Tak Boleh Move On? Anuar Zain Ajak Up Close And Personal
Pasca Anuar Zain 40thAnniversary Concert, sehari bersama crooner ini dalam suasana lebih intimasi.

Oleh Zurina Waji

“… saya hanya menjadi diri saya. Kalau saya tahu kenapa, kononnya… Wow! Berlagaknya. Saya rasa geli untuk memikirkan konon-konon saya ada kualiti sebegini (hebat). Saya rasa macam emoji yang keluar hijau tu (muntah).”

DIA terdiam, barangkali tidak menduga soalan yang nampak mudah namun cukup bagi membiaskan keberadaannya dalam dunia muzik, seawal dia meraih perhatian pada usia 13 tahun sebagai duo Anuar & Ellina.

Buat beberapa ketika, fikirannya seolah menerawang ke tahun 1983 itu, sewaktu mereka diperkenalkan menerusi album Berdendang Bersama yang memuatkan hit Kain Pelikat, ciptaan Raja Kobat.

“Entah, mungkin cara saya melayan fans? Saya tak tahu, saya hanya menjadi diri saya,” kata Anuar Zain, menjawab tentang bagaimana dia mengikat kesetiaan para penggemarnya. “Kalau saya tahu kenapa, kononnya… Wow! Berlagaknya.”

Sungguh, katanya dia tidak mempunya penjelasan untuk itu.

“Saya rasa geli untuk memikirkan konon-konon saya ada kualiti sebegini (hebat). Saya rasa macam emoji yang keluar hijau tu (muntah),” katanya, ketawa hampir menenggelamkan matanya. “Saya hanya bersyukur, pertama kepada Allah yang memberikan rezeki ini. Bagi rezeki untuk menyanyi.”

Tanpa kepura-puraan, sikap merendah dirinya dan tidak berlebihan membuatkannya disenangi.

Fans bersama saya, adakah kerana personaliti atau karekter, saya tak tahu. Tapi saya juga bertemu ramai orang yang memberikan lagu-lagu yang bagus. Orang, ramai tidak berterima kasih kepada komposer dan penulis walhal mereka ini yang menyumbang dan sebagai penyanyi, kita menginterpretasi apa yang diberi.

“Tanpa lagu baik, susah. Tanpa lirik bagus pun susah. Juga pengurusan, sangat-sangat penting dan untuk ada sampai ke hari ini, saya tidak melakukannya sendirian. Saya ada orang di sekeliling yang membantu,” jelasnya.

Sudah 40 tahun semenjak Anuar mula menjejakkan kakinya ke dunia seni. Biar pun langkahnya terhenti seketika selepas empat tahun pertama, bekas pramugara ini kembali pada 1998 untuk debut solonya,  Anuar Zain yang memberikan hit Bila Resah.

Kenangan diabadikan lewat Anuar Zain 40thAnniversary Concert,Oktober tahun lalu, yang menyaksikan 8,000 fans memenuhi Stadium Malawati yang sebahagiannya bagaimanapun terus menuntut dikembalikan momen itu.

Justeru, membawa kepada Anuar Zain 40 Exclusive Up Close And Personal pada 17 Februari ini.

“… tapi apabila dia kata, ‘I pergi konsert you’, saya tertanya, ‘Betul ke brader ni? Kau ni macam pergi konsert Faizal Tahir sepatutnya. Ada juga umur 89 tahun pun datang, manalah saya nak tahu, bukan. Orang ini di luar lain, di dalam lain.”

“Ramai tak boleh move on, kata bila lagi, ada lagi tak (konsert),” katanya mengenai apa yang mencetuskan acara “super eksklusif” itu, terhad untuk 1,000 orang yang dijadual berlangsung di JioSpace, Petaling Jaya.

Ia dianjurkan oleh JioBuddy dan Anuar Zain Network, manakala Altus ProHouse bertindak bagi pengurusan konsert dengan Level Up dan Harmon Kardon, masing-masing sebagai rakan produksi dan rakan kerjasama.

“Saya akan menyanyikan 10, 11 lagu. Sambil nyanyi, sambil kita bersantai, ada games. Ada sesi soal jawab, Kepada mereka yang tidak boleh move on, atau terlepas konsert Oktober dulu, kita cipta momen manis bersama pada 17 Februari nanti.”

Konsep up close and personal, menurut Anuar, diketengahkan kerana ia sudah jarang diperkatakan, apatah lagi buat generasi baru yang mungkin tidak begitu memahaminya.  Begitu pun, jelasnya ia bukanlah yang pertama buatnya.

“Sambil jumpa, berhibur dalam suasana santai, tapi intimasi. Kita bernyanyi, kita bersama kerana penting, saya mahukan keakraban itu. Kita boleh bersembang, sing-along, apa-apa sajalah. Tapi kenapa 1,000 saja? Kerana mahukan suasana intimasi itulah,” katanya, seraya membetulkan rambutnya yang hampir mencecah bahu itu.

“Pernah buat dulu, tapi 100 orang mungkin dan sudah lama tidak melakukannya. Kerana jarang sekali buat up close and personal sebegini, saya teruja untuk bertemu fans. Kita akan jadi sangat-sangat rapat, masa itulah tanya apa soalan nak ditanya. Kenali Anuar Zain dengan lebih baik. Saya akan turun, melayani semua orang. Cuma datang dengan fikiran terbuka, rileks dan enjoy.”

Bukan pertemuan biasa, malah bukan kebetulan pula Anuar Zain 40 Exclusive Up Close And Personal diadakan serentak keraian ulang tahun pelantun Lelaki Ini yang kekal tampan pada usia mencecah 54 tahun pada 15 Februari nanti.

Ditanya, dia ketawa mengiyakan sambil berharap momen manis akan dilakar bersama fansnya.

“Kadang, apabila saya tengok seseorang, saya mengagak peminat M Nasir, tapi datang konsert kita? Ada tu rupanya macam dia mendengar penyanyi tertentu, tapi apabila dia kata, ‘I pergi konsert you’, saya tertanya, ‘Betul ke brader ni? Kau ni macam pergi konsert Faizal Tahir sepatutnya.

“Ada juga umur 89 tahun pun datang, manalah saya nak tahu, bukan. Orang ini di luar lain, di dalam lain. Sama apabila saya terkejut melihat remaja, awal 20an datang kerana saya selalu sangka pendengar saya berusia 30 tahun ke atas, baru tahu nama saya, lagu saya.

“Jadi, apabila orang muda boleh menyanyikan Sedetik Lagi, Keabadian Cinta, antaranya saya rasa dirahmati. Alhamdulillah,” katanya, tidak menolak kemungkinan untuk penganjuran jelajah Anuar Zain 40 Exclusive Up Close And Personal kelak.

Akses

  • 17 Februari 2024
  • JioSpace, Petaling Jaya
  • 3pm

Tiket

  • RM688 (VIP 1),  RM588 (VIP 2) dan RM388 (Diamond)
  • Layari www.jiotix.asia untu pembelian, atau hubungi hotline 011-11900518
  • nota: Setiap pembelian tiket berisi hadiah tambahan mata JioRewards bernilai RM34 (Vip 1), RM29 (Vip 2) dan RM19 (Diamond) bagi berbelanja di kedai F&B hingga gaya hidup JioSpace