Tiket Konsert M Nasir Satu Hikayat Panas, Jangan Gigit Jari
Disambung satu malam lagi, sebuah hikayat yang mengasyikkan bakal mengubati kerinduan.

BAGAIMANA perjalanan 40 tahun muzik hendak dimuatkan di dalam sebuah persembahan?

Soal pemilihan lagu, bersandarkan katalog seawal 1979 yang menghimpunkan lebih 2,000 karya, semasa menyertai Kembara hingga solo, selain duet bersama ramai penyanyi ternama, bagi M Nasir, tidak mudah dileraikan.

“Saya kena tengok daripada sudut sedap atau tidak untuk sebuah persembahan,” kata komposer dan penyanyi asal Singapura itu dalam satu temubual, baru ini. “Ikut (pemilihan) cerita Hikayat 40 Tahun, menurut perjalanan itu.”

Sambil mengakui tidak menduga konsert berkenaan menerima sambutan sehangat ini, sosok berusia 62 tahun itu bersyukur kerana masih diberi keghairahan untuk berkarya, sekaligus memenuhi permintaan penggemarnya yang menyaksikan persembahan ditambah satu malam lagi sebelum dibawa ke Singapura, awal tahun depan.

“Jadi, saya rasa inilah masanya buat para peminat yang sebelum ini sedih dan mengeluh kerana malam pertama sold out untuk mendapatkan tiket mereka dengan kadar segera,” katanya, dalam satu kenyataan kemudiannya.

“Dua malam untuk sama-sama menyusuri 40 tahun perjalanan muzik saya dalam satu hikayat.”

Dapatkan tiket di www.myticket.asia atau hubungi 03-86050195 | Hotline 012-2560082