Jalan Alor, tembikai goreng dan cinta hati Nik Michael Imran yang digelar Baby Rumi
Aidilfitri ini, debaran yang dirasai Chef Selebriti ini nyata bukan biasa-biasa.

Oleh Zurina Waji    |    Foto Fauzi Hamid

ADA satu macam perasaan yang sukar untuk diungkapkan kala Nik Michael memeluk erat Rumi. Sejujurnya, hati boleh jadi cair dibuatnya.

“Bukan cuma nama penyair terkenal Jalaludin Rumi, tapi tahu tak ia juga nama untuk perempuan bagi masyarakat Jepun?

“Rumi yang antaranya membawa maksud, kecantikan. Isteri saya sukakannya dan kerana itu, kami menamakannya Nik Rumi Iman,” katanya, senyum.

Si comel Rumi yang memasuki usia lima bulan, dilahirkan pada 3 Disember, tahun lalu dan merupakan cahaya mata pertama Nik Michael, 30, dan Siti Nadiah Shahril, 30. Pasangan ini bernikah pada November 2015.

Baby Rumi… cinta hati Nik Michael

Keluarga kecil Nik Michael ketika bercuti di Austria

Keriangan jelas terpancar di wajahnya setiap kali dia membicarakan perihal anaknya itu. Cinta hatinya dan isteri itu yang hadir tiga tahun selepas penantian, menurutnya adalah sebuah anugerah yang tidak terhingga daripada Yang Maha Esa.

Dia yang membina nama daripada dapur MasterChef Malaysia ketawa, mengakui teruja untuk memahat memori pertama sebagai sebuah keluarga, Aidilfitri nanti. Dan kerana itu, setiap kali ditanya apakah projek terbarunya, dia tidak teragak-agak untuk menjawab, “Projek keluarga kecil kami inilah.”

Kehadiran Rumi, jelas Nik Michael nyata membawa rahmat bukan sahaja dalam kehidupannya suami isteri, malah kariernya, terbaru dengan Goreng atau Gagal iaitu program web 10 episod yang bersiaran setiap Jumaat jam 10 pagi, bermula 10 Mei lalu, dihoskan bersama Yasmin Hani melalui laman Facebook Minyak Masak Alif.

Episod 1 Goreng atau Gagal, anda menggoreng tembikai. Apa yang anda fikirkan?

Itulah, pelik betul rasa tembikai goreng tu (ketawa). Seperti kata Yasmin, lunyai! Memanglah gagal.

Siri web ini adalah usaha Sime Darby Oils dalam menyediakan kandungan berbeda bagi memperkenalkan jenama Alif. Tapi, apa yang digoreng adalah berdasarkan cadangan pengikut Minyak Masak Alif di Facebook. Lucunya, ada pula yang mencadangkan kalau boleh gorengkan bekas kekasihnya.

Apa bezanya di antara seorang tukang masak dan chef?

Seorang chef mesti tahu bagaimana untuk mengendalikan dapur secara profesional, tahu apa  ada dalam peti sejuk, kerja-kerja inventori. Juga soal pekerja dan menu. Tukang masak itu ramai, tapi tukang masak yang hebat tidak semestinya seorang chef.

Apa yang buat anda paling teruja apabila berada di negara asing?

Makanan tempatan yang dimasak oleh orang tempatan. Sebab, daripada makananlah kita boleh mengenal budaya satu-satu masyarakat. Jadi, hidangan terbaik satu-satu tempat itu biasanya datang daripada masyarakat itu sendiri.

Cubalah, kalau pelancong datang ke Malaysia tapi mereka disuruh makan sushi Jepun, macam mana mereka nak kenal budaya masyarakat kita?

Namakan 5 negara dengan hidangan paling anda gemari.

Bagi saya, tiada negara yang mempunyai warisan hidangan yang tidak enak. Tapi, jika disuruh memilih, saya menemukannya di Singapura untuk restoran mewahnya, selain masakan Vietnam, Australia, Indonesia dan London.

Restoran pilihan, Roka di London. Ia adalah sebuah restoran  Jepun kontemporari yang menyediakan hidangan panggang robatayaki dan sushi.  Ceritanya, Roka dibuka selepas pengasasnya bosan kerana sukar mendapatkan tempahan di Nobu, restoran Jepun ternama dunia. Sekali kunjungan, anda mungkin harus membayar sekitar £80 tapi ia masih lebih murah berbanding Nobu.

Oh, tapi saya paling teringin ke Noma di Denmark milik Chef Rene Redzepi yang terkenal dengan hidangan tempatan, Nordic-Scandinavian. Noma unik kerana selain tiada menu khusus, ia pernah empat kali meraih gelaran Restoran Terbaik Dunia sejak dibuka pada 2003.

Bagaimana dengan Kuala Lumpur? Apa cara terbaik untuk orang luar mengenali Kuala Lumpur?

Saya dilahirkan di Australia tapi dibesarkan di Ampang. Jika saya ingin memperkenalkan Kuala Lumpur, tentulah menerusi seleksi makanannya. Jalan Alor, lokasi terbaik untuk memperkenalkan tetamu asing mengenai budaya Malaysia, malah saya sering membawa teman, termasuk Chef luar negara ke situ.

Jalan Alor ada segala-galanya daripada kedai makanan Melayu ke Thai malah Vietnam, juga pasar dan sayuran kampung, kangkung sambil melihat integrasi kaum daripada tempatan sampailah Bangla (senyum).

***Program Goreng atau Gagal diperkenalkan Pengarah Urusan, Sime Darby Oils, Mohd Haris Mohd Arshad, pada Majlis Berbuka Puasa Minyak Masak Alif bersama Media di Sime Darby Plantation Tower, baru ini dalam usaha memperkukuh jenama Alif sebagai minyak masak berkualiti tinggi yang berasaskan minyak kelapa sawit.

Ini termasuk memperkenalkan semula paket eksklusif 5.4kg minyak masak Alif sempena Ramadan dan akan berada di pasaran sehingga Syawal ini. Beliau turut mengumumkan Familia Fried Chicken dari Kampung Baru sebagai rakan strategik dengan mempromosi hidangan ayam goreng bersama Sos Keju Leleh, digoreng menggunakan Alif kini dan boleh didapatkan di semua cawangan dan bazar Ramadan di seluruh Lembah Klang.