Spider Keluar Sarang, Jun Ini!
Keraian hampir tiga dekad band itu lewat konsert solo berskala besar di Kuala Lumpur.

Oleh RUMI | Foto IFIX Entertainment

“Spider adalah kugiran legenda yang bukan sekadar memberi hiburan kosong, tapi banyak maksud tersirat dalam karya mereka.“ – IFIX Entertainment

“TENTU saja Spider Keluar Sarang Live in Kuala Lumpur 2024 akan menjadi medan tempur paling kecoh pernah dianjurkan,” kata Tam, vokalis band rock dan ska ini mengenai konsert berskala besar pertama mereka, tahun ini.

Dianjurkan Ifix Entrertainment, ia dijadual berlangsung pada 22 Jun ini di Zepp Kuala Lumpur.

Sekian lama mengidamkan konsert solo, jelas Tam lagi, lamaran Ifix Entertainment hadir menuju hampir tiga dekad usia band berkenaan yang disambut, antaranya hasil persetujuan mengenai konsep dan misi yang dibawa.

“Setelah banyak terlibat dengan persembahan di festival atau gig usai pandemik, Spider melihat ini adalah masa yang tepat untuk kami keluar sarang,” kata pemuzik berbakat ini, memetik kenyataan medianya.

“Konsep keluar sarang yang dicapai bersama Ifix Entertainment menjadi pertaruhan kami kerana peminat sedia maklum sudah cukup lama Spider tidak beraksi di pentas dalam konsert berskala besar.”

Debut dengan Ngam Ho, band yang diasaskan di Johor Bahru pada 1996 itu juga dikenali dengan karya malar segar seperti Kasih Latifah, Cinta Dewa Dewi, Laukku Cukup Masin dan Nazraku. Selain Tam yang turut bermain gitar, Spider juga dianggotai Nafie (gitar), Is (bass) dan Aie (dram).

Spider juga merupakan pemenang beberapa anugerah berprestij, antaranya Album Pop Rock Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-10 menerusi album Aladin, sebelum dinobat Juara Lagu 2004 melalui lagu Relaku Pujuk.

Padanlah mengapa konsert di Zepp Kuala Lumpur ini kelak disifatkan sebagai perjalanan panjang yang layak dinikmati bersama saat ia ‘keluar sarang’ yang diyakini akan mencipta sensasi tersendiri di sebalik para penggeraknya.

“Sejujurnya, pihak IFIX Entertainment sudah lama mengikuti perjalanan karier Spider,” kata wakil penganjur. “Spider adalah kugiran legenda yang bukan sekadar memberi hiburan kosong, tapi banyak maksud tersirat dalam karya mereka.

“Karya-karya dilahirkan Spider cukup tersendiri, menjadikan mereka sebagai kugiran rujukan buat generasi masa kini yang mahu mencipta aliran muzik seumpama Spider. Walaupun sepanjang hampir 30 tahun Spider hanya memilik enam abum studio penuh, setiap album yang terhasil mempunyai banyak hits.”

Akses

  • 22 Jun 2024
  • Zepp Kuala Lumpur
  • 8.30pm

Tiket