Ella Puteri Kota Mai Penang!
Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota meneruskan jelajahnya di Pulau Pinang, akhir Oktober ini

Oleh RUMI

“Saya tersentuh dengan cerita fans yang menghadiri konsert, antaranya tentang seorang anak yang menghadiahkan tiket konsert kepada kedua ibu bapanya yang juga die-hard fans saya dan mereka sangat enjoy!”

SELEPAS Singapura, ratu rock Ella dijadual ke Pulau Pinang pula, akhir Oktober ini bagi meneruskan jelajah Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang mencipta sejarah seawal diluncurkan di Kuala Lumpur, Jun lalu.

Dan Pulau Pinang tentunya memberi makna mendalam buatnya yang dilahirkan di Gelugor.

“Saya nak habaq, saya ini anak kelahiran Gelugor,” kata Ella mengenai jelajah ketiga itu sambil menyelitkan slanga utara dalam selorohnya. “Juga sebagai menghargai permintaan semua peminat tersayang, terutamanya di utara.”

Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota sempena 35 tahunnya dalam dunia muzik menyaksikan Ella menerima pengiktirafan Most Concert Tickets Sold Out: 10,000 Tickets in 24 Hours pada malam pertama oleh Malaysia Books of Records.

Dibawa oleh Hitman Solutions dan pengurusannya, RockQueen, konsert di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil itu dihadiri lebih 10,000 audiens yang mendorong penjualan dibuka untuk malam kedua yang juga full house sebelum Singapura dipilih sebagai lokasi kedua, diikuti Pulau Pinang.

“Saya tersentuh dengan cerita fans yang menghadiri konsert, antaranya tentang seorang anak yang menghadiahkan tiket konsert kepada kedua ibu bapanya yang juga die-hard fans saya dan mereka sangat enjoy!” kata pelantun Dua Insan Bercinta ini yang juga pemilik RockQueen dalam kenyataan medianya.

“Disebabkan momen-momen beginilah yang menjadi pemangkin bagi saya untuk meneruskan konsert ini di beberapa lokasi lagi dan Pulau Pinang menjadi pilihan seterusnya, tapi perancangan telah dilakukan awal, cuma tarikhnya baru saja diputuskan.”

Masih mengekalkan konsep Rock Glam, sehingga 30 lagu dijangka diperdengarkan pada konsert berdurasi hampir tiga jam itu yang bakal menyaksikan kehadiran artis jemputan yang bagaimanapun dirahsiakan namanya sebagai kejutan.

“Daripada segi susunan muzik, pastinya ada kelainan, bersesuaian dengan konsep konsert nanti bawah kelolaan pengarah muzik, Datuk Acis yang dilatari sembilan pemuzik profesional dan 20 penyanyi koir pada malam konsert nanti,” kata Ella lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solution, Rohit Rampal, berkata Pulau Pinang dipilih destinasi ketiga Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota susulan permintaan dan akan berusaha memberikan kepuasan maksimal buat fans di utara pula.

Akses

  • 28 Oktober 2023
  • Spice Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang
  • 8.30pm

Tiket

  • RM995 (Meet & Greet), RM595 (Diamond), RM495 (Diamond), RM355 (Gold), RM255 (Silver)
  • Beli di www.myticket.asia
  • Atau, hubungi hotline 03-86050196