Doa Malam Wings The Rock Emperor
Dan memuncaknya jangkaan dan pengharapan bagi Kuala Lumpur Chapter, Sabtu ini.

Oleh Zurina Waji

ADA doa yang akan dipanjatkan pada malam konsert berskala besar Wings The Rock Emperor Kuala Lumpur Chapter yang dijadual berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam nanti, menurut frontman, Datuk Awie.

Kerana malam itu, katanya, akan turut dimanfaatkan Wings sebagai ruang bagi mengajak audiens bersolidariti dengan Palestin yang berdepan pembantaian kejam oleh Zionis Israel yang sudah berlarutan lebih dua bulan.

“Saudara Palestin tidak akan dilupakan pada malam Wings The Rock Emperor Kuala Lumpur Chapter,” katanya, menegaskan kepedulian mereka terhadap nasib rakyat Palestin, termasuk dengan doa selepas sebuah lagu Arab yang dipersembahkan bagi segmen itu.

Pendirian terhadap Palestin itu, menurutnya, bagaimanapun bukanlah yang pertama buat Wings yang November lalu, melalui Wings Motor Gang Society (WMGS) Asean menganjurkan konvoi motor besar yang turut disertai 11 kelab motosikal berkuasa tinggi lain melalui program Solidarity Ride Free Palestine WMGS Asean ke Masjid Negeri Perak.

“Kerana tidak perlu menunggu untuk konsert bagi menyatakan solidariti, tapi tidak wajar juga mempertikaikan mengapa kami meneruskan juga persembahan ini memandangkan setiap kami adalah ketua keluarga yang perlu turut berjuang mencari rezeki buat keluarga,” ujarnya.

Dirancang sebagai sebuah persembahan teaterikal, Wings The Rock Emperor Kuala Lumpur Chapter merupakan konsert solo penutup band itu bagi 2023 yang turut menampilkan pemain bass, Eddie; Black (dram), Edrie dan Syam (gitar), selain Awie.

“…pengalaman berbeza buat audiens, termasuk dengan penataan cahaya dan audio terbaik, selain lebih 20 lagu, termasuk judul yang jarang diperdengarkan seperti daripada album Naga Keramat, selain tribute buat band antarabangsa yang digemari, antaranya Scorpion dan Deep Purple.”

Dianjurkan oleh Rumah Produksi Merah dan Awie Entertainment sebagai rakan strategik dengan kerjasama Sayap-Sayap Wings dan Truepixel, siri The Rock Emperor ini lebih dulu menemui fans Singapuranya, Julai lalu.

Enggan dianggap memberikan persembahan kitar semula, jelas Awie, konsep yang akan diketengahkan adalah suatu yang segar bagi fans, malah mereka tidak memandang remeh persiapan, terutama latihan yang sudah pun dilakukan sejak lebih sebulan lalu.

Kedudukan dimiliki Wings, tegasnya tidak menjadikan mereka mengambil mudah perkara.

“Besar kepala? Diva? Itu bukan Wings, apatah lagi saya,” katanya, sambil lagu bandnya kedengaran perlahan di sebalik pintu studio latihan yang memisahkan ruang kami pada pertemuan di Studio Al Pamelo di Ampang itu.

“Tidak pernah ada istilah itu dalam kamus hidup kami.”

Tiga puluh enam tahun berlalu sejak Wings diperkenalkan menerusi album, Belenggu Irama yang memuatkan trek seperti Inspirasi Tamingsari yang memekarkan jiwa keMelayuan sebagai trademark mereka, juga Intan Ku Kesepian, Biarkan Berlalu dan Peronda Jaket Biru, antaranya.

Satu tempoh panjang yang menyaksikan karya-karya hebat dilahirkan, sekali gus menjulang nama Wings sebagai antara band rock legenda, bukan sekadar bertahan malahan masih relevan dalam   industri muzik tanahair, hari ini.

Itu jugalah, katanya yang akan diberikan pada konsert nanti yang diharap memberi pengalaman berbeza buat audiens, termasuk dengan penataan cahaya dan audio terbaik, selain lebih 20 lagu, termasuk judul yang jarang diperdengarkan seperti daripada album Naga Keramat, selain tribute buat band antarabangsa yang digemari, antaranya Scorpion dan Deep Purple.

Dan kerana kepuasan buat fans adalah penting, menurut Awie, Wings tidak pernah lelah untuk belajar dan berusaha memberikan pengalaman tidak dilupakan setiap kali mereka tampil dengan persembahan.

Bagi yang akan menonton Wings The Rock Emperor Kuala Lumpur Chapter, gelang tangan boleh ditebus di kaunter di perkarangan Stadium Malawati yang akan dibuka bermula jam 11 pagi hingga 9.30 malam.