Sujud Aidilfitri Tak Ekstravaganva, Tapi Search…
Kali pertama selepas lebih 30 tahun, Raya 2024 jadi tahun bersejarah buat band ini.

Oleh RUMI | Foto Universal Music

“Lirik dalam Sujud Aidilfitri lebih bersifat kepada muhasabah diri, merenung kekhilafan yang telah dilakukan, seterusnya dngan rendah hati memohon kemaafan. Ini Aidilfitri, hari kemenangan dan 1 Syawal secara tradisi dimulakan dengan kemaafan… “ – Amy Search

JADI, mengapa selepas lebih 30 tahun, Search memutuskan untuk merakam lagu Raya, akhirnya?

Band rock legenda ini menyatakan tidak ada yang ekstravaganva mengenai lagu yang diberi judul Sujud Aidilfitri itu. Tapi ini penjelasan vokalisnya, Datuk Amy:

Sujud Aidilfitri memiliki lirik yang lebih menyentuh dan beremosi, sesuai dengan suasana Hari Kemenangan itu sendiri. Lirik dalam Sujud Aidilfitri lebih bersifat kepada muhasabah diri, merenung kekhilafan yang telah dilakukan, seterusnya dngan rendah hati memohon kemaafan.

“Ini Aidilfitri, hari kemenangan dan 1 Syawal secara tradisi dimulakan dengan kemaafan sebelum umat Islam menyambutnya dengan penuh bahagia. Inilah yang disampaikan dalam Sujud Aidilfitri. Sebuah sengketa dapat terhapus dngan satu kemaafan yang sejati.”

Sesuai imej Search, Sujud Aidilfitri dibaluti irama rock dan balada yang menampilkan ciri khas vokal Amy. Diilhamkan sepenuhnya oleh Jun dan Search, lagu dengan lirik oleh Jun itu turut meminjam kepakaran Rozhan bagi mixing dan mastering, selain susunan oleh Rie Tsuji.

Selain Amy, Search kini dianggotai Hilary, Man Kidal dan Nasir.

Dipasarkan oeh Universal Music, lagu itu juga hadir bersama video muzik arahan Datuk M Razlan Ismail yang menjalani penggambaran di Terengganu.

Search, menerusi kenyataan medianya, memanjangkan penghargaan mereka kepada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu untuk kolaborasi yang membolehkan muzik video Sujud Aidilfitri dilancarkan.

“Kami sengaja memilih Terengganu kerana mahu memiliki suasana desa, damai dan bersesuaian dengan keseluruhan konsep lagu Sujud Aidilfitri,” kata mereka mengenai klip yang kini boleh ditontonj di laman YouTube Universal Music.