Roman Bella di Taj Mahal
Cerita cinta Shah Jahan pada Mumtaz buat Bella Dally pasang impian.

Foto IG  @belladally

SAAT perceraiannya dihebahkan Ramadan lalu, dia digasak dengan pelbagai pertanyaan. Enggan menambah kekusutan, mahu pun melayani kesedihan, Bella, 27, memutuskan cuma satu perkara perlu dilakukannya selepas berakhirnya episod hidupnya dan aktor, Nadzim Othman, iaitu “move on!”

“Saya baru selesai menjalani penggambaran Sepenggal Puisi,” kata pelakon kelahiran Kota Kinabalu ini yang fokus pada karier seninya, antaranya produksi Malaysia-Indonesia terbaru daripadanya yang lebih dulu menyerlah sebagai Siti Nailufar lewat Makmum Yang Paling Aku Cinta.

Sebuah drama keluarga, Sepenggal Puisi menurutnya berkisar pada watak Harun yang berkahwin dua, di mana isteri pertamanya berada di Indonesia manakala isteri kedua di Malaysia dan dia berperan sebagai Aimi, seorang gadis manis yang bercinta dengan anak lelakinya, Firman.

Ingat lagi percutian pertama anda?

Bali, pengalaman saya bercuti kali pertama ke luar negara. Saya berumur 20 tahun, pada masa itu. Sudah tentu, saya seronok sebab saya memang sukakan pantai. Tambahan pula di Bali ada banyak cafe yang bagus.

Percutian digemari, setakat ini?

Venice. Bagi saya, Venice adalah sebuah tempat yang romantik. Dan saya pula memang menggemari makanan Itali, selain sudah lama ingin merasa menaiki gondola. Senibina Itali juga memikat saya, sangat cantik.

Destinasi idaman?

Oh, destinasi idaman saya adalah India! Saya ingin benar merasai pengalaman budaya masyarakat India yang unik, juga makanannya daripada pelbagai etnik itu dan tentulah, Taj Mahal dengan cerita cinta Shah Jahan dan Mumtaznya.

Apa yang seronoknya tempat orang?

Mengembara, cara untuk kita menenangkan fikiran. Sambil meneroka tempat asing, bukan saja menjadikan kita seorang yang lebih berfikiran terbuka tetapi juga dapat beroleh inspirasi dan kalau diperhatikan, banyak benda yang kita boleh belajar apabila berada di negara lain.

5 perkara menyeronokkan boleh dibuat di Kota Kinabalu?

. Nikmati makanan laut Sabah yang segar dan sedap

. Santai di pulau-pulau indah seperti di Taman Tunku Abdul Rahman

. Daki Gunung Kinabalu dengan puncak tertinggi di Malaysia

. Cuba makan butod, iaitu ulat sago Sabah

. Beli mutiara atau ole-ole di Pasar Filipina