Konsert Jamal Abdillah, “Mengapa tidak?”
Satu persembahan istimewa lewat Jamal Abdillah Live In Concert, September ini.

Oleh RUMI

“Jamal Abdillah adalah satu jenama yang cukup kuat dalam industri muzik tempatan dan seorang figura yang sinarnya tidak pernah padam.” – Shiraz

“MENGAPA Jamal Abdillah? Dan jawapan saya, mengapa tidak?” kata Shirazdeen Karim atau Shiraz mengenai penganjuran Jamal Abdillah Live In Concert oleh Shiraz Projects yang bakal berlangsung September ini.

Dia yang juga Pengarah Urusannya, berkata ini kerana pihaknya percaya pada pesona dan kredibiliti penghibur berusia 64 tahun itu yang disifatkan sentiasa bersinar sejak meraih gelaran Bintang RTM 1979.

“Jamal Abdillah adalah satu jenama yang cukup kuat dalam industri muzik tempatan dan seorang figura yang sinarnya tidak pernah padam. Karekter serta pesona Jamal Abdillah itu sendiri sudah cukup kuat untuk menarik peminat datang dan tidak pernah jemu untuk melihat persembahannya.

“Itu belum lagi beliau melantunkan vokal lelakinya dengan lagu malar segar seperti Azura atau Di Sudut Kamar Hatiku. Saya optimis Jamal Abdillah Live In Concert akan menjadi sebuah konsert yang gemilang dan menjadi satu lagi momen manis buat peminat semua,” katanya, memetik kenyataan medianya.

Biasa mengadakan persembahan korporat, Datuk Jamal Abdillah, menerusi kenyataannya, mengakui tertarik dengan konsep yang dipersembahkan dan bagaimana dapat berinteraksi dengan fans dalam skala lebih besar.

“Konsert tentulah akan dikuatkan dengan barisan pemuzik, susunan semula lagu-lagu yang dipilih serta persembahan saya juga perlulah mencapai piawaian seperti yang diharapkan,” katanya yang turut menyifatkan ia konsert istimewa yang dijamin dapat memuaskan hati audiensnya.

Akses

  • 8 September 2023
  • Plenary Hall, KLCC
  • 8.30pm

Tiket

  • RM995 (Meet & Greet), RM595 (Diamond), RM495 (Diamond), RM355 (Gold), RM255 (Silver)
  • Beli di www.myticket.asia
  • Atau, hubungi hotline 03-86050196