Raisa Tak Berharap Lagi
Single yang mengakhiri tahun 2023 penyanyi itu lewat projek pertamanya dengan Andmesh.

Oleh RUMI | Foto Sharon Angelia

“… Tak Berharap Lagi akan menjadi sebuah lagi lagu pop klasik galau Indonesia pilihan ramai, apatah lagi dengan jalan ceritanya juga dekat degan pengalaman yang pernah dilalui ramai orang.” – Raisa

BIARPUN bukan duet, single Tak Berharap Lagi, menurut penyanyi popular Indonesia, Raisa Andriana, bakal memulai kolaborasi yang berkesan antaranya dan seorang lagi bintang muda, Andmesh Kamaleng.

Ia, malahan disifatkan sebagai satu lagi lakaran manis dalam perjalanan kerjaya seninya bagi mengakhiri tahun 2023 dengan single itu yang menampilkan Andmesh dalam menyempurnakan penulisan liriknya.

“Saya yakin Tak Berharap Lagi akan menjadi sebuah lagi lagu pop klasik galau Indonesia pilihan ramai, apatah lagi dengan jalan ceritanya juga dekat degan pengalaman yang pernah dilalui ramai orang,” kata penyanyi berusia 33 tahun itu menerusi kenyataan medianya.

Andmesh sebenarnya, katanya sudah beberapa kali mahu memberikannya lagu, namun terhalang oleh beberapa keadaan sehinggalah mereka mula kerap bertembung, baik di belakang pentas mahu pun di lapangan terbang.

“Ia bagaikan petanda untuk kami bekerjasama dan apabila saya suarakan kepada Andmesh yang saya sedang mencari lagu, dia terus WhatsApp lagu ini. Kali pertama mendengar lagu Tak Berharap Lagi, saya sudah tahu apa yang saya boleh lakukan untuk karya ini.

“Lagu ini seakan membawa fans mengimbau lagu-lagu lama Raisa, tetapi dinyanyikan dengan cara sekarang. Saya berharap lagu baharu yang digarap bersama Andmesh ini dapat membawa nostalgia, sekali gus bertahan sebagai karya malar segar,” jelasnya.

Ini diakui Andmesh yang ketika lagu itu ditulis, fikirannya langsung membayangkan Raisa sebagai penyanyi yang serasi untuk membawakan karya berkenaan.

“Karekter suara Raisa sangat sesuai untuk lagu ini. Tak Berharap Lagi mewakili perasaan mereka yang pernah mengagung dan memuja cinta, tetapi berjalan waktu, perlahan ia menghilang meskipun menyangka sudah bertemu dengan orang yang menurut mereka tepat.

“Seiring perjalanan waktu, tambahan hatinya itu menjadi sumber rasa sakit dan membuatkan dia tidak berani berharap lagi,” kata penyanyi dan pencipta asal Nusa Tenggara Timur ini yang mula dikenali dengan Cinta Luar Biasa pada 2019.

Raisa yang sempat berkongsi potongan lagu itu di media sosialnya, baru ini, menambah keterujaan terhadap single yang dilancarkan pada 15 Disember itu menerusi JUNI Records dengan produksi video lirik yang dibintangi sensasi tanahair, Merqeen.

Pertemuan di acara untuk satu jenama di Jepun akhirnya mencetuskan idea buat Raisa mengundang model dan pelakon asal Kuala Lumpur itu bagi video lirik arahan Westwaisnawa dari MURA Film yang menjalani penggambaran di Kebun Raya Bali, September lalu.

Single itu juga, akuinya diharap membuahkan harapan buat tahun 2024 agar manusia saling berbuat baik, “menjadikan kita lebih positif dan menggunakan platform (media sosial) yang ada untuk menyebarkan hal-hal baik.”Tak Berharap Lagi boleh dinikmati di platform penstriman digital, termasuk Spotify, Langitmusic dan TikTok Music, manakala video lirik lakonan Merqeen pula boleh ditonton di saluran YouTube raisa6690.