Lah Ahmad Buat Orang Jatuh Cinta
Lewat konsert pada Oktober nanti yang bakal mengesahkan mengapa dia masih membuai rasa.

Oleh Zurina Waji | Foto Papadin

“Bila jatuh cinta, kita jatuhkan diri kita, ego kita. Bila kita jatuh cinta, kita sanggup buat apa saja untuk orang kita sayangi. Kita sanggup… “

JATUH cinta, kata Lah Ahmad, bererti kesanggupan untuk menjatuhkan keakuan diri.

Entah apakah itu selayaknya disebut cinta sejati, namun penyanyi bersuara lunak ini yang dikenali dengan lagu berirama R&B ini tahu benar bagaimana selama 25 tahun ini namanya terus relevan disebabkan cinta.

Kerana itu, menurut Lah, atau nama sebenarnya Abdullah Ahmad, konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta Live at Istana Budaya pada 7 Oktober ini akan membawa pengisian sebagai sebuah malam keraian cinta.

Konsert solo keduanya, tahun ini, adalah kesinambungan kepada album Jatuh yang dihasilkan pada awal tahun, serentak ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam dunia muzik sejak diperkenalkan bersama V.E, kumpulan vokal harmoni yang membawa genre R&B, soul dan balada.

“Bila jatuh cinta, kita jatuhkan diri kita, ego kita. Bila kita jatuh cinta, kita sanggup buat apa saja untuk orang kita sayangi. Kita sanggup cari benda jauh biarpun ada yang dekat, tapi untuk orang yang kita sayangi, kita sanggup jatuhkan keakuan kita,” katanya, berkongsi definisi tentang cinta.

“Itu simbolik mesej saya menerusi konsert ini, terutama dalam melihat perhubungan hari ini, apabila pasangan tidak lagi menjatuhkan diri. Sudah berkahwin jadi aku, aku, kau, kau. (Basuh) Pinggan kerja kau, aku basuh baju, kendalikan budak-budak. Keakuan meninggi, enggan menjatuhkan diri untuk antara satu sama lain.”

Jelas Lah, lamaran Rubbertapper Production House (M) Sdn Bhd untuknya mengadakan persembahan di pentas berprestij seperti Istana Budaya sukar untuk ditolak, apatah lagi ia peluang mencabar kemampuan untuk menghiburkan audiens dalam tempoh lama.

“Daripada SWV, berjudul Weak. Baru-baru ini lagu itu viral semual di Tik Tok yang mengimbau masa saya muda dulu dan buat rasa untuk menyanyikannya.”

Diiringi 12 pemuzik Orkestra Simfoni Universiti Malaya, dia turut mengundang Shazee dan rapper B-Heart yang pernah ditampilkannya, masing-masing menerusi lagu Kenapa dan Ini Ceritaku dengan Shahwal Hussin sebagai Pengarah Muzik.

Pada pertemuan yang diatur antara jadualnya yang padat, termasuk memenuhi undangan menyanyi di majlis tertutup seperti perkahwinan, dia mengakui konsert berdurasi dua jam yang menyenaraikan 20 lagu itu akan jadi suatu yang lebih intimasi.

“Lebih peribadi kerana mahu meraikan para pengantin, pasangan atau pun fans yang pernah ada memori dengan lagu-lagu saya seperti Ayu. Intimasi dalam skala lebih besar, malam keraian cinta tapi universal. Hati kena bersih, diri kena tip-top barulah lagu sampai ke hati orang,” katanya.

CINTA, BALADA MELEKAT DI JIWA

Keupayaan Lah untuk menyanyi secara live sememangnyatidak perlu dipertikaikan, lalu apa lagi kelainan Lah Ahmad Jatuh Cinta Live at Istana Budaya, sekali gus sebagai konsert yang tidak harus dilepaskan?

Cover songs,” kata Lah, senyum dengan mata bercahaya. “Saya nak lepas geram. Ada satu lagu ni yang saya sukar sejak zaman remaja. Saya selalu rasa nak menyanyikannya, tapi tiada majlis yang nak terima, tiada tempat nak lepas geram.”

Ditanya, dia agak malu-malu sebelum menjawab, “Daripada SWV, berjudul Weak. Baru-baru ini lagu itu viral semual di Tik Tok yang mengimbau masa saya muda dulu dan buat rasa untuk menyanyikannya.”

Sebuah lagi cover, tambahnya merupakan pilihan anaknya yang berusia 12 tahun, iaitu Amira yang bertanggungjawab “ajar saya main Tik Tok dan sebab dia yang pilih lagu itu, jadi bagi saya ia istimewa dan sebagai cara menghargainya yang juga meminati muzik.”

Pada usia 43 tahun kini, kata Lah, dia tidak ragu-ragu untuk mengakui lagu-lagu cinta, balada sememangnya melekat dengan jiwanya sejak remaja walaupun dulu, dia pernah cuba untuk menyembunyikan kecenderungannya.

“… mesej cinta buat lagu itu bertahan lama, kita boleh dengar berulang kali. Cuma kalau saya cerita benda ni masa zaman sekolah dulu memanglah kena gelak sebab nyanyi lagu jiwang, lagu bunga.”

Ditanya, dia ketawa besar. Katanya, “Saya dulu ada band rock, nak buat ala Metallica. Main gitar, semua lagu Metallica boleh mainlah tapi bila keluar suara, keluar lagu jatuh cinta. Tak keluar suara James Hetfield (vokalis Metallica) tu.

“Masa tu, saya bersekolah menengah, main band dengan sepupu, kawan. Tapi buka suara je ke arah R&B pula walaupun Enter Sandman semua hafal dah. Dram, gitar, main solo gempak dah, headbanging lagi tapi suara itu tetap keluar lembut, ikut alunan R&B juga jadinya.”

Cenderung dengan irama R&B, antaranya Boyz II Men selain SWV, Lah yang membesar pada era rock 90an juga mengingati bagaimana judul seperti Umpama Mimpi Dalam Mimpi (Damasutra) Takdir dan Waktu (Mega) dan Di Alam Fana Cinta (Fotograf) ikut mempengaruhinya awal dulu.

“Siapa yang hidup zaman tu, saya nak bawa melalui balik memori itu,” katanya mengenai konsert yang berbaki kira-kira seminggu lagi. “Dan beri fans baharu dengar balada R&B, juga hidupkan kembali momen masa bercinta atau meraikan ulang tahun perkahwinan sebagai hadiah dengan kenangan yang tertunda.

“Saya suka lagu yang bersifat peribadi. Saya percaya mesej cinta buat lagu itu bertahan lama, kita boleh dengar berulang kali. Cuma kalau saya cerita benda ni masa zaman sekolah dulu memanglah kena gelak sebab nyanyi lagu jiwang, lagu bunga. Rock baru layan tapi itulah stigma dulu.”

Sebelum menamatkan pertemuan itu, sempat Lah berseloroh, “Jiwang tak salah, hati kena ada bunga.”

Tiket berharga serendah RM130 masih boleh didapatkan di www.ilassotickets.com