The Fallen Heroes, Tribute Cromok Buat Allahyarham Miji & Din
Sabtu ini, di konsert The Real Cromok, akan dipersembahkan live buat pertama kalinya.

Oleh Zurina Waji | Foto MEM

“… saya tak perlu fikir macam mana muzik itu bergerak kerana Miji akan bermain sepertimana yang saya bayangkan. Sudah tentu, ia (kematian) kehilangan yang besar. Dia tiada, ada kekurangan dirasai.” – Sam

“DULU empat orang. Seorang dah tiada, seorang lagi (pun) dah tiada, tinggal dua orang. Dia adalah sebahagian daripada Cromok. Kalau tidak ada, kosonglah,” kata Karl, merujuk pemergian bekas pemain dram, Allahyarham Tarmizi Mokhtar atau Miji yang meninggal dunia, Mac lalu.

“Bila dia tidak ada, memanglah ada kelompongan dalam Cromok sebagai satu kumpulan.”

Miji, antara pengasas band thrash heavy metal itu, tewas kepada kanser hati tahap empat tidak lama selepas mengumumkan berundur menjelang konsert Ulang Tahun ke-30 Cromok – Forever In Time, Oktober tahun lalu.

Itu adalah kehilangan kedua buat band yang ditubuhkan di Australia itu selepas lebih dulu menyaksikan pengunduran Allahyarham Muhammad Khairuddin atau Din yang kemudian meninggal dunia pada 1997.

Dengan ketiadaan Miji, tinggal Karl atau nama sebenarnya Khairul Anuar Shariff yang bermain gitar, dan Shamsudin Ali atau Sam (vokal dan bass) meneruskan perjuangan band berusia 36 tahun itu.

Miji, menurut Sam pula, bukan saja menyumbang kepada Cromok, malah industri muzik tanahair.

“Semasa bekerja di EMI (label muzik), dia banyak menerbitkan album orang lain. Ramai yang terkesan, bukan kami saja. Dulu, di pentas, saya tak perlu fikir macam mana muzik itu bergerak kerana Miji akan bermain sepertimana yang saya bayangkan.

“Sudah tentu, ia (kematian) kehilangan yang besar. Dia tiada, ada kekurangan dirasai,” kata Sam.

Ada rasa sememangnya sukar hendak diungkapkan dengan kata-kata, dan padanlah mengapa malam The Real Cromok, konsert anjuran Pointlink Ventures di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Disember ini dilihat penuh momen bermakna.

Allahyarham Miji ketika bersama Cromok

The Fallen Heroes bukan sekadar lagu baharu yang akan dipersembahkan Cromok, buat pertama kalinya, malah sebagai tribute kepada kedua-dua Allahyarham pada malam yang turut menampilkan Hillary Ang dan Man Keedal. Turut mengiringi Cromok ialah Shah Sidious (gitar), selain Apis Cropox (dram) dan Archer (keyboard).

“Lagu itu saya tulis pada tahun 2011,” kata Karl yang ketika itu tidak lagi bersama Cromok sebelum menyertai semula setahun kemudian. “Lama dah, 13 tahun dah, tapi tak jumpa masa yang sesuai untuk dirilis.

“Lagu itu mengenai emosional, saya fikir dengan pemergian Miji ini adalah masa yang sesuai untuk dirakam, main masa show.

“Cerita lagu itu berkenaan the fallen heroes inilah, iaitu Allahyarham Din dan Miji yang merupakan antara pengasas Cromok… 1987, 1988. Pada konsert itu nanti akan ada tayangan visual, menceritakan perjalanan dua hero kita tadi (bagaimana) bermulanya sampai pengakhiran.”

The Fallen Heroes, lagu ditulis Karl sebagai tribute untuk Allahyarham Miji dan Din

“… rasa yang saya nak, emosi yang kita nak cipta. Cerita di sebalik lagu itu terpulang pada interpretasi masing-masing. Masa saya tulis Another You, saya lama di Australia, rindu pada Malaysia.” – Karl

BACA: Cromok, Hillary Ang & Man Keedal Bikin The Real Cromok Paling Ikonik!

BACA: Cromok Unplugged dan Jinaknya Unicorn Metal

MALAM PALING DINANTIKAN

The Real Cromok sememangnya dinanti-nantikan fans, terutama yang mengikuti perjalanan band ini yang mencipta fenomena seawal album sulung, Image of Purity yang dirilis pada 1991 dengan karya seklasik Journey dan Metallurgical.

Ini adalah persembahan pertama Hillary dalam tempoh lebih dua dekad selepas menggantikan Karl pada 1999 dan sempat merakam empat album studio bersama Cromok, seawal album Mean, Meaner, Meanest.

The Fallen Heroes rupa-rupanya juga adalah lagu yang menyambut kedatangan saya ke studio, tempat Cromok menjalani latihan, petang itu. Cukup menggugah rasa, ia membuatkan saya penasaran.

Shah, usai lagu itu dimainkan, ketika ditanya, membisikkan, “The Fallen Heroes,” tanpa saya menduga ia bukan sekadar lagu baharu. Hendak diberi judul Another You 2, awalnya, ia merupakan kesinambungan Another You yang ditulis Karl untuk album 1993, Forever In Time.

“Bila saya tulis lagu, kebanyakannya adalah rasa yang saya nak, emosi yang kita nak cipta. Cerita di sebalik lagu itu terpulang pada interpretasi masing-masing. Masa saya tulis Another You, saya lama di Australia, rindu pada Malaysia. Another You merujuk pada Malaysia,” kata Karl, kemudiannya.

“Saya rindu pada Malaysia, tiada negara lain yang macam Malaysia, jadi Another You. Ada juga cerita (tentang) orang lain yang anda cintai, misalnya tergantung interpretasi anda. Samalah The Fallen Heroes, seseorang yang anda ingin hargai.”

Hero gitar… (dari kiri) Hillary, Karl, Sam dan Man Keedal

Konsert ini jelas amat bermakna buat pemuzik seperti Shah yang bermula sebagai peminat Cromok.

“Saya sendiri pun tak sangka saya akan bersama Cromok. Memang satu anugerah yang saya rasa orang lain tak dapat, Alhamdulillah,” katanya yang mengakui bagaimana Cromok menginspirasi penubuhan bandnya, Nrocinu.

“Tapi cabarannya adalah untuk saya menjadikan bunyi Cromok, adakah saya mampu nak bawa bunyi Cromok? Untuk mengekalkan identiti Cromok bukan mudah, tapi Alhamdulillah. Kita cuba kerana kepercayaan sudah diberi, saya cuba laksanakan dengan baik.”

Apis juga mengakui berat tanggungjawab yang perlu digalas memandangkan banyak mata akan turut tertumpu pada permainannya yang tentunya akan dibandingkan dengan kehebatan Allahyarham Miji.

“Saya cuba ikut macam mana abang Miji main, maksudnya sebaik mungkin. Dia orang yang sangat merendah diri walaupun kami bertemu hanya sekali sudah cukup untuk menginspirasi saya,” katanya.

Akui Archer, dia tidak pernah termimpi akan menerima undangan Karl, sekali lagi, bermain dalam konsert berskala besar bersama Cromok, apatah lagi dengan pemain gitar sehebat Hillary dan Man Keedal.

“Saya tak sangka akan dipelawa untuk bermain bersama Cromok lagi selepas konsert Unplugged. Belum pernah bermain dengan Hillary, hanya jamming bersama Man Keedal, tapi konsert, ini yang pertama dan dia banyak mengajar saya. Saya rasa teruja, sebenarnya. Tak sabar nak main,” ujarnya.

Info

– Tiket terhad serendah RM188 masih boleh didapatkan di www.therealcromok.com atau hubungi hotline (whatsapp) +601113297822. Juga sila muat turun aplikasi MyArteez untuk pembelian cenderamata seperti baju-T, hoodie dan jaket eksklusif Cromok.
– Disokong oleh MyCreative Ventures Sdn Bhd, konsert The Real Cromok mendapat penajaan Sudoku Drums & Keyboards, JL Guitars, The Guitar Store, Cort Guitars, NEO In-Ear Monitors, HOT Kambing dan Gama Rock House, bersama Mewah Event Management, Karl Legacy dan MyArteez sebagai rakan strategik.