Bukan Lagak Samseng, Cuma Mahu Jadi Orang
Tak hanya tentang kehidupan, tinju ubah Adli Goldenboy Hafidz daripada loser jadi hero.
Oleh Nizam Rahman
DIA tinggi, hampir mencecah 6 kaki. Tegap dengan tumbukan padu dan tampang yang menawan, pantaslah apabila Adli Hafidz Mohd Pauzi yang dijoloki Goldenboy ini meraih perhatian – di dalam dan luar arena tinju.
Usai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, pemenang pingat perak dalam kategori Light Heavy ini yang mengumumkan persaraan bagi bergelar petinju profesional, yakin dalam perjalanannya yang mendambakan impian jadi legenda tinju dunia seperti idolanya, Manny Pacquiao.
Sibuk melakukan persiapan bagi beraksi di KBX Boxing Evolution, Kejohanan Tinju Profesional di Johor Bahru pada 16 November ini, petinju asal Johor Bahru ini berehat sebentar dan merefleksi hidup lewat kembara dunia tinjunya.
Kembara, melihat kehidupan, apa yang anda boleh kaitkan dengan dunia tinju anda?
Tinju banyak mengajar saya erti hidup. Iaitu, bukan mudah untuk berjaya dan tanpa usaha tidak mungkin akan mencapai matlamat yang diingini.
Saya berlatih seawal usia 15 tahun, bermula dengan sukan taekwando sebelum itu. Tinju mengubah hidup saya daripada seorang loser kepada hero. Ia menenggelami prasangka terhadap sukan ganas ini dan sebaliknya mengajar saya erti displin, hormat serta pengorbanan bagi melengkapi cita.
Empat bulan sepanjang berkelana di Kazakhstan dulu untuk berlatih tinju antara pengalaman bermakna. Saya belajar dengan mengembara ke negara orang jadi kunci bagi mendapatkan pengalaman berharga dalam mencipta kejayaan.
Destinasi paling meninggalkan kesan?
Kazakhstan, Uzbekistan dan Azerbaijan. Ini kerana, saya ketika itu terpaksa meninggalkan keluarga, isteri yang hamil enam bulan semata-mata untuk saya mengejar impian. Ia meninggalkan kesan mendalam kerana sepanjang berjauhan itu isteri harus menguruskan diri sendirian. Jauh daripada keluarga, berhari raya pun di perantauan.
Destinasi idaman anda?
Las Vegas. Sebab itulah home of boxing di dunia. Satu dunia kenal Las Vegas dan saya mengimpikan untuk bertarung di sana, satu hari nanti.
Apa yang dicari setiap kali ke luar negara?
Peralatan sukan, dah tentu! Dan kebanyakan yang saya mahu tiada di Malaysia seperti kasut Nike edisi terhad yang saya perolehi semasa ke Peranchis, baru-baru ini selain sarung tinju buatan Mexico.
5 hidangan terkenal Johor yang orang mesti cuba jika ke Johor Bahru?
Kacang pool, sate Wak Radol, mee rebus Hj Wahid, nasi beriyani gam Batu Pahat dan mee bandung