil saya. Iaitu, lagu paling popular pada zaman 50an, 60an, 70an.

“Lagu Selamat Hari Raya Saloma itu popular, masih merupakan sebuah lagu popular yang menjadi antem, maknanya kalau kita dengar (merasakan) esok raya. Walaupun ada lagi lagu-lagu lain yang popular dan menjadi legenda, ia antara lagu pertama yang sangat popular pada waktu saya membesar,” katanya.

Malam ini juga, menurut M Nasir, malam penentuan bagaimanakah reaksi audiens, sama ada mereka dapat menerima apabila tiga karya klasik berkenaan dipersembahkan dalam gubahan baharu kelak.

“… mungkin (audiens) tak suka atau apa dengan gubahan baru itu yang kami buat dengan kontemporari punya muzik. Tapi inilah kenapa saya bagi homage, penghormatan kepada lagu-lagu ini… “

“Sudah tentu, lagu P Ramlee, ia mewakili kesyahduan. Macam lagu Saloma, ciptaan Ahmad Jaafar, lagi itu riang. Lagu itu ceria, mengenai suasana Hari Raya dengan berentak Latin yang telah diubahsuai.

“Nak tahu jugalah apabila dipersembahkan nanti, mungkin (audiens) tak suka atau apa dengan gubahan baru itu yang kami buat dengan kontemporari punya muzik. Tapi inilah kenapa saya bagi homage, penghormatan kepada lagu-lagu ini, termasuk, saya tak tahu ciptaan siapa, tapi dinyanyikan Oslan Husien daripada Indonesia, dan kerana raya orang juga suka kepada sentimentalisme,” katanya.

Sementara itu, menurut Iman, Cipta Raya lebih bersifat intimasi, berbanding dua konsert mega M Nasir, sebelum ini, yang meraih kejayaan luar biasa ketika dipersembahkan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

“Tapi Cipta Raya bukan macam show raya di TV. Kali ini, lebih santai, intimasi dengan fans. Kalau Cipta di Axiata kan duduk jauh, kali ini lebih dekat, jadi kita pecahkan tembok supaya tiada rasa ‘seram’ nak mendekati Dato,” katanya.

Sambil menyifatkan Cipta Raya sebagai unik, bakal disempurnakan dengan pencahayaan dan visual sepanjang persembahan, Iman juga melihat senarai lagu yang termasuk beberapa judul yang bukan lagu raya tapi bernuansa keraian sebagai antara tarikan konsert.

“Penting kod pemakaian, Glam Raya, jadi semua kena bergaya all out,” katanya, ketawa.