Gendang Pati, Pesta M Nasir Buat Rakyat
Diiringi gendang ke rebab dan serunai, ia menjanjikan sebuah lagi persembahan luar biasa oleh seniman digelar sifu ini.

Oleh RUMI | Foto MND Sport & Event

“Malam itu nanti akan dipenuhi dengan bunyi-bunyian gendang yang pasti membuat semua berdendang bergoyang.” – M Nasir

“INI bukan tentang saya seorang,” kata Dato M Nasir yang mengakui terharu dengan sambutan diberikan penggemarnya, terbaru yang bakal disajikan dengan persembahan Gendang Pati Dato M.Nasir Live in Kuala Lumpur November nanti.

“Saya perlu bersyukur kerana meski sudah melakukan banyak persembahan pentas, masih seorang M Nasir sentiasa ingin disapa, ditonton dan diminta mendengarkan karya yang ada secara langsung, sekali gus sebagai indikasi sihat industri muzik dan perkembangannya yang sentiasa positif.”

Lebih dulu dipentaskan di Singapura, penganjur, MND Sport & Event Sdn Bhd mengumumkan persembahan di Kuala Lumpur yang dirancang untuk dijadikan sebagai sebuah pesta rakyat yang mengisi, bukan saja kegembiraan luaran malah jiwa.

Penganjur, menerusi kenyataan media, menyifatkan tidak pernah ada yang sederhana dalam persembahan daripada seorang M Nasir yang selalu berjaya mengajak jiwa menyanyi dan menari sepanjang pesta.

Tanpa perlu menjanjikan persembahan yang luar biasa, wakil penganjur, Daniel, berkata: “Kerana M Nasir itu sendiri sudah merangkumi seluruh perkara seni yang luar biasa dan hebat. Jadi, kami percaya dengan kemampuan penghibur yang satu ini.

“Beliau telah membawa roh yang kuat terhadap karya yang dilahirkan sejak berzaman dan mendendangkan ia dalam Gendang Pati Dato M.Nasir Live in Kuala Lumpur ibarat kerja seni yang akan mengalir lancar dan semulajadi.”

Gendang Pati versi Kuala Lumpur ini menampilkan Nan Alias, gitaris yang turut bertindak sebagai pengarah muzik, selain Rafi Mohd (gitar), Norman (bass), Firdaus Mahmud dan Eddie Slam (keyboard), dan Ujang Exists (dram).

Persembahan malam itu juga akan dimantapkan dengan penampilan Paang bagi perkusi utama, selain Mat Din (perkusi tradisional), Che Long dan Anas (perkusi), manakala Awe memainkan rebab dan serunai, selain perkusi dan menjadi penyanyi jemputan. Eja, Widy serta Yuaz, juga Awe, sebagai penyanyi latar.

“Malam itu nanti akan dipenuhi dengan bunyi-bunyian gendang yang pasti membuat semua berdendang bergoyang,” kata M Nasir lagi. “Saya harap Gendang Pati Dato M.Nasir Live in Kuala Lumpur akan menjadi sebuah lagi persembahan saya di tahun ini yang mampu mengisi kecanduan semua terhadap karya saya.”

Akses

  • 18 November 2023
  • Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre
  • 8pm

Tiket

  • RM228 (Bronze), RM258 (Silver), RM388 (Gold), RM428 (Platinum), RM488 (Diamond) dan RM888 (Meet & Greet)
  • Beli di support@myticket.asia atau hubungi hotline 03 86050195
  • Layari IG@mndsportnevent untuk info lanjut