Berona Day Bawa Rizky Febian Kembali ke KL
Konsert jelajah album sempena kelahiran album baru yang masih dengan tema cinta.

Oleh RUMI

“Rizky mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan penggemar muzik tempatan, sebagai artis muda yang sering menjadi perhatian kerana hasil karyanya yang bermutu.” – Rohit Rampal

AN Album Live Concert, Berona Day: Rizky Febian membawa penyanyi muda asal Indonesia itu kembali ke ibukota selepas mencipta sensasi menerusi single sulungnya, Kesempurnaan Cinta, lapan tahun lalu.

Ia juga bersempena kelahiran Berona, album keduanya yang dilancarkan pada 21 Julai lalu

“Album yang mengandungi 10 lagu baharu hasil kolaborasi tiga pemuzk Indonesia, iaitu Gangga, Teddy Adhitya dan Basboi itu tujuan utama mengapa konsert ini diadakan kali ini, selain mempromosi album baharu, dapat juga menyapa peminat di Malaysia,” katanya.

Dibawakan oleh Hitman Solutions, konsert pada November ini nanti juga merupakan penampilan solo keduanya di negara ini.

Siap untuk menebarkan cinta, jelas anak bintang terkenal Indonesia, Suleh, ini  An Album Live Concert, Berona Day: Rizky Febian bakal memperdengarkan 15 lagu dalam konsert berdurasi hampir dua jam.

Disebut bakal tampil dengan cara nyanyian lebih dewasa, peran sebagai pengarah muzik yang digalasnya juga dilihat menjadikan konsert ini lebih istimewa.

“Daripada segi susunan muzik pula, saya sendiri yang akan menentukannya dengan warna baharu yang lebih sesuai dengan usia saya yang semakin matang, dilatari pemuzik profesional yang diterbangkan dari Indonesia,” tambahnya.

Mutu karya Rizky, menurut Hitman Solutions adalah antara penyebab mereka melamarnya.

“Rizky mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan penggemar muzik tempatan, sebagai artis muda yang sering menjadi perhatian kerana hasil karyanya yang bermutu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasasnya, Rohit Rampal yang turut akan membawa konsert itu ke Singapura, tahun depan.

Akses

  • 3 November 2023
  • Mega Star Arena, Kuala Lumpur
  • 8.30pm

Tiket

  • RM179 Romansa (Free Standing), RM199 Terpesona (Normal Seating), RM399 Super Rizfelous (VIP Standing)
  • Beli di www.hitmanlive.com atau ticket2u.com.my