Hey! Alif Satar & The Locos
Di konsert live band yang namanya diinspirasi daripada sebuah filem animasi. Bunyi macam fun, kan?

Oleh Zurina Waji

“Saya diimbau lagi, kali ini ke tahun 1996 ketika lagu-lagu kerohanian menyapu jalur muzik perdana dengan kemunculan Raihan yang membawa erti “haruman dari syurga.”

ENTAH kenapa, saya tidak begitu memerhatikan Alif Satar & The Locos sebagai sebuah band sehinggalah baru ini. Sudah tentu saya menyedari Alif lebih dulu bergerak sebagai solo biarpun popularitinya di pentas pengacaraan atau lakonan kadang menenggelami dunia muziknya.

Juga bisnes. Dia sememangnya anak muda dengan multi bakat.

Justeru, A Night With Alif Satar & The Locos and Anggi Marito menuai rasa untuk melihat bagaimana malam yang turut menampilkan kumpulan nasyid legenda, Raihan yang diidolakannya sejak kecil itu akan dipersembahkan.

Sukar untuk mengagak alasan sebenar yang mencambahkan tarikan buat Alif Satar & The Locos. Adakah memang kerana lagu-lagu yang pernah dirakam dan dibawakan, atau lebih disebabkan fenomena #GengSubuhMacamJumaat yang dicetuskan?

Kecuali Anugerah Terindah yang memperlihatkan Alif bersama pemain gitar, Tam Cobain; Efry Arwis (bass), Rajwan Juni (dram) dan Faliq Auri (saksafon) yang membentuk The Locos, dan meraih tempat ketiga di pentas Anugerah Juara Lagu 37, hampir setahun lalu, ini adalah konsert live pertama mereka bagi saya.

Sesudah diberitakan tentang reputasi mereka sebagai sebuah band pop pertama bermain bersama Malaysian Philharmonic Orchestra lewat Konsert Lochestra: Alif Satar & The Locos With The MPO sempena ulang tahun ke-25 Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Ogos tahun lalu, vibrasi semacam apa pula akan diberikan, kali ini?

PENANTIAN YANG BERAKHIR

Akhiri Penantianku menjadi pembuka malam yang tidak diduga kerana sesudah 10 tahun, saya dapat merasakan keasyikannya selepas sekian lama, mengimbau pada storyline video muzik tentang pengkhianatan yang bikin luluh banyak hati.

Judul cinta menguasai hampir separuh malam persembahan Alif Satar & The Locos yang lebih dulu memberi laluan kepada artis Indonesia, Anggi Marito yang melagukan, antaranya Tak Segampang Itu..

I Want You To Love Me dan Jangan Nakal, antara yang turut diperdengarkan sebelum konsert anjuran Mutiara Optimum Sdn Bhd dan MND Sport & Event Sdn Bhd itu menyambut Raihan yang tinggal bertiga – Che Amran atau dikenali sebagai Che Am, Abu Bakar Mohd Yatim dan Amran Ibrahim.

Saya diimbau lagi, kali ini ke tahun 1996 ketika lagu-lagu kerohanian menyapu jalur muzik perdana dengan kemunculan Raihan yang membawa erti “haruman dari syurga”, dan ketika itu turut dianggotai Nazrey Johani dan Allahyarham Azahari Ahmad.

“.. Alif Satar mempamerkan dirinya sebagai seorang yang versatile, menghidupkan malam dengan persembahan yang energetik, melayani audiens seperti kenalan lama dan menjadikannya cukup intimasi. Dia, menurut saya, adalah seorang penghibur dalam pembikinan.”

Diiringi pemain percussion, Alif menyertai idolanya menerusi medley Puji-Pujian dan Syukur, serentak memberikan vibrasi yang mendamaikan. Juga bukan asing buat audiens mudanya yang mungkin seperti Alif membesar dengan lagu-lagu Raihan yang sehingga kini masih memegang rekod album tempatan paling laris menerusi Puji-Pujian yang mencecah 700,000 unit.

Ada rasa gementar yang cuba diselindungi Alif, biarpun ini bukanlah kolaborasi pertama, barangkali lantaran kekaguman serta penghormatan tingginya terhadap pemilik 18 album yang meraih jualan 3.5 juta secara keseluruhan itu.

Sepertimana perbualan saya dan Che Am pada pertemuan singkat kami di belakang pentas kemudiannya, ada rasa mengasyikkan tentang kolaborasi itu yang menurut saya perlu difikirkan untuk diteroka lagi.

ANUGERAH TERINDAH

Selain Anugerah Terindah, antara satu daripada tujuh judul dalam debut Alif Satar & The Locos yang dilancarkan September tahun lalu, atau lagu-lagu Raihan yang dirakam semula, hampir keseluruhan lagu disenaraikan merupakan karya solo Alif seawal muncul dengan album Jangan Nakal pada 2009.

Jadi, apa yang telah saya bawa pulang, malam itu?

Tanpa ragu, Alif Satar mempamerkan dirinya sebagai seorang yang versatile, menghidupkan malam dengan persembahan yang energetik, melayani audiens seperti kenalan lama dan menjadikannya cukup intimasi.

Dia, menurut saya, adalah seorang penghibur dalam pembikinan.

Saya tidak mengharapkan untuk melihat hanya sebuah persembahan Alif Satar bersama band pengiring. Kerana sepertimana banyak band, saya suka untuk melihat apakah mereka setara nama yang dibawa – Loco, atau gila dalam bahasa Sepanyol, lewat penggabungan pada 2018 itu.

Jadi, apa yang disaksikan malam itu adalah pemuzik muda yang memiliki kebersamaan dalam keghairahan untuk memperdengarkan muzik mereka. Saya suka dengan mood pop R&B yang dihidupkan, sekali gus memberi warna segar kepada music scene tanahair

Sekiranya Alif Satar dan The Locos boleh saling berbagi, chemistry antara mereka memungkinkan band ini sebagai act yang perlu diperhatikan pada masa akan datang. Cuma mungkin apa yang diperlukan, karya yang berupaya membina Alif Satar & The Locos sebagai satu jenama.

Sementara itu, seperti kata seorang teman, “Alif Satar manusia paling in sekarang,” hanya saya suka untuk melihatnya sebagai kelahiran seorang ikon yang mula diperkenalkan oleh sahabat, Allahyarham Meor Shariman Meor Shafie – wartawan, penulis skrip dan novel, semasa Alif masih belasan tahun.

Lelaki Seperti Aku diperdengarkan sebagai encore yang menyempurnakan malam, ibarat pulang dating kali pertama dengan momen yang membuat angau. Betul jangkaan mu sahabat, Alif Satar akan pergi jauh dan saya masih menantikan kegilaan yang akan diberikannya kelak bersama The Locos.