M Nasir & Hattan Bertemu Akhirnya di Konsert Sifu Dan Aku
Buat julung kalainya dalam sebuah persembahan berskala besar di Sabah, Februari depan.

Oleh RUMI

“Selepas sekian lama bekerjasama dengan Hattan, kali ini kami berada di satu pentas yang penonton akan melihat terbuktinya kombinasi kami.” – M Nasir

“KONSERT ini adalah klimaks pada perguruan saya bersamanya,” kata Datuk Hattan mengenai Konsert Sifu Dan Aku di Sabah pada Februari depan yang menggandingkannya, buat pertama kali, dengan komposer dan penyanyi terkenal, Datuk M Nasir.

“Saya mahu menjadikan konsert ini sebagai satu memori indah untuk karier seni saya kerana kami sepentas bersama dalam sebuah konsert khas, Sifu dan Aku.”

Hattan, menerusi kenyataan sama, menyifatkan konsert itu adalah penceritaan perjalanan kerjaya seninya, seawal dia berguru dengan seniman asal Singapura itu, daripada belajar menerbitkan lagu hingga menyanyi.

“Ini bakal menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan. Rugi kalau orang tak datang kerana penceritaan itu, saya dan M Nasir. Iaitu, bagaimana saya mengenali beliau hingga saat ini,” tambahnya.

Dianjurkan oleh Ochee Purnama Sdn Bhd dan HS Shazlicious Trading dengan kerjasama Borneo Excursions dan Angkatan Hebat Group, konsert berskala besar pada 3 Februari itu akan berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC).

Sementara M Nasir yang digelar Sifu oleh industri llantaran ratusan judul malar segar yang pernah   dirakamkan oleh ramai penyanyi dan kumpulan popular tanahair, meliputi pelbagai genre, daripada pop ke rock, menyifatkan konsert itu unik.

“Saya anggap persembahan ini satu cabaran kerana hubungan saya dan Datuk Hattan sudah lama. Dia menyerlah bakatnya selepas menyanyikan lagu-lagu saya dan kiranya menjadi anak buah saya dalam penerbitan dunia rakaman.

“Selepas sekian lama bekerjasama dengan Hattan, kali ini kami berada di satu pentas yang penonton akan melihat terbuktinya kombinasi kami. Saya pasti peminat di Sabah menantikan konsert ini,” ujarnya, merujuk persembahan yang dianggap unik dan istimewa itu.

Akses

  • 3 Februari 2024
  • Sabah International Convention Centre
  • 8.30pm

Tiket