Sejarah Bakal Tercipta di Tujuh Vibrato Gitar
Hari tujuh gitaris, legenda dan pemain muda, bergabung di satu pentas pada November nanti

Oleh Zurina Waji | Foto Papadin

“TAK mungkin berlaku kedua kali,” kata Man Keedal mengenai persembahan pada konsert Tujuh Vibrato Gitar yang berbaki sebulan lagi yang menampilkan antara gitaris terbaik tanahair buat julung kalinya.

“Saya amat teruja. Dalam perjalanan muzik saya, cetusan ini sama macam zaman Battle of the Band. Jelas, tak mudah untuk kita (pemuzik) bersama. Memang agak sukar, terutama dalam keadaan sekarang. Benda ini sangat bersejarah bagi saya.”

Pendiri band Lefthanded ini yang mula bermain muzik seawal akhir 70an jelas tidak dapat menyembunyikan keterujaannya dengan cetusan idea penganjur, Big Stage Entertainment Channel itu dan gitaris terkenal, Jo Branko menerusi Anggerik Event Sdn Bhd selaku penganjur bersama.

“Empat dekad saya dah lalui (dalam seni), benda (konsert) ini sangat istimewa. Moga ia jadi cetusan untuk pemuzik yang mewarisi kita (pemuzik senior),” tambahnya, seraya mengharapkan sokongan padu peminat khususnya muzik rock tanahair.

Dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 3 November ini, konsert itu menghimpunkan tujuh gitaris – legenda, iaitu Jo Branko, Kidd Search dan Man Keedal, selain Shah Slam dan Jemboo Def Gab C bersama pemain muda, Muzza dan Anis Kalisa.

Diiringi house band, Rozaimie (bass), Adi Yamin (keyboard) dan Ainol (dram), persembahan malam itu juga akan dimeriahkan dengan penampilan Muss, Lan Solo dan Dato Hattan bagi melantunkan judul-judul rock klasik dan kontemporari.

Namun kenapa tujuh nama pemain gitar itu yang disenaraikan? Bukankah industri muzik tanahair punya ramai lagi gitaris yang jauh lebih hebat daripada sebahagian yang dipilih?

“Sangat mencabar, tapi itu yang saya suka. Saya suka buat benda yang orang tak buat.” – Jo Branko

Jo yang memiliki lebih 35 tahun pengalaman dalam muzik rock arus perdana, mengakui dia sedar pertanyaan yang berlegar tentang pemilihan hero gitar bagi menyertai barisan Tujuh Vibrato Gitarnya.

“Saya pilih tiga generasi,” katanya pada sidang media itu bagi memperkenalkan pemuzik dan penyanyi bagi konsert itu, baru ini. “Saya, Man (Keedal) dan Kidd satu generasi. Selepas saya, Shah hero gitar berpotensi, juga Jemboo yang boleh memberikan apa yang dimahukan, serta up-and-coming Muzza, Anis.

“Semua, bagi saya masing-masing ada kelebihan. Boleh saja kalau saya mahu memanggil orang lain, tapi saya rasa persembahan seumpama ini saya tengok pada komitmen. Saya tengok itu dulu dan inilah dia.”

BACA: Pesona 7 Gitaris Lewat Konsert Tujuh Vibrato Gitar

Satu persembahan membabitkan semua pemuzik dan penyanyi yang bakal terbabit sebelum berlangsungnya sidang media, berhasil menjadi satu pra-tonton yang cukup mengujakan para tetamu.

Biar hanya di pentas kecil, ia bagai memberi indikasi tentang kehangatan yang bakal diberikan pada malam konsert kelak di lokasi yang mampu memuatkan sehingga 2,500 audiens pada satu-satu masa.

“Kalau instrumental (gitar) saja mahu menanah telinga, jadi memang kena ada penyanyi. Ibarat kek, kalau tiada hiasan kek itu tak menarik untuk dimakan kerana hiasan itulah yang menarik hati kita. Penyanyilah yang akan menghiasi kita di atas pentas nanti.” – Jo Branko

LAGU SEAWAL 90AN, UNDERRATED

“Kita tak ada nak bersaing,” kata Jo mengenai pendekatan persembahan yang bakal dibahagikan kepada beberapa segmen, termasuk secara berpasangan. Kita akan buat secantik yang boleh masa hari persembahan, melebihkan irama gitar tentunya.

“Cuma kita bukan ahli politik, kita tiada kroni, tapi kita antara sahabat-sahabat. Kalau untuk mengumpulkan semua untuk memuaskan hati orang memang tak bolehlah. Jadi, saya buat keputusan ikut saya punya pilihan.

“Saya baik dengan semua orang dan pemilihan saya memang berdasarkan kelebihan masing-masing untuk melaksanakan projek pertama ini. Konsep ini saya pilih yang betul-betul saya rasa boleh berikan komitmen 100 peratus.”

Sempat, dia berseloroh, “Sebab kalau saya ambil pendapat orang tak jadi tujuhlah, takut-takut 15 (gitaris) pun boleh.”

Jo yang juga pendukung band, Barbarik, mengakui bukan kecil cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan projek ini.

“Sangat mencabar, tapi itu yang saya suka. Saya suka buat benda yang orang tak buat. Saya harap menerusi konsert ini orang di luar sana akan lebih tahu peranan pemuzik, terutama pemain gitar walaupun secara peribadi saya tak ada apa nak dibuktikan kepada orang,” katanya.

Muss, antara vokalis terbaik tanahair dan kini bersama Barbarik, menurut Jo bakal menambah daya tarikan pada malam konsert bersama Lan Solo dan Hattan menerusi untaian lagu-lagu seawal 90an hingga terkini.

“Kalau instrumental (gitar) saja mahu menanah telinga, jadi memang kena ada penyanyi. Ibarat kek, kalau tiada hiasan kek itu tak menariklah untuk dimakan kerana hiasan itulah yang menarik hati kita. Penyanyilah yang akan menghiasi kita di atas pentas nanti.

“Kita ada medley, misalnya di tengah persembahan yang akan full blast dengan susunan muziknya. Saya akan pilih lagu-lagu, tak semestinya lagu saya, tapi mungkin darripada setiap album masing-masing seawal 90an hingga sekarang.

“Iaitu, lagu-lagu yang orang suka, tapi tak sempat nak meletup pada masa itu sebab ada lagu lain yang ditonjolkan, Ertinya, ada antaranya lagu-lagu yang underrated selain lagu-lagu lama yang akan

diberi susunan baharu, dibantu Shah di studio dan banyak bagi idea, selain Muzza, Jemboo juga arranger saya, Adi yang banyak membantu saya di studio,” katanya.

Mengakhiri perbualan, katanya penuh makna, “Sebab saya tak boleh buat seorang. Satu kerja ramai-ramai, bukan ramai-ramai buat satu kerja.”

Tiket berharga serendah RM188 masih boleh didapatkan di www.tix-box.com