Jujur Takkan Melupakanmu, Radja di KL Tampilkan Ella
Lewat Live in Concert: Radja & Special Appearance Ella pada 12 November kelak.

Oleh RUMI

“Nyanyian Ella sangat indah didengar maka kami gabungkannya lalu menjadi tema buat konsert kali ini, di samping menjalin perpaduan muzik antara Indonesia-Malaysia.” – Seno Aji

ELLA jadi rebutan, kali ini bagi menambah kehangatan malam bersama Radja yang bakal kembali ke ibukota pada November nanti untuk sebuah persembahan yang disifatkan dekat dengan penggemar mereka.

“Idea ini sudah lama diutarakan,” kata Seno Aji, pemain dram Radja, mengenai Live in Concert: Radja & Special Appearance Ella anjuran Orange International Entertainment itu. “Ingin berkolaborasi dengan Ratu Rock Malaysia, iaitu Ella di sebuah pentas yang akhirnya direalisasikan penganjur.”

Kolaborasi itu, menurutnya lagi didorong, antaranya oleh dua hits band itu, Jujur dan Takkan Melupakanmu yang pernah dibawa Ella.

“Nyanyian Ella sangat indah didengar,” akuinya, seraya menambah, “maka kami gabungkannya lalu menjadi tema buat konsert kali ini, di samping menjalin perpaduan muzik antara Indonesia-Malaysia.”

Radja, kata vokalis, Ian Kasela pula, kembali ke Malaysia membawa kenangan indah yang pernah diraih menerusi kehadiran mereka seawal 2004. Rindu untuk bertemu peminat, jelasnya membuat mereka tidak sabar untuk beraksi lagi.

Selain Seno dan Ian, band asal Banjarmasin, Kalimantan Selatan ini yang ditubuhkan pada 1999 itu turut dianggotai Moldy Kusnadi (gitar).

Jelas Moldy pula, persembahan lebih intimasi bakal menjadikan kehadiran Radja kali ini lebih istimewa.

“Kami mahukan sebuah konsert yang lebih bersifat intimasi agar peminat berasa lebih dekat dengan Radja,” katanya, “selain memberikan sebuah pertunjukkan dengan pemilihan lagu yang sing-along.”

Orang International Entertainment, menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasasnya, Dato Fazli, juga melihat malam persembahan bersama Radja dan Ella itu akan menjadi sebuah konsert yang gilang gemilang.

Akses

  • 12 November 2023
  • Mega Star Arena, Kuala Lumpur
  • 7pm

Tiket

  • RM168 (Rockzone 1 – Jujur), RM148 (Rockzone 2 – Tulus), RM528 (VVIP – Cinderella), RM238 (Platinum – Yakin) dan RM198 (Gold – Benci Bilang Cinta)
  • Beli di ticket2u.com.my