Pot Amir Meluncur Lewat Solatullah 313
Bagaimana single dengan lirik selawat Badar dan melodi Silent Night itu membuka jalan 2024nya.

Oleh Zurina Waji

“… Silent Night yang telah dicipta atas keperluan untuk menaikkan semangat, sama seperti Selawat Badar bagi menaikkan semangat. Penting untuk ada lagu yang true to itself daripada semua segi, daripada penciptaannya, ilhamnya sampai ke frekuensinya.”

NUKILAN ulama Indonesia, KH Raden Ali Mansyur yang digelar Selawat Badar menghiasi single Solatullah 313 dirakam Pot Amir sebagai sebuah persembahan a capella, menampilkan rakan-rakan aliran R&Bnya.

Diiringi suara bass Taj Addin ke tenor Azan Addin bersama teman Ruffedge –  Zain Ahmad dan Sein Qudsi, dan Lah Ahmad, selawat yang dialunkan menurut melodi Silent Night itu dilancarkan sempena Hari Badar, Ramadan lalu.

Cepat menangkap telinga, namun a capella itu membuat tanya kala melihat sejarah penghasilan lirik bagi menentang Parti Komunis Indonesia di tengah pembunuhan ulama di daerah perkampungan dalam melodi ciptaan seorang pendeta bagi memperingati malam kelahiran Nabi Isa di Bethlehem, Palestin itu.

“Tiada apa sebab, tapi lagu itu umpama datang, masa yang tepat,” kata Pot yang pernah menjadi sebahagian daripada Innuendo yang memberikan lagu malar segar, Belaian Jiwa yang mula dirakam band 70an, Carefree.

Rancak menggerakkan persembahan “lagu bebas genosida”, dia mengakui pertemuan semula dengan beberapa pelantun R&B tanahair sehingga terhasilnya Solatullah 313 juga suatu yang tidak dirancang.

“Tak perasan kami dikumpulkan pada 7 Oktober 2023, tarikh keramat yang digunakan rejim (Zionis). Itu satu petanda jika diingat kembali, dicampur cita-cita lama untuk membuat lagu,” katanya yang memberikan Alkaline Radiostar pada 2019 dalam projek solonya yang bernuansa alkaline jazz.

“Kita memang perlukan antem seperti Silent Night yang telah dicipta atas keperluan untuk menaikkan semangat, sama seperti Selawat Badar bagi menaikkan semangat. Penting untuk ada lagu yang true to itself daripada semua segi, daripada penciptaannya, ilhamnya sampai ke frekuensinya.”

Ditanya mengapa memilih menyampaikan secara a capella, dia mengakui ia didorong penghasilan Belaian Jiwa dalam versi a capella bagi projek EP Al Mawlid yang disertainya bersama

Lah, Zaf (VE), Azan, Amer Munawer Yusoff, juga Taj pada 2011.

Belaian Jiwa yang kami hasilkan bersama itu membuatkan kami seronok dengan projek sebegitu, tapi semuanya sibuk untuk diteruskan sehinggalah 7 Oktober lalu, kami dikumpulkan sekali lagi untuk konsert di Istana Budaya.

“Susulan isu di Palestin, ia mengingatkan pada projek yang sudah lama dicita-citakan. Direzekikan Allah, kami semua lapang untuk merakam, tapi tak mungkin dapat berkumpul jika tidak kerana semua setuju dengan selawat. Ada chemistry di situ, letak satu nota saja terus jalan,” jelasnya.

“Kita bukan EDM (muzik) nak pergi Tomorrowland, cuma buat apa yang boleh. Cita-cita mahu hasilkan antem, tapi… “

ANTEM MERAWAT JIWA

Solatullah 313, akui Pot, sebenarnya diinspirasi pertemuan dengan Kiai Kanjeng pimpinan pendakwah Indonesia, Emha Ainun Nadjib atau Cak Nun di Universiti Malaya pada 2004 yang berkongsi pengalaman menggabungkan Silent Night dengan Selawat Badar.

Pengkisahan yang dikongsi seniman terkenal itu, jelasnya, mengenai satu persembahan mereka yang berlangsung di sebuah gereja di Australia, juga menandai kembalinya dia untuk projek solo keduanya.

Dia berkata, selain selawat yang meninggalkan impak, terutama semasa bersama Al Mawlid, sebahagian besar karya bagi projek baharu ini berinspirasi daripada pengalaman membuat persembahan di majlis perkahwinan.

“Itu daripada mana kami datang. Itulah tempat kita, di acara membina masjid,” katanya, senyum mengimbau pengalaman meraikan ramai pengantin baharu sebagai wedding singer menerusi karya yang membuai.

Seraya mengakui projek sulungnya bersifat eksperimental, album baharu menuntunnya untuk kembali kepada akar R&Bnya yang akan diadun dalam irama yang bagaimanapun lebih terbuka untuk ditafsir.

“Tanpa perlu menetapkan genrenya, itulah rupa album baharu nanti, pelbagai dan ada sedikti blues, ada ceritanya. Sebab apabila kita menulis sendiri lagu, ada ceritanya di situ. Saya melihat ramai pasangan, seperti ada penggemar era kami apabila berkahwin muzik hilang daripada diri mereka.

“Saranan saya, kena sokong penyanyi-komposer yang menulis lagu semasa anda bercinta dulu. Kita menulis daripada jiwa, dan kini sebagai bapa atau datuk yang mungkin refleksi kepada apa yang anda lalui, seolah lagu itu dibuat untuk anda.

“Kerana anda berubah, saya berubah, insya-Allah ada pertalian dalam karya baru ini,” tambahnya.

Justeru, kata Pot, ia menjadikan Solatullah 313 sebagai permulaan baik dalam memperdengarkan alunan sebagai rawatan jiwa umat Islam, malah tidak menolak dijadikan antem kebangkitan menentang kekejaman Zionis.

“Kita bukan EDM (muzik) nak pergi Tomorrowland, cuma buat apa yang boleh. Cita-cita mahu hasilkan antem, tapi belum diilhamkan lagi walaupun 313 memang sedia hebat kerana ceritanya yang sememangnya sudah hebat.

“Akan ada lagu baru bersifat antem yang lebih ikhlas, tapi bukan kerana kita berasa kena buat lagu Palestin sebab isu yang membuatkan orang layan. Buat karya tak boleh begitu, kena keluar secara semulajadi, ada mesej dan diredai, insya-Allah,” katanya.