Wali Band Mai Penang, “Cari Jodoh” & “Dawai”
Februari depan, lewat sebuah konsert yang turut menampilkan penyanyi Indonesia-Malaysia.

Oleh RUMI

BAIK-Baik Sayang, antara hits yang mengangkat nama Wali Band sehingga mencipta ramai penggemarnya yang bakal melepaskan rindu mereka pada malam yang digelar Konsert Wali “Cari Jodoh” & “Dawai” In Penang, Februari nanti.

Band pop Indonesia ini yang ditubuhkan pada 1999 dianggotai Faank sebagai vokalis, Apoy (gitaris), Tomi (dram) dan Ovie (keyboard), dikenali dengan lagu bergenre alternatif rock, religi dan balada dengan sentuhan etnik Melayu, antaranya Cari Jodoh, Doaku Untukmu Sayang dan Ada Gajah di Balik Batu.

Dianjurkan oleh Orange International (OI), konsert bersama Wali Band itu juga akan dihangatkan dengan penampilan penyanyi terkemuka Indonesia-Malaysia, antaranya pelantun Dawai, Fadhilah Intan.

Gandingan itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasasnya, Datuk Mohd Fadzli Idrus, adalah yang terbaru daripada OI selepas melakar kejayaan dengan konsert Jujur Takkan Melupakanmu, Live In Concert Radja (Special Appearance Ella) di Kuala Lumpur, November lalu.

“Setelah kejayaan konsert Radja dan Ella tempoh hari, OI sekali lagi membawakan hiburan dari seberang, iaitu kumpulan pop popular Indonesia, Wali Band buat peminat yang berada di Utara, khususnya Pulau Pinang,” katanya, memetik kenyataan medianya.

“Selain Wali Band, turut ditampilkan penyanyi Indonesia yang sedang meningkat naik, Fadhilah Intan yang tular dengan lagu Dawai dan ini merupakan kemunculan pertamanya di Malaysia, selain artis terkemuka tanahair, Saixse dan Khai Bahar.”

Konsert berdurasi lebih dua jam itu, menurut Mohd Fadzli, yang bakal memperdengarkan sehingga 15 lagu juga menggalakkan audiens hadir dengan berpakaian hijau bagi menyokong program Eco-Schools yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Akses

  • 3 Februari 2024
  • Spice Arena, Pulau Pinang
  • 8.30pm

Tiket

  • Tiket RM88 (Rock Zone – standing), RM129 (Gold), RM99 (Silver), RM259 (VVIP) dan RM159 (VIP).
  • Dapatkan di ticket2u.com.my/walipenang atau hubungi hotline +6011 1133 7638