MLBB M6 Pinjam Semangat Faizal Tahir
Lewat Perjuangan Takkan Tamat, lagu tema rasmi M6 World Championship 2024

Oleh RUMI | Foto MLBB

“… dengan rentak yang rancak dan lirik penuh semangat, Perjuangan Takkan Tamat mencerminkan tema kejohanan yang menekankan daya tahan dan semangat juang.”

“LAGU ini adalah tentang semangat tidak pernah menyerah walaupun dalam saat paling sukar,” kata penyanyi dan pencipta terkenal, Faizal Tahir mengenai lagu terbarunya yang berjudul Perjuangan Takkan Tamat.

Dihasilkan berdasarkan ciptaan awal Bjorgen van Essen, lagu itu dijadikan lagu tema rasmi untuk M6 World Championship 2024.

Pengumuman pelancarannya dibuat oleh Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) yang menyifatkan pemilihan Faizal adalah tepat dengan vokalnya yang bertenaga, selain turut dikenali dengan lagu-lagu yang mengangkat tema kesatuan, daya tahan, dan kebanggaan negara.

Kenyataan medianya, antara lain turut menyebut dengan rentak yang rancak dan lirik penuh semangat, Perjuangan Takkan Tamat mencerminkan tema kejohanan yang menekankan daya tahan dan semangat juang.

Bintang berusia 46 tahun itu membawa elemen unik yang bakal menyemarakkan semangat para pemain dan peminat di seluruh dunia melalui lagu  yang dijangka menjadi lagu runut bunyi bagi kejohanan berkenaan.

Faizal menerusi kenyataannya, melihat lagu berkenaan bukan sekadar lagu tema untuk kejohanan ini, tetapi sebuah simbol untuk semua yang berusaha mengatasi cabaran masing-masing.

“Ia adalah mesej sejagat untuk semua orang yang berjuang mencapai impian mereka,” tambahnya.

M6 World Championship 2024 merupakan kejohanan flagship MLBB yang akan bermula dengan Wild Card Stage yang disertai lapan pasukan bagi merebut satu tempat di Main Stage, sekali gus layak berada antara 16 pasukan antarabangsa yang bersaing untuk merebut gelaran paling berprestij dalam sejarah eSports MLBB.

Peningkatan hadiah wang tunai kepada AS$1 juta atau kira-kira RM4.45 juta menjanjikan pengalaman yang lebih epik buat M6 World Championship berdasarkan sambutan terhadap edisi M5 yang menurut Esports Charts mencatat 5.06 juta penonton puncak.

Video muzik rasmi Perjuangan Takkan Tamat kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Faizal Tahir.