Bulan & Pria Terhebat Masih <i>In</i>, Atau?
Setahun selepas dimainkan di pawagam sebelum ditarik balik, filem dengan kos RM3.6 juta ini kembali tapi ke TV, menguji kehebatan.

Oleh Rumi | Gambar Nizra Entertainment

GELAK ketawa penonton jadi suatu yang dirindui Ghaz Abu Bakar apabila filem arahannya, Bulan & Pria Terhebat harus akur dengan situasi yang mencengkam ramai pembikin filem ekoran pandemik Covid-19.

Secara peribadi, dia agak kecewa sebenarnya.

“Agak kecewa kerana tidak dapat berkongsi pengalaman mendengar gelak ketawa bersama penonton di pawagam,” akuinya, diburu bimbang antara karyanya itu mungkin dicetak rompak apabila ke Astro First, bermula 11 Mac lalu, atau diperap untuk tempoh yang tidak dapat dipastikan.

Mula ditayangkan di pawagam pada 12 Mac tahun lalu, ada indikasi kejayaan luar biasa bakal dicatat filem bertema hero wanita itu yang menampilkan aksi lasak Zahirah MacWilson sebagai antara tarikannya.

Lima hari ditayangkan, filem yang turut dibintangi Zizan Razak dan Maya Karin itu bagaimanapun terpaksa dihentikan penayangannya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan selama setahun ini, industri pawagam dihambat ketidakpastian sekali gus mempengaruhi sektor perfileman.

“Melihat Zahirah merealisasikan watak Bulan dengan baiknya juga merupakan satu pencapaian yang saya amat berpuas hati.” – GHAZ ABU BAKAR

Biarpun pawagam kembali beroperasi, baru ini prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di pawagam, misalnya dilihat memberi kesan terhadap kutipan filem dan ini meletak pemain industri dalam situasi mencabar.

“Perkara yang saya paling risaukan ialah isu cetak rompak apabila ada penstriman digital ini,” katanya, sambil berharap pihak pengedar akan betul-betul memantau perkara itu dan percaya masih ada hikmah di sebaliknya.

Positif, Ghaz melihat penayangan Bulan & Pria Terhebat di skrin televisyen Astro First membolehkannya ditonton secara lebih meluas dan diulang langganan untuk menikmati kepuasan tontonan sebenar.

Sebagai pengarah, pengalaman menyiapkan filem itu di Johor juga memahat makna tersendiri.

“Kenangan yang manis apabila dapat mengadakan penggambaran di tempat saya membesar dan bermain seperti di Pantai Stulang Laut, jalan-jalan di sekitar Pasar Karat dan mengarahkan nama-nama besar seperti Maya Karin dan Khir Rahman.

“Melihat Zahirah merealisasikan watak Bulan dengan baiknya juga merupakan satu pencapaian yang saya amat berpuas hati,” katanya mengenai filem itu yang turut dibintangi Bell Ngasri, Alif Hadi, Mimi Ernida, Sein Qudsi, Aprena Menrose, Didie Alias, Rashidi Ishak dan Marissa Yasmin.

APA KATA PELAKON BULAN & PRIA TERHEBAT?

ZAHIRAH MACWILSON sebagai Bulan

“Mampu melakukan aksi sendiri adalah suatu yang saya ingati dan kenang,” akuinya. “Saya mempunyai jurulatih latihan yang hebat dan saya melakukan begitu banyak latihan untuk koregrafi. Sebenarnya tidak banyak masa rehat kerana saya mahu melakukan yang terbaik untuk filem ini.”

MAYA KARIN sebagai Tony

“Filem ini adalah suatu yang lain daripada pernah saya buat,” katanya yang memegang watak antagonis. Ingin melihat industri perfileman kembali meriah, dia juga berharap “semua akan terhibur dengan filem ini dan mengubati kerinduan untuk tengok saya berlakon.”

ZIZAN RAZAK sebagai Haris

“Dua minggu menjalani penggambaran di Johor sampai dah tak boleh cakap KL,” selorohnya, mengakui “seronok sampai rasa tak mahu balik.” Biarpun pengalaman menonton di kaca TV berbeza dengan pawagam, katanya Astro First menawarkan masa lebih fleksibel dan berharap penonton akan terhibur.

SINOPSIS

Cerita Bulan, pelatih dalam pasukan tentera khas Indonesia yang menyusup ke dalam sindiket pemerdagangan manusia bagi menyelamatkan adiknya, Melati yang diperdaya dan dibawa ke Malaysia sebagai gadis liburan. Bulan dibantu Haris, seorang pemandu e-hailing dan sebaliknya diburu bapa ayam, Agus yang mengarahkan pembunuh upahan, Tony menghapuskan mereka berdua.