Pre-Loved Wings Untuk FansEmperor Rock Penang
Antara lebih 700 hadiah untuk dimenangi secara Tonton, Gores & Menang buat pembeli tiket bertuah.
Oleh RUMI
PENANG Chapter menyambut penggemar band rock, Wings pada 2024 ini menerusi jelajah Konsert Wings: The Rock Emperor yang membawakan sebuah persembahan berkonsep teaterikal pada Februari nanti.
Ia adalah persembahan ketiga mereka bagi konsep berkenaan yang diperkenalkan di Singapura, di The Star Theatre pada 29 Julai tahun lalu, sebelum Kuala Lumpur Chapter menutup tahun 2023 mereka di Stadium Malawati, Shah Alam dengan kehadiran lebih 9,000 audiens.
Bagi penganjuran di Pulau Pinang, frontman Wings, Datuk Awie mengumumkan mengenai lebih 700 barangan yang disediakan untuk dimenangi pembeli tiket konsert itu yang dijadual berlangsung di Spice Arena.
“Konsert Wings: The Rock Emperor – Penang Chapter mengetengahkan satu konsep baharu, iaitu Tonton, Gores & Menang kepada audiens. Bagi setiap tiket, akan disertakan satu Gores yang menyediakan hadiah untuk audiens bertuah.
“Ada lebih 700 barangan disediakan, merangkumi semua pembeli tiket berharga serendah RM95 hingga lebih RM300 untuk tiket VIP. Hadiah untuk dimenangi, termasuk pre-loved barangan Wings menanti pembeli,” katanya, memetik kenyataan medianya.
Wings, menerusi konsert Kuala Lumpur Chapter mereka, disifatkan antara persembahan terbaik tahun lalu menerusi konsep yang julung kali diadakan yang turut memperdengarkan lebih 20 lagu, termasuk judul yang jarang dipersembahkan seperti Adoney Dari Paran dan Komplkasi Pramaya.
Selain Awie, band asal Kuala Lumpur ini yang bakal memasuki usia empat dekad penubuhan mereka, turut dianggotai Black yang bermain dram, Eddie (bass), Sham dan Edrie Hashim, kedua-duanya pemain gitar.
“… Penang Chapter tidak akan sama dengan apa yang dipersembahkan di Shah Alam. Kami akan mengubah sedikit repertoire dan persembahannya… “
BACA: Wings, Maharaja Yang Bertakhta
Kejayaan dua konsert terdahulu, menurut Awie, telah menyebabkan jangkaan terhadap Wings semakin tinggi, justeru memerlukan mereka, antara lain untuk mencari kelainan dalam persembahan.
“Kami akan cuba perbaiki apa jua kelemahan yang ada, bermakna Wings akan buat lebih bagus berbanding sebelum ini.
“Sudah tentu, Penang Chapter tidak akan sama dengan apa yang dipersembahkan di Shah Alam. Kami akan mengubah sedikit repertoire dan persembahannya, serta menjadikan intro di Pulau Pinang lebih menarik,” katanya yang membuka pentas pada konsert lalu dengan tiupan tetuang, lengkap berbusana Melayu siap bertanjak.
Akses
- 24 Februari 2024
- Spice Arena, Pulau Pinang
- 9pm
Tiket
- RM95 (CAT 1 – Free Seating/ Standing), RM115 (CAT 2 – Free Seating/ Rock Zone), RM158 (Free Standing/ Rock Silver), RM188 (Free Seating/ Rock Gold), RM258 (Numbered Seat), RM315 (VIP)
- Layari https://wings.ubertickets.asia
Comments are closed.