Incubus di Kuala Lumpur, April 2024
Ibukota, antara destinasi persinggahan band rock itu dalam Jelajah Asia 2024 mereka.

Oleh RUMI

LEBIH 23 juta album dijual di seluruh dunia dan dengan pelbagai anugerah diraih sepanjang lebih tiga dekad mereka dalam dunia seni muzik antarabangsa, Incubus bakal dibawa ke pentas Kuala Lumpur, April depan.

Dianjurkan oleh Hitman Solutions, Incubus Live In Malaysia akan diadakan bersempena Jelajah Asia 2024 mereka, sekali gus meleraikan rindu peminat terhadap band asal Amerika ini yang terkenal dengan muzik metal, funk dan hip-hop.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasasnya, Rohit Rampal, berkata kedatangan Incubus itu bertepatan dengan hasrat Hitman Solutions untuk sentiasa memberikan pengalaman hiburan seni yang terbaik.

“Sebagai peminat rock sendiri, saya sangat teruja untuk mengumumkan usaha konsert ini dengan salah sebuah kumpulan rock antarabansga paling berjaya sepanjang zaman, iaitu Incubus untuk persembahan mereka di Malaysia dalam Jelajah Asia 2024.

“Permintaan untuk mereka kembali ke Malaysia begitu ketara, terutamanya ketika kami melihat keterujaan terhadap konsert ini di negara-negara jiran,” katanya, berharap dapat memuaskan hati penggemar rock tempatan dengan persembahan band yang dikenali dengan lagu seperti Drive, Wish You Were Here dan Pardon Me itu.

Tiket mula dijual pada 7 Disember.

Akses

  • 27 April 2024
  • Mega Star Arena, Kuala Lumpur
  • 8.30pm

Tiket

  • Tiket CAT 1 – VIP Seating (RM299), CAT 2 – Normal Seating (RM249) dan Rock Zone – Free Standing (RM249)
  • Dapatkan di www.hitman live.com