Pemenang Anugerah Grammy, Tinariwen Di Malaysia, Jumaat Ini
Lewat konsert Tinariwen: Returns to Malaysia 2023 dalam Jelajah Asia 2023 mereka.

Oleh RUMI

INI kali kedua Tinariwen, sekumpulan pemuzik Tuareg terkenal dunia, kembali ke Malaysia.

Dan tentunya kedatangan mereka pada 15 Disember ini yang merupakan sebahagian daripada Jelajah Asia 2023 itu berbekalkan melodi dan irama tradisional Tuareg dengan gitar elektrik dan vokal penuh jiwa menerusi genre yang dipanggil Assouf.

Juga dikenali sebagai Sahara Blues, pada malam yang digelar Tinariwen: Returns to Malaysia 2023 itu, pemenang Anugerah Grammy asal Gurun Sahara di utara Mali ini menjanjikan konsert yang mempesonakan.

Dipersembahkan oleh Pusaka dan Kedutaan Perancis di Malaysia, kenyataan medianya juga menyebut audiens akan dibawa mengembara di landskap Sahara yang menakjubkan melalui muzik mereka, termasuk lagu-lagu daripada album terbaru, Amatssou.

Pemuzik terkenal dunia seperti Robert Plant, Carlos Santana dan vokalis Radiohead, Thom Yorke, antara yang mengagumi kumpulan ini yang menjulang trofi sulung Grammy mereka bagi kategori Muzik Dunia Terbaik menerusi album Tassili pada 2012.

Justeru, konsert kali ini diduga memberikan pengalaman budaya yang istimewa buat peminat muzik tanahair menerusi keindahan penyatuan muzik tradisional Sahara dengan semangat masa kini Tinariwen yang dipuji sebagai antara kumpulan paling cemerlang dan inovatif di pentas muzik dunia.

Turut memeriahkan malam persembahan itu kelak ialah mainan gendang Chinna Rasa Urumee Melum Masana Kali dan kumpulan etnik Borneo, Nading Rhapsody bagi acara pembukaan.

Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan keluarbiasaan Tinariwen secara live, Jumaat ini.

Akses

  • 15 Disember 2023
  • JioSpace, Petaling Jaya
  • 8.30pm

Tiket