Sweet Charity Semalam Di Malaya
Melerai rindu dengan kembalinya band rock itu ke Kuala Lumpur untuk konsert selepas 13 tahun.

Oleh Zurina Waji | Foto Papadin

“Kami suka dengan nama Malaya itu. Kerana ia jadi kenangan (semasa) di Malaysia atau Malaya ini, banyak. Juga untuk menghormati negara di mana kita berpijak… “

“MALAYA itu satu nama ikonik,” kata Datuk Ramli Sarip, 71, memberikan alasan di sebalik pemilihan judul Semalam Di Malaya bagi konsert Sweet Charity yang bakal meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-55, tahun depan.

Jelas frontman band asal Singapura itu, secara peribadi nama Malaya itu sendiri memberi banyak kenangan buatnya, seraya mengimbau zamannya bebas menaiki bas merentasi ke Johor Bahru tanpa passport, antaranya.

Digelar sepenuhnya Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity, ia juga sebagai refleksi kepada perjalanan band itu yang bertahan, hari ini dengan Rahman Sarbani (dram), Rosli Mohalim (gitar) dan Ahmad Jaafar (keyboard dan vokalis kedua), selain Ramli sendiri.

“Ia bermula seawal 1978, semenjak syarikat rakaman mula dibuka di negara ini dan sampai sekarang, terbukti ramai peminat yang setia, masih mengikuti dan mengingati lagu-lagu Sweet Charity,” katanya.

Ini juga, katanya, kerana nilai sejarah yang mengiringi nama itu sendiri apabila Malaya melalui konflik dan darurat pada zaman komunis, selain konfrontasi yang turut menyaksikan abangnya, seorang tentera, ikut terbabit.

“Saya suka dengan judul Semalam Di Malaya,” katanya, seraya mengimbau lagu dengan judul sama oleh band Indonesia, God Bless itu yang ditampilkan dalam satu filem dan pernah dirakam semula oleh D’Lloyd.

“Kebetulan juga ada lagu berjudul Semalam di Malaya, begitu juga sukan Malaysia pun menggunakan nama Harimau Malaya. Jadi sebenarnya, kebetulan nama itu kami suka. Kami suka dengan nama Malaya itu. Kerana ia jadi kenangan (semasa) di Malaysia atau Malaya ini, banyak.

“Juga untuk menghormati negara di mana kita berpijak, jadi ia akan dipersembahkan secara luar biasa. Ia satu kenangan, cerita yang kuat. Anda akan imbau sejarah lagu itu yang ada sentuhan luar biasa, magik.”

“Maka dengan izin Allah, kawan-kawan masih mampu untuk membuat persembahan dan mahu membuat persembahan, dan peminat pun (masih) nak tengok Sweet Charity… kali terakhir, mungkin.”

Dianjurkan oleh Malaysia Shipowner’s Association, konsert berdurasi hampir tiga jam itu akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 26 Januari depan. Sidang media, baru ini, turut mengumumkan Rasa Karya bagi produksi, selain Mewah Event Management sebagai rakan strategik dan Ilassotickets untuk pengurusan tiket.

Persembahan juga akan dimantapkan lagi dengan penampilan pemuzik seperti Roza Rasul yang bermain keyboard, Din (bass) dan Eddie Cradle (gitar) yang disebut Ramli sebagai “pemuzik dengan kebolehan luar biasa.”

Penganjur, diwakili Pengurus Besarnya, Mohd Helmi Zaharudin, mengakui pemilihan Sweet Charity bagi penganjuran konsert pertama mereka itu, antaranya didorong keupayaan Ramli menjalin rasa dengan audiensnya.

“Dia tahu melayan audiens dan tarikan itu sangat organik, sangat magikal,” katanya mengenai penampilan penyanyi yang juga digelar Papa Rock itu pada satu acara tahunan mereka. “Dia memberikan lebih daripada apa yang dijanjikan dan audiens menikmati persembahannya.

“Ia juga kena dengan demografi kami, komuniti perkapalan yang kebanyakannya membesar dengan muzik Sweet Charity. Datuk Ramli tahu bagaimana untuk membaca audiensnnya, malah memiliki energi yang luar biasa.”

Ditanya mengenai kadar RM15,000 dan RM20,000 untuk satu VIP Box konsert ini yang menawarkan tiket biasa serendah RM180, dia yakin MASA tidak berdepan masalah untuk meraih sokongan daripada 247 ahlinya, termasuk 107 pemilik kapal.

Ramli, masih dipacu keghairahan sama terhadap seni muzik, tidak menafikan kembalinya Sweet Charity ke ibu kota selepas kali terakhir muncul dengan konsert yang dianggap fenomena, 13 tahun lalu, sememangnya cukup bererti.

Tanpa menepikan satu masa kelak mereka akhirnya perlu menyerah kepada ketidakupayaan untuk beraksi di pentas, sehingga itu mereka berdoa agar dikurniai kesihatan demi memberikan yang terbaik, terutama buat peminat.

“Ia satu pusingan yang biasa, tapi yang membawa adalah muzik itu,” katanya yang turut berbesar hati dengan kepercayaan penganjur terhadap kemampuan band ini yang memiliki segudang karya malar segar seperti Sejuta Wajah, Apa Khabar dan Batu, selain Kamelia dan Zakiah.

“Maka dengan izin Allah, kawan-kawan masih mampu untuk membuat persembahan dan mahu membuat persembahan, dan peminat pun (masih) nak tengok Sweet Charity… kali terakhir, mungkin,”

Akses

  • 26 Januari 2024
  • Zepp Kuala Lumpur
  • 8.30pm

Tiket

  • Tiket RM180 (Batu – Free Standing), RM308 (Sejuta Wajah – Normal Seat), RM388 (Zakiah – Premium Seat) dan bermula RM15,000 bagi VIP Box boleh didapatkan dengan melayari www.ilassotickets.com.my atau hubungi hotline +60 11-1329 7822.