Wings, Maharaja Yang Bertakhta
Digauli bermacam rasa lewat konsert solo penutup 2023, Wings The Rock Emperor Kuala Lumpur Chapter.

Oleh Zurina Waji

“Saya menangis apabila saya meminta kepada Allah. Saya sudah sehabis mengawal (perasaan), tapi tak boleh juga. Sebak memikirkan tentang kepayahan mereka, fikirkan tentang apa yang berlaku di Palestin.”

“KAU yang memulakan, Kau yang sepatutnya menghabiskan,” kata Datuk Awie, memetik frasa yang membuatnya gagal menahan sebak dalam doa pada malam Wings The Rock Emperor Kuala Lumpur Chapter.

Entah apakah ia disedari 9,000 audiens yang memenuhi Stadium Malawati, Shah Alam, baru ini yang ikut menadah tangan dan mengaminkan doa yang keluar daripada mulut frontman Wings itu, tapi pastinya banyak emosi yang dijentik.

“Saya menangis apabila saya meminta kepada Allah,” katanya apabila saya bertanyakan soal malam itu kepadanya yang mempersembahkan Allah Allah Aghisna sebagai solidariti kepada Palestin yang sudah lebih dua bulan berdepan pembantaian Zionis Israel.

“Saya sudah sehabis mengawal (perasaan), tapi tak boleh juga. Sebak memikirkan tentang kepayahan mereka, fikirkan tentang apa yang berlaku di Palestin. Biarpun tidak hadir di depan mata, tapi terasa di anak mata.

“Apa yang berlaku terhadap anak-anak kecil Palestin, terutamanya yang kehilangan ibu bapa, sekelip mata tinggal sebatang kara, semuanya kerana peperangan. Kerana itu, saya mohon agar diberi hidayah juga pada puak sana, dapat hidup bersama, dibentukkan kasih sayang. Itu yang saya jadi sebak.

“Daripada seorang yang naif, daif ini, moga doa diangkat dan dimakbulkan Allah.”

Allah Allah Aghisna juga agak peribadi buat Awie yang dipilihnya sendiri selepas pernah dibawa pada satu acara, Ramadan lalu. Versi dipopularkan artis Indonesia, Nazwa Maulidia itu berupa selawat kepada Rasululllah yang berisi ungkapan pujian dan permohonan kepada Allah.

“Lagu itu sangat menyentuh hati,” katanya yang berdestar kuning, malam itu. “Liriknya yang mohon keampunan, mohon hidayah, segala-galanya, mohon syafaat Rasulullah, itu yang saya terpanggil untuk membawakannya pada malam Rock Emperor, beramai-ramai memohon doa.”

Tapi bukan solidariti Palestin itu saja yang menjadi momen langka yang memberi bermacam rasa pada malam bersama band rock berusia hampir empat dekad ini, sejak mereka memukau dunia muzik tanahair dengan debut Belenggu Irama pada 1987.

“Lima kerusi (di pentas) adalah takhta mereka (anggota Wings) yang telah mengabadikan diri dalam muzik puluhan tahun, Tak salah kalau kita letakkan (kerusi) simbolik takhta (sebab) kalau saya tak angkat sahabat saya siapa lagi nak angkat.”

SIMBOLIK TAKHTA

Sebuah persembahan teaterikal, Kuala Lumpur Chapter dimantapkan permainan Black yang nyata selesa berbicara dengan drum sticknya. Sambil ketenangan Eddie mengingatkan tentang langkah longlainya di sebalik kekuatan yang diperlihatkan dalam satu persembahan, sehari selepas pemergian isterinya, saya juga cuba membiasakan dengan penyatuan dua hero gitar, Syam dan Edrie Hashim.

Dianjurkan oleh Rumah Produksi Merah dan Awie Entertainment sebagai rakan strategik dengan kerjasama Sayap-Sayap Wings dan Truepixel, siri Wings The Rock Emperor bermula diSingapura, Julai lalu.

Kuala Lumpur Chapter, menurut saya, menjangkaui ekspektasi walaupun awalnya agak aneh melihat tidak sampai seperempat ruang disediakan untuk zon banging, manakala sebahagian besar diperuntukkan duduk.

“Rock mana boleh duduk,” terdengar suara dalam kalangan fans, antaranya berambut gondrong dengan berbaju-T Wings, sebaik muncul kelibat Awie membuka panggung dengan tiupan tetuang yang membuat seluruh stadium bersorak.

Sekilas, pembukaannya boleh saja diduga sebuah play dengan penataan cahaya yang dramatik dan api garang yang memarakkan malam bagi memulai Adoney Dari Paran di set yang berlatar singgahsana, dan paduan sistem bunyi yang menambah giur.

“Lima kerusi (di pentas) adalah takhta mereka (anggota Wings) yang telah mengabadikan diri dalam muzik puluhan tahun,” jelas Awie, kemudiannya, menyifatkan konsep itu juga lebih dinikmati dengan menonton secara duduk. “Tak salah kalau kita letakkan (kerusi) simbolik takhta (sebab) kalau saya tak angkat sahabat saya siapa lagi nak angkat.

“Ini untuk mereka kenang, bukan mudah perjalanan yang kami lalui selama hampir 40 tahun, bermacam karenah dan benda yang berlaku, hanya kami yang tahu dan hadap. Hari ini, kami buktikan itulah singgahsana kami, atas pentas itu.”

“Kami dah rancang, hari hujan (visual) sayup keluar, nak semua orang gembira keluar (selesai konsert). Kami tak nak lagu-lagu yang lain, tapi apabila dilihat ‘Eh! Ini tak habis lagi kita sebenarnya,’ bermakna kita kena khatamkan (persembahan). Sejati adalah penghabis (konsert) sebenar.”

Jika The Rock Emperor, sepertimana disebut sebagai simbolisme kepada perjalanan Wings, tiada lain kecuali penghormatan buat band ini yang dijulang kerana corak muzik, guitar works dan bait mendalam, antaranya yang ditinggalkan Allahyarham JS Kevin, Loloq dan Bob Lokman.

Dari judul seasing Komplikasi Pramaya ke Lubuk Pusing dan Awang Trasher, selain karya popular seperti Jerangkap Samar ke Gemuruh membuat saya menganga dengan kesempurnaan nada tinggi sang vokalisnya, kadang meramas emosi seperti Ingatkan Dia.

Vibrasi rock 70an, 80an menghambat audiens ke era rock mendominasi show di fun fair lewat band mat salih yang mempengaruhi Wings yang memberikan, antaranya Holiday (Scorpions) dan Black Night (Deep Purple).

Nurnilam Sari dan Sekeping Kertas Bermaruah, antara yang menyusul sebelum layar di latar pentas merubah mood dengan apa yang berlaku di Palestin, diikuti selawat Allah Allah Aghisna dan doa yang menambah sebak.

POWERNYA SEJATI

Encore yang disebut Awie, kemudiannya sebagai “segmen horey horey” menerusi judul sing-along medley Intan, Ku Kesepian dan Anugerah, antaranya sebelum visual hujan dan bunyi guruh menambah mood dramatik Taman Rashidah Utama seharusnya menjadi penutup yang sempurna.

Itu sangkaan Wings.

“Kami taklah sangka,” kata Awie, mengakui mereka tidak menduga audiens tidak berganjak walaupun persembahan sudah berlarutan hampir tiga jam. “Tapi mereka (anggota Wings) ada cakap, macam mana? Kami dah rancang, hari hujan (visual) sayup keluar, nak semua orang gembira keluar (selesai konsert).

“Kami tak nak lagu-lagu yang lain, tapi apabila dilihat ‘Eh! Ini tak habis lagi kita sebenarnya,’ bermakna kita kena khatamkan (persembahan). Sejati adalah penghabis (konsert) sebenar.”

Ditanya mengapa Sejati tidak disenaraikan untuk malam Kuala Lumpur Chapter, selorohnya, “Dah dekat lima ribu kali menyanyikan lagu itu,” sebelum menambah, “tapi bezanya ini atas permintaan. Orang menjerit mahukan Sejati, memang nak habiskan dengan guruh (Taman Rashidah Utama), tapi tak jadilah apabila orang minta dan minta Sejati juga.”

Sempat mengalami kekejangan di pertengahan konsert, dia meneruskan malam dengan persembahan yang energetik, kadang berisi humor dan kemantapan vokal yang hampir saja tidak masuk akal itu. Dan selama keghairahan masih menyala, takhta itu akan tetap milik Wings untuk satu tempoh yang lama.