Bisakah Soul Sisters Melerai Ketandusan Yang Ditinggalkan Feminin?
Selepas 21 tahun, pengasas grup all-girl itu, Edd Razhe percaya sentuhannya masih ada magis.

Oleh Zurina Waji  |  Foto Edd Razhe Entertainment

“Impian saya mahu pecah rekod,” kata Edd, mengimbau saat penubuhan sebuah grup all-girl pada 1992 itu. “Irama rap, hip hop mula menguasai industri muzik pada 1990an menyaksikan kegilaan peminat pada grup seperti 4U2C, antaranya.

“Jadi, kenapa tidak rapper perempuan? Itu bagaimana mula tercetusnya Feminin.”

Lima tahun, atau kurang sedikit. Feminin yang asalnya dianggotai Asfarina Muhamad atau As, Andriati Abdul Rahman (Yatie), Rozilawati Muhamad (Watie), Nor Intan Zahanariah Abdul Zahrin (Deq Nor) dan Nor Askiela Zainal Abidin (Along), sebagai sebuah grup memang tidak bertahan lama.

Debut lewat Untukmu pada 1993 yang cenderung pada pop dan old school hip hop, Feminin yang membuka ruang pada kemunculan grup seumpamanya seperti Res2 dan M’Steen, bagaimanapun membekas sampai kini.

Feminin, lebih tepat, adalah satu fenomena.

“Sudah tentu, persoalan yang memburu saya kini apakah ia dapat berulang kembali,” kata Edd dengan projek Soul Sisters, menerusi konsert yang menampilkan gabungan Noryn Aziz, Siti Sarah dan Misha Omar.

Soul Sisters, sebetulnya adalah tanda rindu pada dunia muzik yang hampir 20 tahun ditinggalkannya.

Kerinduan yang mendorong penubuhan syarikat produksi persembahan, Edd Razhe Entertainment (ERE) di mana Edd merupakan Produser dan Pengarah Urusan. Konsert Soul Sisters adalah projek sulung ERE yang dijadual berlangsung di Istana Budaya pada 5 dan 6 April, tahun depan.

“Saya benar-benar sukakan muzik,” akuinya. “Saat bersama Feminin adalah pengalaman paling bermakna, barangkali paling indah, dalam hidup saya dan juga anggotanya dan ada orang bertanya, kenapa tidak buat comeback untuk Feminin?

“Bagi saya, kenangan Feminin harus kekal begitu kerana kalau saya ingin kembali, saya mahu mencipta fenomena lagi dengan menghidangkan suatu yang berbeza, suatu yang tidak dijangka industri dan keinginan sebeginilah yang membawa pada kelahiran Soul Sisters.”

Edd, selepas meninggalkan industri hiburan, berkalih pada industri penerbangan sebagai Pembantu Peribadi kepada Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad (AirAsia) dan Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia X Berhad, Datuk Kamarudin Meranun.

EDD RAZHE… jiwanya kuat pada seni

Dan 20 tahun, masa yang panjang. Dunia showbiz, akui Edd, sudah tidak seperti dulu lagi.

“Saya amat sukakan dunia muzik. Sejujurnya, saya merasa dilahirkan untuk ini (seni). Jiwa saya kuat ke arah itu. Ya, dunia showbiz sekarang sudah berbeza, segalanya digital dan tidak sama macam dulu. Saya perlu mengadaptasi pada suasana baru ini.

“Dulu, mahu jadi artis rakaman mesti ada bakat dan kena berdepan persaingan kuat tapi sekarang ada pelbagai platform seperti You Tube. Saya tidak kata nilai seni sudah menurun tapi mahu jadi penyanyi sekarang lebih mudah berbanding dulu, seseorang perlu bermula dari bawah,” katanya yang menjadikan penubuhan label sebagai antara cabang ERE.

Reputasi Noryn, Siti Sarah dan Misha, serta kemampuan mereka menyanyi live dan membawa lagu bergenre soul dan R&B, menurut Edd, adalah apa yang diperlukan sebagai dasar pembentukan Soul Sisters.

SOUL SISTERS… Noryn, Siti Sarah dan Misha bakal melakar sejarah di 2019

Konsert itu juga, katanya, adalah sebagai tribute kepada penyanyi underdog seperti Fairuz Hussein, Allahyarham Famieza dan Seha (Freedom) serta menjadi pentas ketiga-tiga Soul Sisters tadi mempamer bakat mereka yang sebenar.

“Orang akhirnya akan melihat apa yang mereka tidak dapat lihat selama ini, iaitu apa yang dimaksudkan dengan bakat. Orang yang melihat Soul Sisters akan berkata, inilah penyanyi sebenar.

Ia konsert, di mana audiens berasa berbaloi dengan setiap sen yang dikeluarkan,“ jelasnya.

“Dan apa yang diperlukan bakat seperti Noryn, Siti Sarah dan Misha adalah peluang.”

Persembahan dua jam itu akan diiringi pemuzik profesional pimpinan Dato Naseer Abu Kassim selain Dato Aziz Bakar sebagai Penasihat Konsert, manakala Datuk Syafinaz Selamat dilantik Pengarah Vokal.

Tiket berharga RM755 (Meet & Greet), RM555 (Diamond), RM355 (Platinum), RM255 (Gold) dan RM155 (Silver) boleh ditempah menerusi www.airasiaredtix.com