KepadaMu Kekasih
M Nasir atau Jamal Abdillah? Bisakah memilih di antara dua lelaki ini?

Oleh  Zurina Waji  |  Foto  Fauzi Hamid

“SAYA tidak memikirkan langsung, tidak pernah meramal apakah dia akan pergi jauh,” kata Datuk M Nasir semasa memberikan Azura kepada Datuk Jamal Abdillah lebih 30 tahun lalu, lagu pertama diciptanya untuk penyanyi itu.

Sambil ketawa, dia menambah, “Bukannya apa, sebab pada masa itu keadaan saya sendiri masih struggle. Saya sibuk memikirkan soal nasib sendiri, jadi mana mungkin saya berfikir untuk menebak masa depan orang lain.”

Azura diguna sebagai runut bunyi bagi filem pertama Jamal, menggunakan judul sama, di mana dia bergandingan dengan Ogy Ahmad Daud. Diarahkan Deddy M Borhan, Azura yang ditayangkan pada akhir 1984 menjadi filem Melayu tempatan pertama beroleh kutipan lebih RM1 juta.

Filem yang berlatar kehidupan remaja dengan grup motor itu juga meraih Anugerah Khas Juri bagi pengolahan kisah masyarakat semasa pada Festival Filem Malaysia ke-5, manakala lagu tema, Sandarkan Pada Kenangan iaitu duet Jamal dan Ogy ciptaan M Nasir dinobat Lagu Terbaik.

Tidak ada orang boleh menandingi Jamal di Malaysia ini, di arena muzik Melayu, lagu popular Melayu.”

M Nasir

Begitu pun, akui M Nasir, pandangan pertamanya terhadap Jamal ialah dia sememangnya seorang penyanyi.

“Dia memang dilahirkan untuk jadi penyanyi dengan suara yang ada nilai tersendiri,” kata M Nasir seraya menoleh ke arah Jamal di sisi kanannya, sebelum menambah, “Tidak ada orang boleh menandingi Jamal di Malaysia ini, di arena muzik Melayu, lagu popular Melayu.

“Saya tidak terperanjat (dengan populariti Jamal), malahan saya sendiri lebih senang bekerja dengan orang yang memang bagus menyanyi. Kita mahu apa pun dia boleh sampaikan.”

“Peminat kena datang kerana kita menyanyi. Ini (pertemuan) guru dan anak muridnya.”

Jamal

Konsert Duo Legenda selama empat malam di Istana Budaya, bermula 20 Disember ini, lebih daripada cuma persembahan dua bintang. Ia amat peribadi, terutama buat Jamal yang mencipta nama selepas dinobat Juara Bintang RTM 1979, di mana dia menyanyikan single Alleycats, Senandung Semalam ciptaan Wan Ibrahim dan lirik, M Nasir.

Jamal yang dari tadi mendengar, senyum. Dia yang berkaca mata hitam, membetulkan letak jaketnya sebelum mencelah, “Peminat kena datang kerana kita menyanyi. Ini (pertemuan) guru dan anak muridnya.“

Nada suara Jamal jelas menunjukkan tingginya rasa hormat yang ditumpahkannya terhadap M Nasir. Sungguh tidak jauh beza usia, M Nasir kini 61 tahun dan Jamal, 59, komposer kelahiran Singapura itu mempunyai tempat yang khusus di dalam hatinya.

Azura mempertemukan Jamal dengan M Nasir seawal era 80an

Satu ketika, sedang kami berbual, M Nasir berhenti untuk meneguk jus orennya. Jamal senyum memerhati, seolah mengimbau sesuatu sebelum dia kemudiannya memberitahu, “Inilah minuman M Nasir semenjak hari pertama saya bertemunya di Lion Studio, Singapura pada awal 80an. Ingat tak, masa kita berjumpa dulu, jus oren dalam kotak tu? Itulah yang ditogok M Nasir di studio.”

Jelas, bukan sedikit pengalaman dicatat di antara mereka. Di sebalik gelaran bintang dan legenda yang diberi kepada dua manusia ini, saya merasai sifat saling hormat yang disisipkan dalam perhubungan mereka.

Dan M Nasir dengan karektor seorang abang, terbuka dan begitu berterus terang dalam banyak perkara yang kadang dilihat sinikal, berbanding Jamal dan sikap merendah dirinya menjalin pertalian yang unik.

Pantaslah, saya kira, mengapa gandingan M Nasir dan Jamal sering membuahkan rasa magikal.

Sejujurnya, payah untuk tidak jatuh cinta dengan kelunakan suara Jamal dan kelembutannya, sebagaimana sukar untuk tidak merasai autoriti M Nasir yang boleh menggetarkan hati walaupun dia juga bisa hadir memberi kejutan dengan jenaka yang tidak diduga.

Ghazal Untuk Rabiah, antara duet terbaik mereka adalah satu daripada empat lagu yang akan dipersembahkan bersama selain Kiambang dan Malam. Cassidy Anderson, penyanyi asal Australia yang meraih perhatian netizen dengan lagu Melayunya, dipilih Jamal untuk berduet menerusi Sandarkan Pada Kenangan, selain Dua Insan bersama M Nasir.

Sepetang bersama dua lelaki hebat ini, saya menyimpulkan Konsert Duo Legenda anjuran BinJamal Event ini akan menjadi suatu yang up close and personal. “Kerja kita menyanyi,” kata M Nasir dalam pertemuan yang diatur Mewah Event Management sempena promosi konsert itu. “Ini untuk peminat. Dah lama dalam industri, tidak ada persembahan sebesar ini yang menampilkan kami berdua di satu pentas. Ini pertama kali.”

Jamal ketawa kecil, mencelah, “Dalam usia remaja purba ini, kami mahu terus menghiburkan peminat, berganding bahu. Saya pernah mendukung Osama (anak) semasa dia bayi untuk satu persembahan di Istana Budaya dulu dan kini, dia sudah besar. Dia akan tampil menerusi satu lagu kerana saya mahu dia buat persembahan di pentas ini, sebagaimana yang saya impikan dulu.”

Senandung Semalam, kata Jamal, dilihat titik permulaan pada pencapaiannya dalam dunia seni.

“Saya tak kenal pun siapa M Nasir, masa itu,” kata penyanyi asal Perak itu mengenai pemilihan lagu itu pada malam akhir Bintang RTM 1979. “Dia belum popular,” tambahnya, sebelum M Nasir menyampuk, “Lagu itu pun belum popular dan hanya selepas dibawa Jamal, barulah ia meledak.”

“…rumah pun sederhana. Bela ayam serama, ada akuarium. Dan sangat merendah diri. Dalam perbualan dengan Tun Dr Siti, cara dia memanggil kita, rasa macam ibu kita.”

Jamal

Mood nostalgia ikut mengisi konsert selama dua jam itu, membuai audiens dengan lagu seawal era M Nasir dan Kembara yang dijoloki komposer itu “zaman saya kurus, berambut panjang dan comot.”

Jamal yang mendengar ketawa, seraya mengakui turut berdebar kala memikirkan persembahan khas pada malam 22 Disember kelak, diiringi gesekan biola oleh isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, lewat Fatwa Pujangga dan Engkau Laksana Bulan, selain Gubahanku bagi mengutip dana yang akan disalurkan ke rumah anak yatim dan kebajikan orang tua.

“Mula tu, saya gementar dan rasa seram sejuk. Setelah berjumpa, rasa pasangan ini macam orang biasa, rumah pun sederhana. Bela ayam serama, ada akuarium. Dan sangat merendah diri. Dalam perbualan dengan Tun Dr Siti, cara dia memanggil kita, rasa macam ibu kita,” katanya yang mengakui begitu teringin bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Konsert ini, tujuannya bukanlah untuk duit sangat tapi untuk menambah kasih sayang kita, rakyat Malaysia, kepada dua insan ini. Ini bukan politik.”

Jamal menjalani sesi latihan bersama Tun Dr Siti Hasmah

Merenung dua legenda ini, fikiran berlegar tentang pertanyaan beberapa teman mengenai siapa lebih hebat di antara mereka berdua. Seandainya disuruh memilih, siapa? Soalnya, bagaimana mungkin.

Saat itu, bait puisi penulis Singapura, Eunos Asah yang menjadi sandaran M Nasir lewat Kepadamu Kekasih terngiang di telinga dan bagaimana ia bakal melempiaskan keindahan gandingan mereka sepertimana akui komposer itu, penuh makna, “Lagu itu memang makanan dia (Jamal).”

Peminat atau bukan, kenyataannya M Nasir dan Jamal sememangnya berada di dalam kelas mereka tersendiri.

Tiket konsert berharga RM158, RM258, RM358, RM458, RM558 dan RM1,000 (Golden seat/ VVIP) boleh dibeli menerusi www.ilassotickets.com atau hubungi 03-21706333, atau dapatkan terus di Istana Budaya.