Top 5 Lubuk Kaki Vintaj Malaysia
Piring hitam batu P Ramlee. Pam petrol Shell. Langka dan unik, lima pasar ini buat penggemar vintaj merembes!

Oleh Zurina Waji    |    Foto Fauzi Hamid

Bermain dengan nostalgia nyata mengasyikkan, justeru tidak hairan mengapa barangan vintaj dan misteri yang kadang menyelubungi asal usul pemilikannya sampai jadi rebutan dengan tanda harga lumayan.

Definisi vintaj atau antik, meliputi barangan berusia lebih 25 tahun, tidak ubah seperti komoditi yang ada turun naiknya.

Dan tiada siapa lebih mengetahui lubuk pemburu vintaj sebaik pengumpul tegar seperti Azlan Huzairi Mustafa’l Adnan yang dicetuskan keseronokan melihat koleksi antik daripada katil, telefon, radio malah gelas milik ibunya dan radiogram semasa menziarahi rumah seorang saudaranya di Ipoh, Perak.

Tapi, di mana? Azlan Huzairi menyenaraikan Top 5 lubuk vintaj terbaik Malaysia:

No.5
PASAR KARAT, Jalan Sultan, Kuala Lumpur

Beroperasi sejak 1980, Pasar Karat yang berada di dalam kawasan Chinatown, Jalan Petaling, pada satu masa turut digelar sebagai “pasar pencuri” ekoran sebahagian barangan dijual adalah hasil curian.

Jika dulu hanya membabitkan kelompok kecil peniaga menjual barang tembaga, Pasar Karat yang beroperasi seawal jam 4 pagi mula meraih perhatian berikutan barangan antik dan terpakai dijual murah.

Juga, sentiasa bersedia untuk dikejutkan dengan pilihan tidak diduga seperti koleksi rekod batu.

Saya pernah menemui rekod lama dijual pada harga hanya RM150 untuk 50 keping. Sebab itu, Pasar Karat terkenal kerana harga yang ditawarkan sememangnya murah, malah kadang tidak masuk akal!

No.4
JONKER STREET, Melaka

Deretan bangunan pra perang yang melatari Jalan Hang Jebat atau lebih dikenali sebagai Jonker Street ini adalah antara daya penarik kaki antik, termasuk peminat fesyen vintaj ke daerah Chinatown ini.

Artifak dan barangan antik, antaranya yang berusia 300 tahun dengan sebahagiannya merupakan refleksi pengaruh Baba Nyonya buat kita syok walaupun daripada segi harga boleh buat kocek senak kerana statusnya sebagai tumpuan pelancong.

Porselin Cina, jubin lantai vintaj malah seunik pintu berukir ayat al-Quran dan katil perkahwinan Nyonya yang dianggarkan bernilai sehingga RM100,000 boleh didapati di Jonker Street, antaranya di Abdul Company Antique Shop yang juga salah satu kedai antik tertua di Melaka.

Saya pernah mendapatkan sebuah papan tanda Coca Cola yang dibeli pada harga RM5,000.

No.3
LORONG KULIT, George Town, Pulau Pinang

Digelar Rope Walk oleh penduduk tempatan bersandarkan lokasi asal tumpuan penjualan barangan terpakai di Pulau Pinang iaitu Jalan Pintas Tali yang bermula seawal tahun 70an, sebelum dipindahkan ke Lorong Kulit pada 1992.

Kini, lebih berkonsep pasar pagi, ia dibuka setiap hari seawal jam 6 pagi hingga 1 petang dan menjual pelbagai barangan termasuk buah-buahan hingga haiwan peliharaan, selain barangan antik dan terpakai seperti pinggan, dulang ayan berukir haiwan, kamera lama dan acuan kuih bulan.

Koleksi radio dan jam lama, juga beberapa keping tingkap rumah lama Melayu antara pencarian berbaloi saya di sini.

Saya suka memulakan penjelajahan Lorong Kulit dengan bersarapan dulu di medan selera berhampiran yang popular dengan hidangan seperti Nasi Lemak dan Roti Telur Goyang.

No.2
PASAR LOKEN, Ipoh, Perak

Pasar Loken mungkin tidak semurah dulu, namun ia masih antara tumpuan penggemar barangan vintaj. Dulu, pasar ini terletak di kawasan berhampiran berdekatan sungai dan didatangi seawal jam 5 pagi, siap berlampu suluh.

Kerana saya sendiri berasal dari Ipoh, sudah tentu ia banyak mempengaruhi saya dalam kecenderungan terhadap barangan vintaj dan antara pembelian berbaloi di sini ialah kipas tahun 50an yang dibeli hanya pada harga RM70 satu.

Selain barang harian rumah, konsep pasar terbuka di Loken yang beroperasi mulai jam 7 pagi hingga 11 pagi memudahkan peniaga dan pengumpul mempamer barangan bersaiz besar seperti perabut, motorsikal dan kereta vintaj.

No.1
AMCORP MALL FLEA MARKET, Petaling Jaya, Selangor

Dibuka setiap Sabtu dan Ahad, flea market ini jadi tumpuan kerana peniaga dari Melaka dan Ipoh pun sudah mulai berkumpul di sini. Jadi, boleh dikatakan apa saja barang ada di Amcorp Mall Flea Market.

Daripada koleksi piring hitam, gramafon ke barangan rumah dan hiasan seperti pinggan, mangkuk tingkat antara yang boleh dicari, selain perabut seperti gobok lama, pangkin kayu cengal emas menggunakan pasak malah batik lama serta kebaya seawal tahun 40an.

Disebabkan banyak barangan langka boleh didapati di sini, ia menjadi tumpuan pengumpul barangan vintaj.

Pembelian berbaloi di sini, sekeping papan tanda tahun 40an yang merupakan iklan bagi rokok berjenama Carriage dengan imej kereta kuda yang merupakan antara tiga koleksi yang ada di Malaysia.