Setelah Kollywood, Darkkey Kembali Lewat Konsert Solo Pertama

Di Panggung Bangsawan Melaka, 2 Ogos ini, legenda muzik Tamil itu bakal muncul dengan persembahan istimewa untuk membantu mengumpul dana kebajikan.
Oleh Zurina Waji
“Darkkey adalah pilihan tepat untuk konsert sulung penganjuran MMPCC dalam membantu NGO seperti kami ini meraih dana bagi melaksanakan program kebajikan.” – T Manimaran
“KERANA dia legenda,” kata T Manimaran, Presiden Melaka Maju Peoples Charity Club (MMPCC) mengenai penganjuran I Am Darkkey: King of Samba Rock Concert yang menampilkan ikon rock Tamil tempatan, Darkkey Nagaraja.
“Sesuai dengan pengaruh dan inspirasi yang diberikannya, Darkkey adalah pilihan tepat untuk konsert sulung penganjuran MMPCC dalam membantu NGO seperti kami ini meraih dana bagi melaksanakan program kebajikan.”
Jelasnya, MMPCC yang beribu pejabat di Melaka giat menjalankan kerja-kerja kebajikan sejak 2019, membantu golongan miskin dan anak yatim, terutamanya selain melaksanakan program bagi tujuan pendidikan.
Ia juga, katanya, sebagai usaha dalam memperluaskan peranan MMPCC di seluruh negara.
“Diharap dengan adanya kolaborasi bersama figura seperti Darkkey dapat membantu MMPCC melaksanakan lebih banyak program kebajikan, sambil memperluaskan peranan kami, bukan saja di Melaka, malah di seluruh negara,” katanya.
Dianjurkan dengan kerjasama Patahati Universe, selain Panggung Bangsawan Melaka dan Tourism Melaka sebagai rakan strategik. publisiti konsert ini dikendalikan Mewah Event Management dan iLasso Tickets, tiket rasmi.

Presiden, T Manimaran (dua dari kiri) bersama pegawai MMPCC dalam kunjungan pemeriksaan di Panggung Bangsawan Melaka
T Manimaran, berkata konsert itu juga adalah sebagai penghormatan kepada Darkkey yang baru ini, menembusi industri perfileman Tamil, Kolywood, menerusi lagu AK The Tiger yang digunakan bagi runut bunyi filem Good Bad Ugly.
Dibintangi Ajith Kumar, filem aksi komedi arahan Adhik Ravichandran itu mencatat kutipan tertinggi bagi filem Tamil, tahun ini, dengan klip lagu ciptaan dan nyanyian pencetus muzik samba rock Malaysia itu meraih tontonan lebih 20 juta kali.
“Dia artis India paling lama, dan masih bertahan sampai sekarang. Sepertimana muzik rock Melayu ada Awie, industri muzik Tamil ada Darkkey. Konsert ini juga sudah tentu sebagai meraikannya yang baru ini mencipta fenomena di Kollywood” ujarnya.
“… kedudukan unik Panggung Bangsawan Melaka ini, iaitu di tengah zon buffer UNESCO yang direnovasi Perbadanan Melaka atau MCorp pada 2024 daripada sebuah panggung wayang lama Cathay untuk dibangunkan sebagai hab seni bagi persembahan live di Melaka.” – Datin Sukhirah Ibrahim

Darkkey tampil dengan konsert, diiringi Santesh dan Zubir Khan
Selain menawarkan tiket pada harga serendah RM69, konsert yang juga bertujuan memartabatkan muzik Tamil tempatan itu turut menampilkan dua bintang muda tempatan, iaitu Santesh dan Zubir Khan.
Santesh yang mencipta lagu solo pertamanya, Endrum En Kadhaley pada usia 15 tahun menembusi pasaran arus perdana pada 2018 menerusi hits Melayunya, Amalina. Manakala Zubir yang berdarah Melayu-Pakistan menggegarkan industri dengan lagu seperti Yennode Macha yang meraih jutaan tontonan di media sosial.
“Apa yang boleh dijangkakan pada malam itu kelak? Sudah tentu persembahan enegertik daripada Darkkey, selain diharap membuka pintu lebih luas buat muzik Tamil tempatan dan pengkaryanya yang sudah tiba masanya meraih pengiktirafan,” tambahnya mengenai konsert berdurasi selama dua jam itu.
Pengurus Besar, Panggung Bangsawan Melaka, Datin Sukhirah Ibrahim dalam siaran medianya, melihat penganjuran seperti I Am Darkkey: King of Samba Rock Concert dapat menyokong usaha untuk merakyatkan seni persembahan live di Melaka.
“Ditambah dengan kedudukan unik Panggung Bangsawan Melaka ini, iaitu di tengah zon buffer UNESCO yang direnovasi Perbadanan Melaka atau MCorp pada 2024 daripada sebuah panggung wayang lama Cathay untuk dibangunkan sebagai hab seni bagi persembahan live di Melaka,” katanya mengenai fasiliti terbaru itu yang mula meraih minat daripada Singapura dan Brunei.
Patahati Universe, menerusi Pengarah Projeknya, Cassandra, berkata konsert Darkkey itu hanyalah permulaan dalam menjadikan Panggung Bangsawan Melaka sebagai tarikan baru pelancongan yang menawarkan Melaka sebagai alternatif kepada Kuala Lumpur, bukan saja kerana nilai estetika yang dimilikinya, malah harga tiket, misalnya yang jauh lebih kompetitif.
Akses
- 2 Ogos 2025
- 8.30pm
- Panggung Bangsawan Melaka
Tiket
- Bermula RM69 (Puli Puli – Berdiri), manakala duduk, RM79 (Akamage) dan RM89 (Adiva Adiva). Penjualan dibuka bermula 6 Jun. Pembeli tiket duduk juga akan menerima, antaranya lanyard eksklusif dan poster yang ditandatangan.
- Layari www.ilassotickets.com untuk pembelian tiket.
Comments are closed.