Jelajah Album, Amir Masdi Kickoff di Hard Rock Café, Melaka
Lewat sebuah persembahan pada 15 September ini yang dijanjikan berkelas A.

Oleh RUMI

“Peminat minta untuk buat showcase, tapi kalau saya buat tempat yang sama orang mungkin bosan. Oleh itu, siri jelajah album ini dibuat supaya saya dapat berjumpa dengan peminat di pelbagai negeri.”

“INI memang impian saya,” kata penyanyi muda rock, Amir Masdi mengenai siri jelajah albumnya yang bermula di Hard Rock Café, Melaka pada pertengahan September ini yang dianggap melakar sejarah dalam kerjaya seninya.

“Kalau ada album saja saya belum betul-betul puas, tapi kalau sudah dapat jelajah album satu Malaysia, itu baru bonus.”

Diberi judul Amir Masdi, album yang memuatkan 12 lagu itu merupakan album solo pertama daripadanya sejak juara program realiti, Akademi Fantasia ini menyertai dunia muzik arus perdana tujuh tahun lalu.

Diperkenalkan lewat lagu Sengaja, album ini disifatkan sebagai satu kelahiran, juga cahaya pertama yang menyinari kerjayanya.

Tanpa menafikan risiko yang mendepani jelajah album sebegini memandangkan ia membabitkan tiket dan banyak lokasi, penyanyi berusia 27 tahun ini menjanjikan sebuah persembahan yang berkelas A.

“Peminat minta untuk buat showcase, tapi kalau saya buat tempat yang sama orang mungkin bosan. Oleh itu, siri jelajah album ini dibuat supaya saya dapat berjumpa dengan peminat di pelbagai negeri.

“Ikut perancangan, kita mahu buat di seberapa banyak lokasi, di setiap negeri menyusuli lokasi pertama persembahan di Hard Rock Café, Melaka yang akan menyaksikan semua 12 lagu daripada album solo saya diperdengarkan, termasuk beberapa lagu cover,” katanya yang meledak dengan hits Ella, Sepi Sekuntum Mawar Merah.

Sambil berkongsi keterujaan mengenai persembahan di lokasi seperti Hard Rock Café, Amir yang juga artis pertama membuat persembahan sempena ulang tahun ke-10 kelab di Melaka itu, albumnya beroleh respons positif dengan cetakan kedua sudah ditempah.

Akses

  • 15 September 2023
  • Hard Rock Café, Melaka
  • 8pm

Tiket

  • RM100 (early bird), RM120 (hari showcase)
  • Beli di Hard Rock Café, 28 Lorong Hang Jebat, Melaka, atau hubungi 06-2925188