Kenapa Exists Masih Ada?
Di tahun ke-33 band pop rock ini yang mendedikasikan lebih separuh hidup mereka untuk muzik.

Oleh Zurina Waji

“Ia satu kejayaan peribadi, iaitu daripada segi muzik, pencapaian Exists. Satu kepuasan yang maksimum sebab muzik telah dibawa ke next level dengan orkestra itu.” – Along

“SAAT audiens meluru ke depan pentas, itu yang kita nak sebagai performer,” kata Along, antara pendukung band yang digelar Exists ini, mengimbau persembahan bersejarah mereka menuju akhir tahun 2023 lalu.

Konsert Exists X Orkestra di Kuala Lumpur dilaporkan full house dengan kehadiran 6,000 audiens.

“Saat mereka melakukan itu – meluru, melompat, menjerit walaupun ia sebuah konsert secara duduk asalnya, ia adalah satu kepuasan bagi performer. Sebab kita melihat mereka terhibur, menikmati persembahan.

“Ia sebenarnya senario biasa dalam banyak konsert Exists. Separuh jalan, biasanya orang memang tak akan tahan untuk duduk saja, pasti sing-along sepanjang malam. Itu kepuasan yang tidak boleh dihuraikan. Saat menyaksikannya, dari atas pentas itu, kami saja yang tahu bagaimana perasaan itu.”

Justeru, kejayaan Konsert Exists X Orkestra , menurut pemain gitar berusia 45 tahun ini, hadir menyuntik semangat buat band asal Johor ini pada 33 tahun keberadaan mereka dalam industri muzik tanahair.

“Inilah perkara paling bermakna menjelang 33 tahun Exists,” kata Along, merujuk konsert anjuran Persatuan Global Malaysia itu yang diiringi 30 pemuzik Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu, menjadikannya yang  pertama buat band ini.

“Ia satu kejayaan peribadi, iaitu daripada segi muzik, pencapaian Exists. Satu kepuasan yang maksimum sebab muzik telah dibawa ke next level dengan orkestra itu. Lagi pula idea dan konsep dilahirkan saya sendiri dengan rekaan pentas, video, susunan lagunya.”

ALBUM LIVE KONSERT EXISTS X ORKESTRA

Puas dengan keinginan yang dapat direalisasikan, menurut Along, mencambahkan idea untuk penghasilan album live orkestra itu yang turut menampilkan pemain bass, Musa; Ajai (keyboard), Ujang (dram) serta Mamat dan Ezad sebagai vokalis.

Selepas kali terakhir muncul dengan album studio kelapan mereka, Paragon, 24 tahun lalu, ia bakal mengorak langkah baharu Exists pada 2024 yang akan turut dipenuhi, sepertimana dikongsi Ajai, antaranya dengan jelajah konsert, termasuk di Singapura.

“Sebab itu, konsert orkestra itu akan dijadikan album live,” katanya yang pada malam itu turut menyaksikan sebahagian hasil penjualan tiket berjumlah RM20,000 disumbangkan kepada Persatuan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang diwakili Presidennya, Datuk Freddie Fernandez.

“Setelah 32 tahun, baru kali ini Exists dapat mengadakan sebuah konsert sebegini dan ia satu pencapaian yang besar buat Exists. Jadi, dengan adanya album itu dapatlah dijadikan kenangan sampai bila-bila.

“Ada beberapa perkara sedang dirancang untuk 33 tahun Exists, iaitu perkara yang belum pernah Exists lakukan. Iaitu suatu yang berbeza atau mungkin lebih besar daripada apa yang pernah kami lakukan,” tambahnya.

“Disebabkan kedua-dua watak, Rahim dan Megat Ismail telah meninggal dunia, kredibiliti cerita ini boleh dipertikaikan. Tapi daripada penceritaan Saari, saya yakin memang dia menulis Untukmu Ibu.” – Musa

CERITA YANG TERUNGKAP

Sebanyak 25 lagu, semuanya disusun semula oleh Exists, telah diperdengarkan pada malam Konsert Exists X Orkestra itu yang harus saya akui adalah antara persembahan terbaik mereka semenjak debut dengan Exist pada 1991.

Album live itu kelak, tentunya akan mengesahkannya sebagai persembahan terbaik Mamat dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang memercikkan aura yang sukar dinafikan, sebagaimana dia tampil kali pertama memperdengarkan Untukmu Ibu pada usia 13 tahun.

Disempurnakan, tentunya dengan kemantapan vokal Ezad yang membuat luruh jiwa dengan lagu seperti Mengintai Dari Tirai Kamar hinggalah Percayakan Siti yang membuat audiens bingkas daripada kerusi, menari.

Pemuzik dalam erti kata sebenar – Along, Musa, Ajai dan Ujang, juga adalah antara yang terbaik yang menguasai pelbagai cabang muzik, termasuk dalam penciptaan lagu dan penulisan lirik, malah menyumbang untuk artis lain.

Masih dibicarakan fans, Konsert Exists X Orkestra itu juga dilihat mengimbau sejarah Tak Mungkin Berpaling yang lebih dulu dirakam Mamat, tapi turut diberikan kepada Slam oleh penciptanya, Saari Amri. Ajai, kemudiannya menyifatkan Exists berkorban untuk lagu itu dibawakan Slam, tambahan dengan pergeseran membabitkan syarikat rakaman yang menyukarkan keadaan.

Ia juga mengesahkan bagaimana Rindu Serindu Rindunya yang menjulang nama kumpulan Spoon dulu pernah dirakam Ezad yang menyanyikan lagu ciptaan Eddie Hamid itu pada malam itu, antaranya sebagai mengenang persahabatannya dengan vokalis, Allahyarham Along Spoon.

“Perjalanan 33 tahun ini yang tidak kurang onak ranjaunya, termasuk zaman yang disifatkan mereka “mengikat perut dengan hanya mi segera”, ternyata masih menyimpan banyak cerita yang perlu dirungkai.”

Jujur, saya sempat terfikir mahukah lagi mendengar Untukmu Ibu, namun bagaimana mungkin bagi sebuah konsert Exists tanpa lagu signature karya Allahyarham Rahim Othman itu, bukan?

Tapi apa yang menarik ialah tentang kemungkinan lirik Untukmu Ibu sebenarnya merupakan nukilan Saari, bukannya Allahyarham Megat Ismail Ibrahim sepertimana didedahkan Musa, kali pertama, tahun lalu.

Untukmu Ibu, menurut Saari, yang dibuat oleh arwah Megat Ismail tidak menggembirakan arwah Rahim, asalnya,” katanya merujuk pendedahan oleh komposer terkenal itu dalam satu pertemuan mereka.

Saari, ketika itu, menurutnya yang masih mencari ruang dalam industri tinggal bersama Rahim yang turut pernah menjaga band seperti Gersang dan Teja, dan terakhir Exists semasa di Kuala Lumpur dulu.

“Saari, atas permintaan Rahim, telah menulis liriknya 100 peratus tanpa membuat sebarang tuntutan, manakala Megat Ismail kekal dinamakan penulisnya. Disebabkan kedua-dua watak, Rahim dan Megat Ismail telah meninggal dunia, kredibiliti cerita ini boleh dipertikaikan.

“Tapi daripada penceritaan Saari, saya yakin memang dia menulis Untukmu Ibu. Saari, selama ini, tidak pernah menuntut apa-apa, baik royalti atau meminta dimasukkan namanya. Saari ikhlas untuk membantu Megat Ismail, ketika itu, juga kerana menghormati Rahim.”

Perjalanan 33 tahun ini yang tidak kurang onak ranjaunya, termasuk zaman yang disifatkan mereka “mengikat perut dengan hanya mi segera”, ternyata masih menyimpan banyak cerita yang perlu dirungkai.

Itu, dan mengambil kira lebih separuh usia yang didedikasikan mereka buat muzik, saya mengandaikan penggemar muzik akan terus antusias menanti magis yang hanya dapat diberikan band seperti Exists, sekali gus menjelaskan, dengan izinNya, mengapa mereka akan terus ada.