Seni Muzik dan Kecantikan Paduan FARMASI
Dari Turkiye ke seantero dunia, jenama penjagaan diri ini merancang menakluk Asia pula lewat Kuala Lumpur.

Oleh Zurina Waji | Foto MEM

Konsert FARMASI Soundzation adalah salam perkenalan yang hebat untuk FARMASI di Malaysia.”

“MACAM Coco Lee,” kedengaran suara dalam kalangan audiens pada Konsert FARMASI Soundzation sebaik melihat kemunculan Bunga Citra Lestari yang tampil dengan kot labuh perak, rambut blonde diikat satu.

Sekilas, kesamaan penyanyi popular Indonesia itu dengan mendiang diva pop Cina-Amerika itu yang meninggal dunia, tahun lalu, pada usia 48 tahun, sememangnya tidak dapat dinafikan. Tapi bukan hanya itu yang membuatnya jadi perhatian.

Bunga atau BCL, sepertimana dia dikenali, tidak hanya diminati kerana lagu-lagunya seperti Cinta Sejati dan Wanita Terbahagia. Malah turut didorong perjalanannya yang dibaluti episod pilu susulan pemergian suami, Allahyarham Ashraf Sinclair yang merupakan pelakon kelahiran Malaysia akibat serangan jantung, empat tahun lalu.

Bagi sebahagian, bintang Ainun & Habibie itu menjadi lambang kebangkitan seorang wanita.

Diperindahkan oleh FARMASI yang merupakan peneraju jenama kosmetik antarabangsa yang berpangkalan di Turkiye, konsert itu yang menyaksikan gandingan seni muzik dan kecantikan dilihat mencapati matlamatnya dalam mencernakan pengisian bermakna, antaranya dalam pemerkasaan wanita.

“Kerana itu, bagi saya, ia adalah antara persembahan terbaik yang pernah saya tonton dalam hidup saya,” akui Presiden FARMASI, Emre Tuna, mengenai konsert anjuran INT X Group itu yang telah berlangsung di Megastar Arena, akhir November lalu.

“Seronok melihat ramai yang gembira dengan persembahan pada malam Konsert FARMASI Soundzation. Saya berharap mereka benar menikmatinya kerana saya merancang untuk menganjurkan lebih banyak acara seperti ini.”

BCL pikat audiens Konsert FARMASI Soundzation
Ghea kali pertama menghiburkan audiens Malaysia

Selain BCL, Emre turut menyifatkan penampilan Ghea Indrawari yang meledak, tahun lalu, dengan single Jiwa Yang Bersedih pada konsert yang dihangatkan dengan celoteh penghibur sensasi, Elly Mazlein sememangnya mengagumkan.

Konsert FARMASI Soundzation adalah salam perkenalan yang hebat untuk FARMASI di Malaysia. Kepakaran kami adalah kosmetik, penjagaan kulit dan nutrisi, dan ini yang kami inginkan, iaitu untuk semua rakyat Malaysia menemukan produk kami dan menikmatinya, baik sebagai pengguna mahu pun menjana pendapatan menerusi FARMASI,” katanya.

Konsert itu juga mendapat sokongan Program Eksplorasi Usahawan Wanita, iaitu satu inisiatif Koperasi Wanita Malaysia Berhad dan FAR Academy dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad, antaranya.

“Saya memandang tinggi keupayaan wanita kerana ramai wanita ada lebih banyak potensi daripada apa yang mereka bayangkan.”

Bertema Gabungan Perpaduan Adunan Muzik dan Kecantikan, melalui Konsert Farmasi Soundzation, ia  menawarkan geran sehingga RM20,000 bagi usahawan yang ingin meneroka industri kecantikan ke peringkat antarabangsa.

Emre berkata, maklum balas positif daripada pengguna menguatkan lagi keyakinannya untuk mengembangkan empayar FARMASI yang dibangunkan oleh syarikat keluarganya yang berusia 75 tahun itu sehingga meraih kedudukan sebagai peneraju dalam industri jualan langsung bagi penjagaan diri.

FARMASI kini boleh ditemukan di 39 negara, meliputi lima benua dan terbaru, Malaysia. Negara ini, disifatkannya sebagai “amat istimewa” kerana ia merupakan pasaran Asia pertama mereka yang menjadikannya “sangat signifikan” dalam menciptaan kejayaan.

“Oleh itu, kami perlu mendekati lebih ramai orang. Itu yang kami ingin lakukan. Produk kami adalah mampu milik, bagus untuk sesiapa saja walau berapa pun pendapatan anda kerana anda tidak perlu berbelanja besar untuk menikmati FARMASI.

“Sesiapa saja boleh memilih dan memiliki produk FARMASI dan berasa gembira dengannya, itu yang penting mengenai produk kami,” ujarnya, sambil memberi penekanan kepada pembabitan wanita dengan jenama itu.

Emre sifatkan Malaysia amat istimewa bagi FARMASI
Celoteh Elly Mazlein hangatkan suasana

Ditanya mengapa, sambil merujuk peluang untuk menjana pendapatan sebagai ejen FARMASI, katanya: “Kerana wanita ada banyak potensi sebagaimana golongan lelaki. Para wanita tidak sepatutnya meminggirkan potensi itu dan mereka perlu memanfaatkannya.

“Malah mereka boleh melakukan lebih lagi, boleh menjadi sangat berjaya. Sudah terbukti, bagaimana wanita yang bersama FARMASI boleh menyumbang kepada isi pendapatan rumah, selain membantu keluarga, rakan.

“Saya memandang tinggi keupayaan wanita kerana ramai wanita ada lebih banyak potensi daripada apa yang mereka bayangkan. Di FARMASI, kami hanya membantu memberi jalan untuk mereka meraih potensi itu.”

Terbaru, bagi memperkukuhkan jenamanya, FARMASI turut terbabit menaja Konsert Tower of Rock yang menampilkan gabungan persembahan Barbarik-Cromok-Waris yang akan diadakan di Menara Kuala Lumpur pada 25 Januari nanti.