Mood 50an HAHAHAHAHari Raya Ernie Zakri
Lagu Raya baharu daripada penyanyi berbakat ini yang katanya, “Ada gaya tersendiri.”

Oleh RUMI | Foto Universal Music Malaysia

“… saya tambahkan melodi, khasnya di rangkap bridge kerana ingin menyerlahkan sedikt gaya baharu pada karya ini. Jadi, ada unsur moden juga dan tidaklah seperti lagu Saloma dari era 50an sepenuhnya.”

“SEPERTI lagu-lagu seniwati Allahyarham Puan Sri Saloma, ia ada nuansa era tahun 1950an,” kata Ernie Zakri mengenai lagu Raya baharunya yang diberi judul HAHAHAHAHari Raya.

“Unsur ini ditampilkan supaya ada sedikit kelainan dari segi bunyi jika dibandingkan dengan lagu-lagu Raya saya, sebelum ini.”

Cepat meraih perhatian, ia merupakan ciptaan serta tulisannya sendiri bersama beberapa komposert dan penulis lirik, iaitu Mage, Glowrush dan Ajay Amai. Ia disusun dan diterbitkan oleh Adib Hussin dan Glowrush.

Jelas Ernie dalam kenyataan medianya, lagu itu awalnya sudah pun mempunyai versi pendek berdurasi dua minit.

“Kemudian kami mengambil keputusan untuk memanjangkan sedikit lagu ini. Di situ, saya tambahkan melodi, khasnya di rangkap bridge kerana ingin menyerlahkan sedikt gaya baharu pada karya ini.

“Jadi, ada unsur moden juga dan tidaklah seperti lagu Saloma dari era 50an sepenuhnya,” katanya, mengakui sentiasa meraih pengalaman baharu apabila bekerja dengan rakan penulis di Fatihful Music.

“Saya selalu dapat pengalaman baharu, selain mempelajari teknik-teknik lain dalam mencipta lagu baharu. Saya gembira dapat bekerjasama dengan mereka sambil merungkai bunyian baharu dalam muzik.”

Ditanya mengenai harapannya terhadap HAHAHAHAHari Raya, Ernie berkata:

“Kalau boleh semua orang mahu lagu Raya mereka menjadi malar segar dan berkekalan, namun apa yang paling pentng, saya ingin lagu ini membuat pendengar tertawa dan gembira. Saya mahu mereka menikmatinya, sesuai dengan konsep lagu ini sebagai sebuah lagu musim perayaan Aidilfitri.

“Semoga para pendengar akan mendapat kebahagiaan dan kegembiraan berHari Raya saat mendengar lagu ini.”