The Real Cromok yang Rare dan Penuh Nostalgia
Biar pun penat berdiri lebih dua jam, ia tetap menjadi malam yang memberi erti.

Oleh Fauzi Hamid | Foto MEM

The Real Cromok, menurut aku, memberikan kenangan yang mahal kerana line up seumpama itu yang menggabungkan gitaris yang pernah terlibat dalam perjalanan muzik Cromok mungkin juga yang terakhir kali diberikan.”

RARE. Jika disuruh memilih satu saja perkataan untuk malam The Real Cromok, aku simpulkan konsert itu sememangnya rare.

Sebab rare jugalah, aku dan mungkin ramai para penggemar band thrash heavy metal itu melihat konsert yang turut menampilkan pemuzik sehebat Hillary Ang dan Man Keedal, selain bekas anggotanya, Mat Puck yang diterbangkan dari Australia, penuh nostalgia.

Secara peribadi, ini kali keempat aku menonton Cromok semenjak mengenali mereka di bangku sekolah. Jadi, sebaik Cromok mengumumkan konsert ini bersama line up mereka, mana mungkin aku melepaskannya.

Konsert, malam itu, mempertemukan aku dengan peminat seperti Yop, 44, dari Batu Gajah, Perak, yang juga seorang pemain bass dan selalu memainkan lagu Cromok, selain Jali, 40, dari Jengka, Pahang, yang bermain dram untuk band metalnya, Manicure dan menjadikan Cromok sebagai rujukan.

Seperti aku, rata-rata yang hadir malam itu berusia dalam lingkungan 40an atau lebih. Seperti Sani, 48, dari Johor Bahru yang “mula minat masa Tingkatan Lima, dipengaruhi kawan-kawan dan Cromok membuat digamit memori semasa zaman sekolah.”

Bagi Alias, 41, dari Jeram, Selangor, yang mengenali Cromok seawal menuntut di UiTM Arau, Perlis, mengidolakan band itu yang ditubuhkan ketika semua ahlinya sedang belajar di University of Wollongong, Australia, memang bukan aneh bagi ramai penuntut era 90an.

Tapi aku juga bertemu peminat dalam usia lewat 30an seperti Muhammad dan Elfie, kedua-duanya dari Singapura yang mula mendengar Cromok di kedai kaset pada usia seawal 13 tahun. Juga Amirul, 37, dari Pasir Gudang, Johor, sejak mendengar Another You yang “dipasang pakcik (pemandu) bas dalam bas.”

Cromok, dalam bahasa mudahnya, membuatkan para peminat mengimbau zaman semasa mula-mula menjadi mat rock.

Keindahan yang diberikan Cromok, walaupun kini hanya tinggal Karl yang bermain gitar dan Sam (vokal dan bass) setelah pemain dram mereka, Allahyarham Miji meninggal dunia akibat kanser, Mac lalu, ternyata tidak boleh dinafikan sejak muncul dengan album sulung, Image of Purity pada 1991.

The Real Cromok, menurut aku, memberikan kenangan yang mahal kerana line up seumpama itu yang menggabungkan gitaris yang pernah terlibat dalam perjalanan muzik Cromok mungkin juga yang terakhir kali diberikan.

Cromok, malam itu, turut diiringi Shah Sidious (gitar), selain Apis Cropox (dram) dan Archer (keyboard).

“… kalau pun seseorang itu bukan peminat metal, mendengar secara live lagu-lagu seperti Another You, I Don’t Belong Here dan Ulek Mayang pada malam itu membuat lekat di hati pendengar… “

BACA: The Fallen Heroes, Tribute Cromok Buat Allahyarham Miji & Din

BACA: Cromok, Hillary Ang & Man Keedal Bikin The Real Cromok Paling Ikonik!

METAL, TAPI MELAYU

Keterlibatan Man Keedal dalam perjalanan muzik Cromok, malah tidak disedari ramai peminat walaupun lagu Misery yang dimainkan gitaris legenda itu merupakan antara lagu paling diminati peminat sejati.

Justeru, tidak hairanlah Misery menjadi antara yang dinantikan, malam itu, apabila tuan punya badan memperdengarkan live solonya itu yang pertama kali dirakam untuk album Forever In Time pada 1993.

Iaitu album sama bagi peminat sepert Helmi Ismail, 46, yang “kali pertama dengar Cromok umur 15,16 tahun selepas kawan kasi pinjam kaset Forever In Time dan terus melekat. Saya teruja nak tengok Man Keedal dan Hillary sebab tak pernah tahu mereka pernah main untuk Cromok.”

Hilary, sepertimana dijangka, kembali dengan permainan mengagumkan selepas lebih dua dekad tidak muncul bersama Cromok yang dianggotainya pada 1999, menggantikan Karl, dan sempat merakam empat album studio, seawal album Mean, Meaner, Meanest.

Tapi bagi aku, kekuatan Cromok adalah pada rasa yang diberikan mereka. Rasa apa? Metal, tapi Melayu.

Kata peminat, Suhaimi Shariff, 59, metal keMelayuan yang dibawa menjadikan Cromok lain daripada yang lain, ditambah dengan kehadiran figura selegenda Hillary dan Man Keedal yang menjadikan The Real Cromok sebagai persembahan sekali dalam seumur hidup.

Oleh itu, kalau pun seseorang itu bukan peminat metal, mendengar secara live lagu-lagu seperti Another You, I Don’t Belong Here dan Ulek Mayang pada malam itu membuat lekat di hati pendengar, sekali gus membuat rasa sentiasa dekat dengan mereka.

Bagi seorang seperti aku, juga para peminat yang membayar mahal untuk The Real Cromok, kenangan zaman sekolah bermakna konsert itu perlu menjadi malam untuk menikmati lagu sepenuhnya.

Selain berpandangan tempo konsert sepatutnya lebih pantas, aku mengharapkan segmen memperingati bekas anggota yang telah pergi dapat dipendekkan tanpa menafikan tribute untuk Allahyarham Miji, juga Din (lebih dulu berundur dan meninggal dunia pada 1997) dengan The Fallen Heroes yang dicipta Karl memang menyentuh jiwa.

Segera aku teringatkan perbualan dengan seorang peminat bernama Jimmyricon, 47, dari Teluk Intan, Perak yang menyebut bagaimana malam itu mengingatkannya tentang Allahyarham abangnya.

Sendirian, balik daripada TheReal Cromok, aku petik gitar dan bernostalgia dengan Another You yang merupakan lagu wajib untuk semua orang, setidak-tidaknya zaman aku, yang mula belajar bermain gitar, melayan perasaan.