Keraian Hampir 5 Dekad Dato Shake Berkelana
Kembalinya penyanyi yang mencipta nama di Perancis itu lewat Konsert Dato Shake Zepp KL 2023, Disember ini

Oleh RUMI

“Dato Shake merupakan artis yang benar-benar unik. Beliau mempunyai bakat yang tidak dapat dinafikan dan lebih penting lagi, seorang yang serba boleh. Beliau benar-benar dekat dengan perkataan fusion… “

KONSERT dengan konsep muzikal bakal dipersembahkan penyanyi ikonik, Dato Shake yang berkelana ke Perancis pada era 1970an, membawa suara dan karismanya untuk mencipta nama di negara orang.

Dianjurkan InTour Live Events dan iMe Entertainment Group, ia sekali gus merealisasikan impian anak jati Johor Bahru berusia 73 tahun ini dengan nama sebenarnya, Sheikh Abdullah Ahmad Bahweres.

Digelar Konsert Dato Shake Zepp KL 2023, ia adalah sebuah perjalanan menakjubkan penerokaan kronologi kerjaya muziknya.

Bonor Seen, wakil InTour Live Events, menyifatkan kembalinya Dato Shake ke tanahair bakal menggamit nostalgia para penggemar yang mengenalinya dengan lagu seperti You Know I Love You (Tu Sais Je T’aime), Umi, Lina, Pulanglah dan Anugerah Dari Kegagalan.

“Dato Shake merupakan artis yang benar-benar unik. Beliau mempunyai bakat yang tidak dapat dinafikan dan lebih penting lagi, seorang yang serba boleh. Beliau benar-benar dekat dengan perkataan fusion, punya bakat semula jadi.

“Peminat buka saja akan digamit nostalgia dengan lagu-lagu Melayunya, malah pasti terpesona dengan genre pop dan rock dalam bahasa Perancis, selain Inggeris yang menjadikannya penghibur disegani,” kataya, memetik kenyataan medianya.

Dato Shake, menerusi persembahan berdurasi 90 minit itu akan diiringi pemuzik Perancisnya

Berpangkalan di Paris, Dato Shake yang juga merupakan penerima Chevalier des art et Lettre yang berprestij daripada kerajaan Perancis atas sumbangannya dalam mempromosikan bahasa dan budaya Perancis ke seluruh Asia, mengakui teruja untuk kembali dengan sebuah konsert selepas rancangannya tertunda sejak 2020 ekoran pandemik.

“Janji pasti akan ditepati untuk peminat yang masih sayangkan saya. Pada 2020, saya merancang untuk melakukan jelajah besar ke seluruh Malaysia dan Asia, namun pandemik merosakkan rancangan semua orang, termasuk saya,” katanya.

“Disember ini, saya akan kembali ke Malaysia menerusi Konsert Dato Shake Zepp KL 2023. Jumpa nanti!”

Akses

  • 16 Disember 2023
  • Zepp Kuala Lumpur
  • 8pm

Tiket

  • RM598 (Cat 1), RM498 (Cat 2), RM398 (Cat 3), RM458 (Cat 4) & RM358 (Cat 5), manakala Kotak Premium RM5,000 (8 pax)
  • Tiket mula dijual pada 3 Oktober 2023, jam 11 pagi
  • Dapatkan di www,ticketcharge.com.my