M Nasir dan Satu Hari di Hari Raya

Keraian di Konsert Dato M.Nasir Cipta Raya yang mengembalikan nostalgia.
Oleh Zurina Waji | Foto Bangsawan Pictures
“Rendisi Suara Takbir itu, menurut saya, adalah pertaruhan penuh makna daripada pengkarya yang juga digelar sifu itu dan sebagaimana saya jatuh hati dengan keMelayuan Hijab Kekasih, begitu juga ia segera bikin hati terpaut.”
ADA rasa yang tidak tertanggung lagi. Suara Takbir sebagai homage, yakni penghormatan oleh seorang pengkarya disegani seperti M Nasir kepada seniman yang tiada galang ganti sempat membuat dada sesak.
Momen tercipta bersama sentuhan asli Melayu yang disusun semula untuk karya klasik raya ciptaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee itu yang mengalunkan bait indah nukilan Allahyarham S Sudarmaji.
Rendisi Suara Takbir itu, menurut saya, adalah pertaruhan penuh makna daripada pengkarya yang juga digelar sifu itu dan sebagaimana saya jatuh hati dengan keMelayuan Hijab Kekasih, begitu juga ia segera bikin hati terpaut.
Kerana tidak hanya nafas baharu yang diberikan, penyampaian sepenuh jiwa dalam memaknai keraian Aidilfitri sebagai hari kemenangan umat Islam menjadikan versi pada Konsert Dato M.Nasir Cipta Raya di Zepp Kuala Lumpur, baru ini, antara yang terbaik pernah diperdengarkan.
Tidak mudah sebetulnya memandangkan sentimen terhadap lagu seklasik Suara Takbir dengan rentak masri itu walaupun dalam kesederhanaannya, apatah lagi milik P Ramlee dengan kesyahduan suaranya, akan sentiasa mengundang pandangan ekstra kritikal.
Antisipasi terhadap gejolak rasa itu, bagi saya sendiri, ikut didorong pertemuan dengan M Nasir, tiga hari menjelang konsertnya, bagaimana satu-satunya lagu “berunsur agama” antara judul raya lain itu sering membuatnya tercampak kembali ke masa silam.
“Masa kecil dulu, tengok budaya, ekonomi (masyarakat, ketika itu), rata-rata orang kita, rata-ratanya miskin,” katanya, memperjelaskan mengapa lagu itu cukup peribadi baginya. “Kita (dapat) rasakan lagu-lagu macam ini.”
Padanlah mengapa malam itu membuat audiens ikut merasakan penghormatan terbesarnya buat insan yang juga menyandang gelar Seniman Agung itu yang mula berkarya seawal era 1940an. “P Ramlee?” kata M Nasir apabila ditanya lanjut, “P Ramlee adalah seniman budaya. Seniman rakyat, genius rakyat.”

BACA: “Rata-rata orang kita miskin.” – M Nasir tentang sentimentalisme Suara Takbir
Tapi Suara Takbir bukan satu-satunya yang dipersiapkan M Nasir dalam homagenya bagi menyempurnakan senarai 19 lagu raya, termasuk yang pernah ditulis untuk penyanyi lain.
Saat klasik P Ramlee membekas pada banyak hati, mengulangi nostalgia yang terus datang biar tahun silih berganti, lagu Oslan Husin, Selamat Hari Lebaran yang dicatat dicipta M Jusuf yang memimpin Orkes Widjajakusuma yang mengiringi penyanyi kelahiran Padang, Sumatera itu, mengirimkan senyuman.
Juga Selamat Hari Raya ciptaan Ahmad Jaafar dengan rentak cha cha pada akhir malam yang disebut M Nasir sebagai “lagu antem Hari Raya” sejak diberikan kepada Saloma dan membuat audiens Cipta Raya anjuran Icon Entertainment itu melonjak dengan rentak rocknya.
“Kenapa setiap kali raya, orang nak balik kampung? Sebab nostalgia, bukan. Seperti lagu raya, banyaknya tentang nostalgia.”
KERAIAN DAN NOSTALGIA
Nuansa rock buat lagu Biduanita Negara itu bagai mengulangi karya yang pernah dicipta M Nasir untuk legenda rockers seperti Ella dan Amy Search, malah malam persembahannya dibuka dengan Raya Yang Sempurna yang dipopularkan Awie.
Kejutan manis diberikan lewat Halaman Asmara yang menyatukannya dengan fans bernama Putery, memukau bukan saja dengan kebaya pendek dan batik lipat selisihnya, malah lebih lagi kerana lontaran suara sekilas Ziana Zain dalam duet hebatnya dan Awie.
Ingin benar melihatnya sepentas dengan Al-Jawaher ketika dia menyanyikan Selamat Hari Raya yang diciptanya untuk kumpulan nasyid terkenal 80an Singapura itu, sambil ikut tertanya sendiri tentang karya underdognya, Lebaran Bonda yang diberikannya kepada Hattan dulu.
Kata M Nasir, dia ingin memberikan nostalgia. “Kenapa setiap kali raya, orang nak balik kampung?” ujarnya pada satu pertemuan, “Sebab nostalgia, bukan. Seperti lagu raya, banyaknya tentang nostalgia.”

Cipta Raya dijanjikan lebih intimasi, mendekatkan jurang dengan audiens yang berbondong berpatisipasi dengan berbusana Melayu, memeriahkan konsert ala rumah terbuka ini yang ikut memberikan satu-satunya medley, Esok Hari Raya, nyanyian asal Dr Sam and Musafir dan Ada.
Lagu berunsur keraian seperti Raikan Cinta, Phoenix Bangkit Dari Abu, Sahabat Gua dan Apokalips, bagaimanapun diberikan sekadar, kadang dengan layar visual yang mencabar mata. Cuma Suatu Masa, entah kenapa, terasa ekstra malam itu, benar menusuk jiwa.
Tapi kerana ini M Nasir, hatta kesilapan kecil dalam penyampaian pun mencipta momen yang menghiburkan sambil saya cuba menepis kerimasan dengan jenaka pengacara yang bikin rasa canggung.
Jarang sebetulnya yang dapat menyaingi aura yang dimiliki sosok berusia 67 tahun ini yang seakan tidak pernah lelah dengan seninya seawal dia membuka panggung dengan montaj di rumah kampung. Ingin saya memetik hujung baitnya:
“Kita raikan manifestasi rahmah dari sungai yang mengalir cinta
Kita makhluk yang dijadikan kerana cinta
Dan cinta kita keajaiban yang tak ternlai. Miliknya.”
Salam Dunia mengakhiri malam dengan keindahan luar biasa yang lebih dulu menyapa lewat Satu Hari di Hari Raya, klasik M Nasir yang membuat perasaan dihambat nostalgia yang bisa saja membuat air mata tumpah tanpa sedar. Selamat Hari Raya.
Comments are closed.